Yoga Bantu Kurangkan Masalah Sakit Tulang Belakang. Cubalah!

Yoga berperanan untuk melambatkan sakit belakang dengan teknik tersendiri seperti meregang dan memperkuat otot-otot.”

Rasa sakit-sakit di bahagian belakang atau berhampiran pinggang pasti menyebabkan individu itu tidak selesa dan sukar untuk melakukan tugas serta rutin harian. Sakit belakang sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana boleh dikatakan hampir setiap individu mengalaminya tanpa mengenal faktor jantina mahupun usia. Kalau nak tahu, antara aktiviti yang boleh mengurangkan sakit belakang yang sering anda hadapi adalah dengan membuat senaman yoga.

Yoga berperanan untuk melambatkan sakit belakang dengan teknik tersendiri seperti meregang dan memperkuat otot-otot. Keunikan yoga ialah kerana pendekatannya yang menyeluruh di mana masalah sakit belakang tidak terasing daripada lain-lain bahagian tubuh. Jika anda individu yang tidak suka senaman yang memerlukan anda berlari termengah-mengah seperti berjoging, yoga memang pilihan terbaik untuk dilakukan. Malah ia boleh dilakukan di tempat tertutup dan anda tidak segan untuk melakukannya. Malah, yoga juga mudah diamalkan di rumah pada bila-bila waktu terluang.

Sumber Foto: 123rf.com

Anda boleh mempelajari yoga melalui kelas-kelas latihan dan berbincang dengan jurulatih terlibat. Jika anda mempraktikkan yoga untuk menguatkan belakang badan, pastikan anda mendapat nasihat yang betul daripada mereka yang benar-benar faham mengenai yoga. Pastikan anda tidak memaksa tubuh melakukan pergerakan di luar kemampuan hanya kerana orang lain boleh melakukannya. Jangan ingat anda duduk di luar Bandar, anda tidak boleh melakukan yoga. Jika tiada khidmat jurutlatih yoga berdekatan, anda boleh mempelajari dan mencuba senaman ini melalui tontonan video senaman yoga yang betul terdapat banyak di laman sosial.

Namun, pengendalian yoga sendiri agak bahaya jika postur yang ingin dilakukan agak berisiko. Pergerakan yang lembut ini akan bertahan selama antara 10 hingga 60 saat. Ia juga seharusnya tidak menyakitkan. Antara kebaikan yoga yang lain ialah ia boleh membaiki kembali sturktur badan anda. Mungkin sebelum ini anda duduk tegak dan jarang bergerak semasa bekerja di pejabat. Ia membuatkan ketegangan pada otot dan membuatkan anda mengalami sakit sendi. Apabila anda melakukan senaman yoga, ia dapat membantu masalah ketegangan otot sendi anda. Senaman yoga menuntut semua pergerakan otot anda menjadi lebih fleksibel. Secara tidak langsung, semua otot anda akan bergerak dan membantu membaiki postur badan anda kembali normal.

 

YOGA BANTU HILANG STRES, MASALAH KEGEMUKAN & TIDUR LEBIH LENA

Sumber Foto: 123rf.com

Yoga adalah antara senaman yang efektif untuk menghilangkan segala stres yang membelenggu pada diri. Disiplin pada senaman yoga memerlukan anda sentiasa tenang dan menjaga pernafasan ketika melakukan jenis senaman yang diinginkan. Secara tidak langsung, ia akan melatih anda sentiasa tenang jika menghadapi apa-apa cabaran dan dugaan yang mendatang. Sikap panas baran juga dapat dikikis secara berperingkat.

Sama seperti senaman lain, kebaikan yoga juga mampu untuk menurunkan berat badan. Walaupun impak senaman yoga tidaklah setinggi jika anda pergi berjoging, melakukan senaman di gim ataupun menari, namun ia tetap dapat membantu  anda menurunkan berat badan. Jumlah kalori yang mampu dibakar ketika melakukan senaman yoga selama sejam ialah sebanyak 240 kalori, iaitu ibarat anda berjalan dan berkebun selama sejam!

Sesuai untuk anda yang sering diserang migrain, yoga berkesan mengurangkan kesakitan jika diamalkan selama tiga bulan berturut-turut. Posisi Downward Dog Pose membantu meningkatkan aliran darah ke otak sekali gus merehatkan tekanan di bahagian kepala anda. Kajian yang dilakukan oleh Universiti Harvard mendapati bahawa lapan minggu mengamalkan senaman yoga dapat meningkatkan kualiti tidur yang baik bagi mereka yang mengidap insomnia. Kesukaran untuk tidur adalah disebabkan otak anda aktif sehingga tidak boleh melelapkan mata. Posisi Child Pose mampu merehatkan minda serta mengurangkan tekanan yang dihadapi. Tarik nafas sedalamannya untuk melancarkan peredaran darah ke otak dan seluruh tubuh.

 

Sumber:  Freemalaysiatoday Eh!

Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna