Helah Dapur, Hilangkan Kesan Kunyit Hanya Dengan…

Untuk membersihkan siput sedut, ambil sebekas hampas kelapa, gaulkan siput sedut yang masih hidup itu dan biarkan semalaman. Esoknya barulah anda mengerat bahagian hujung cengkerang siput sebelum dimasak.”

Memasak sangat menyeronokkan namun ada perkara yang tidak menggembirakan semasa di dapur seperti ketika proses mengemas. Maklumlah kerja-kerja memasak ini kadang-kadang nampak sahaja mudah tetapi bagi sesetengah orang yang tidak biasa ke dapur ia adalah suatu perkara yang rumit.  Ada beberapa trik yang berguna dalam urusan harian anda di dapur agar kerja-kerja memasak anda menjadi mudah dan sangat membantu.

via GIPHY

NYAH KOTORAN DI BEKAS MINUMAN

Sumber Foto: sunglight.co.id

Cuka sering digunakan sebagai pembersih atau pencuci yang berkesan untuk menghapuskan bakteria berikutan paras asid yang terkandung di dalamnya. Membersih menggunakan cuka adalah kaedah bijak untuk mengelak penggunaan bahan kimia selain ia mesra alam dan menjimatkan.

  • Hilangkan kesan kekotoran pada teko dengan campuran 1/2 cawan cuka dan air, biarkan semalaman. Untuk mendapatkan kesan lebih drastik didihkan cuka dengan air di dalam teko tersebut beberapa minit. Biarkan sejuk dan bilas.
  • Hilangkan kesan kopi pada cawan. Caranya gosok garam atau soda bikarbonat bersama cuka pada cawan tersebut dan bilas bersih.
  • Hilangkan kesan hitam pada teko aluminium dengan didihkan campuran 1 cawan cuka dan 1 cawan air panas.

 

HILANG BAU BAWANG DI PENGISAR

Sumber Foto: 123rf.com

Bila kita gunakan blender untuk mengisar bawang, baunya pasti akan melekat. Jadi agak sukar untuk anda menggunakan blender yang sama bagi tujuan mengisar jus atau sebagainya. Ada cara yang boleh dicuba untuk menghilangkan bau bawang ini. Apa yang boleh anda lakukan ialah ambil limau nipis dan potong kecil. Isi air dalam blender dan letakkan sedikit beras di dalamnya. Masukkan limau nipis tadi dan kisarkan bersama beras. Kisar selama 15-20 saat dan cuci bersih blender anda. Gunakan hampas limau tadi untuk membersihkan bahagian dalam dan luar blender. Ia mampu menghilangkan bau yang ‘kurang enak’ itu.

 

HILANG BAU BUSUK PADA BEKAS PLASTIK

Sumber Foto: usplastic.com

  • Garam: Bau pada bekas plastik atau Tupperware  seringkali datang dari sisa-sisa makanan yang bersembunyi dalam alur-alu pada bekas plastik. Ambil garam dan gosoklah perlahan-lahan. Ia  boleh menghilangkan kesan makanan yang terperangkap, seterusnya menghilangkan bau.
  • Kertas surat khabar: Jika masih berbau, cuba pula menggunakan kertas surat khabar. Remas-remas beberapa halaman surat khabar kemudian celupkan dengan sedikit air. Dan letakkannya ke dalam bekas tersebut dan  tutupkannya. Biarkan beberapa hari kerana bahan karbon yang terkandung dalam kertas surat khabar boleh menyerap bau dari bekas plastik atau Tupperware.
  • Kopi:  Ini salah satu lagi cara bijak menghilangkan bau, kerana kopi boleh membantu menyerap bau.  Untuk bekas kecil, cukup masukkan satu atau dua sudu makan biji kopi. Untuk bekas lebih besar, gunakan 3-5 sudu makan biji kopi. Masukkan kopi ke dalam bekas plastik tersebut kemudian biarkan beberapa hari baru dicuci seperti biasa.

 

HILANGKAN LEMAK DAN LENDIR AYAM DENGAN MUDAH

Sumber Foto: telegraph

Ketika membersihkan ayam, kita sering menghadapi kesukaran untuk membuang lemak dan lendirnya sehingga bersih. Untuk memudahkan kerja anda, selepas membersihkan ayam dengan air bersih, keringkan sedikit menggunakan tisu atau kain. Kemudian lumur ayam dengan sedikit tepung gandum sehingga rata. Tarik lemak dan lendir yang melekat pada tepung hingga bersih. Kemudian bilaslah semula dengan air yang bersih dan lihat hasilnya. Cara ini bukan sahaja menanggalkan lemak tetapi juga membuang rasa hanyir ayam.

 

HILANG KARAT PADA CEREK ELEKTRIK

Sumber Foto: thekitchn

Cerek adalah antara kelengkapan di dapur yang kita wajib guna setiap hari. Namun, ada kalanya cerek elektrik yang terlalu lama digunakan mempunyai kesan karat yang tidak menyenangkan. Walaupun dibasuh menggunakan span, kesan tersebut masih ada dan tidak bersih sepenuhnya. Ada petua yang boleh dicuba bagi mengatasi masalah ini. Untuk membersihkan kesan karat tersebut, masukkan air yang dicampur dengan sedikit cuka ke dalam cerek elektrik dan rendam selama beberapa jam. Selepas itu, basuh dan bilas menggunakan air bersih. Hasilnya, cerek anda akan kelihatan lebih bersih.

 

HILANGKAN KESAN KUNYIT PADA MESIN PENGISAR

Sumber Foto: Google Image

Jika anda perasan, pengisar yang digunakan untuk mengisar kunyit, pasti akan meninggalkan kesan kuning yang susah untuk dibersihkan. Andai dibiarkan, lama kelamaan warna kuning kunyit ini akan menjadikan bekas pengisar anda menjadi kehitaman dan seakan berdaki. Untuk mengatasi masalah ini, ada petua yang boleh anda cuba. Masukkan air panas dan cuka ke dalam bekas pengisar. Biarkan selama 2-3 minit. Kisar air bancuhan cuka tadi beberapa kali sehingga kesan kotoran pada mata pengisar hilang. Akhir sekali bilas lagi dengan air panas dan keringkan.

 

LERAIKAN BIJI CILI DENGAN MUDAH

Sumber Foto: glutenfreeclub

Ada cara mudah untuk menanggalkan biji cili sebelum anda mengisar dan memasaknya. Apa yang perlu dilakukan ialah ambil beberapa biji cili dan gesel menggunakan tangan sehingga anda merasakan biji cili sudah lerai dari tangkainya. Potong cili menggunakan gunting dan masukkan air. Kemudian toskan potongan cili dan kisar seperti biasa. Hasilnya masakan sambal anda akan bebas biji cili.

 

BERSIHKAN MICROWAVE PALING MUDAH

Sumber Foto: thedailymeal

Isikan air dalam mangkuk (separuh mangkuk sahaja) kemudian perahkan jus lemon ke dalamnya atau dua biji limau nipis. Seterusnya masukkan mangkuk tersebut di dalam microwave. Hidupkan suis selama tiga hingga lima minit, kemudian tutup semula suis dan biarkan mangkuk dalam microwave selama satu kedua minit, baru buka penutup microwave. Keluarkan mangkuk, lalu bersihkan microwave dengan mengelap segala kotaran yang melekat dengan mudah. Termasuk cermin penutup microwave.

 

MEMBERSIHKAN SIPUT SEDUT

Sumber Foto: xiiaoshellfish

Jika anda menghadapi masalah untuk membersihkan siput sedut, petua berikut mungkin berguna bagi anda. Ambil sebekas hampas kelapa, gaulkan siput sedut yang masih hidup itu dan biarkan semalaman. Esoknya barulah anda mengerat bahagian hujung cengkerang siput sebelum dimasak. Dengan cara ini bau lumpur dari siput itu akan hilang, malah bertambah rasa lemaknya apabila dimasak.

 

MENGHILANGKAN PAHIT PERIA

Sumber Foto: keluarga.my

Peria kaya dengan khasiat untuk tubuh anda. Namun rasa peria sememangnya pahit membuatkan ramai yang tidak menggemarinya. Untuk menghilangkan rasa pahit peria itu, potong peria dan rendam di dalam air berisi garam halus selama 25 minit. Tapiskan airnya dan masaklah peria tadi mengikut resipi anda.

 

 

 

Sumber: welovesusuibu.blogspot

Tags: , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna