Wanita Kamar Besi : Pujukan Suami Pekena Syabu, Fiza Tiga Kali Keluar Masuk Penjara

Baru berusia 29 tahun, Fiza (bukan nama sebenar) telah melakar sejarah gelap tersendiri dengan mempunyai rekod tiga kali dihukum penjara akibat najis dadah.

Detik hitam dalam hidupnya bermula ketika berusia 18 tahun lagi, apabila beliau terjebak dengan dadah hasil pengaruh dan pujukan daripada suaminya sendiri. Hukuman penjara kali pertama dan kedua langsung tidak menginsafkannya dan berterusan menjadi penagih. Kali ketiga ditahan polis, Fiza dan suaminya sedang leka hayal ‘pekena’ syabu di rumah ibunya sendiri.

Kali ketiga ditahan, Fiza yang berumur 27 tahun ketika itu dijatuhi hukuman 6 tahun penjara di bawah Seksyen 39(c)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Perasaan ingin mencuba yang kuat akibat pengaruh suami selepas berkahwin terus mendorong Fiza menjamah najis dadah bermula dengan syabu dalam kuantiti kecil. Katanya ketika itu perasaannya memang seronok sangat, suami adalah segala-galanya sehingga dia lupa apa yang dilakukannya adalah salah. Dia hanya menuruti kata suaminya yang 10 tahun lebih tua daripadanya bahawa perbuatan mengambil syabu hanyalah sekadar untuk menguatkan tenaga agar dapat membuat kerja rumah dengan lebih cekap dan rajin tanpa penat.

Makin hari Fiza makin leka, menjadi anak peneroka felda menyebabkan bekalan mudah untuk didapati setiap hari. Namun keseronokan itu berakhir apabila Fiza ditangkap pada pertama kalinya ketika sedang mengambil dadah bersama dengan rakan-rakan sekampung yang turut terpengaruh. Nasibnya baik kerana keluarga membayar wang jaminan dan dia hanya sempat bermalam di dalam penjara untuk beberapa hari sahaja. Betul kata orang, kalau sekali sudah sentuh dadah, susah untuk berhenti daripada menagih dadah. Untuk kali keduanya Fiza ditangkap sekali lagi ketika asyik dengan dadah kegemarannya. Kali ini dia dijatuhi hukuman 10 bulan penjara. Keluarganya tidak lagi membayar wang jaminan kerana ingin memberi pengajaran kepadanya untuk berubah jika berada di dalam penjara.

Ketika itu juga dia didorong rasa serba salah kerana keluarga terus-menerus mendesaknya meninggalkan suami kesayangannya kerana punca utama dia menjadi penagih kerana pengaruh buruh lelaki yang sepatutnya menjadi pembimbing si isteri ke jalan yang benar. Selepas dibebaskan dari penjara, Fiza cuba menerima suaminya sekali lagi dengan harapan mereka dapat berubah dan membina keluarga bahagia seperti orang lain. Fiza yang ketika itu tidak bekerja mendapat wang bulanan daripada duit perkongsian hasil Felda arwah bapa yang diterima ibunya. Duit tersebut dibahagikan kepada beberapa individu seperti ibunya serta dua lagi adik beradiknya yang lain. Suaminya pula berkerja kampung dan oleh kerana tidak mempunyai zuriat, kehidupan mereka berdua lebih daripada cukup.

Walaupun tidak diceritakan secara lengkap, saya dapat merasakan Fiza dan suaminya kembali menagih kerana mempunyai sumber kewangan yang lebih. Sepuluh bulan selepas tarikh Fiza dibebaskan, Fiza ditangkap untuk kali ketiga bersama suaminya. Orang sekeliling mungkin sudah memerhatikan gerak-geri mereka berdua kerana masing-masing mempunyai sejarah lampau menjadi penagih. Jadi ramalan mereka memang tepat bahawa pasangan suami isteri ini sukar untuk berubah.

Mengimbau kenangan semasa mula terjebak dengan dadah, Fiza memberitahu kasih sayang ibu dan adik-beradiknya tidak pernah berubah sehingga beliau dijatuhi hukuman penjara. Malah sepanjang di penjara Fiza hanya dikunjungi ibu dan adik-beradinya menyebabkan jauh di sudut hatinya timbul kekesalan kerana tidak mahu mendengar kata keluarga daripada darah dagingnya sendiri.

Selepas keluar daripada penjara, Fiza berharap masyarakat boleh menerimanya dan dia betul-betul sudah insaf dan membuktikan bahawa manusia boleh berubah. Dia amat percaya kalau seseorang itu mempunyai keinginan kuat untuk berhenti mengambil dadah mereka boleh melakukannya dalam sekelip mata.

Untuk menonton temubual penuh bersama banduan ini saksikan episod terbaru Wanita Kamar Besi- Banduan Wanita Salah Guna Dadah di Facebook The Donna MY atau youtube Donnatube.

 

 

 

Artikel ditulis oleh : Usna Rus

Tags: , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna