Wanita Kamar Besi: Pengalaman Hani Hamil, Bersalin & Besarkan Anak Dalam Penjara

Dituduh melakukan pengubahan dan pemindahan sejumlah wang ke dalam beberapa akaun simpanan sewaktu memegang jawatan di sebuah bank terkemuka negara menyebabkan Hani (bukan nama sebenar) meringkuk di dalam penjara.

Dia dituduh di bawah seksyen 4 (1)(b) kk Akta Jenayah Komputer 1997 Jenayah Cyber. Hukuman yang disabitkan 5 tahun penjara atau denda RM200,000.00. Hani tidak dapat membayar denda dan dia perlu menjalani hukuman penjara.

Ketika dijatuhkan hukuman, dia sedang hamil dua bulan dan terpaksa menerima hukuman yang ditetapkan dengan hati yang berat. Dia menghabiskan detik kehamilan selama sembilan bulan dan kemudian melahirkan anaknya ketika hukuman sedang berjalan dengan selamat. Insiden banduan wanita melahirkan anak semasa tempoh mereka dipenjarakan bukanlah kes terpencil. Malah pihak penjara sendiri membantu menyediakan kelengkapan dan persediaan untuk banduan wanita menyambut kedatangan si kecil yang tidak mengerti apa-apa ke dunia. Kini, cahaya mata yang turut menjadi penghuni kamar besi bersama Hani sudah berusia setahun.

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Pernah mempunyai pengalaman hamil dan melahirkan anak, saya tersedar ia bukan satu perkara mudah ketika proses ini berlangsung tanpa sokongan pasangan atau keluarga di sini. Sekurang-kurannya perlu ada insan terdekat yang rapat dengan kita untuk membantu sepanjang tempoh menjadi ibu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak kisahlah apa kesalahan Hani sekali pun namun tiada seorang ibu menginginkan kelahiran si anak dalam keadaan dan situasi yang sukar lebih-lebih lagi berada di tempat Hani. Awal-awal, kehamilan berada di dalam penjara merupakan situasi yang cukup hebat dan sukar buatnya. Setiap hari dari pagi hingga ke malam dia bermain air mata di dalam sel penjara. Selain perlu membiasakan diri dengan keadaan di dalam penjara, mengikut peraturan baru dan bergaul dengan orang sekeliling yang asing, dia turut ada tanggungjawab besar menjaga kandungannya dengan baik.

Mendekatkan diri dengan Tuhan merupakan sumber kekuatannya selama berada di dalam penjara hampir setahun lebih. Dia bersyukur kerana kehamilan dan kelahiran bayinya ketika dihukum sangat dipermudahkan tidak seperti kelahiran anak-anaknya sebelum ini. Hani merasakan nasibnya masih lagi baik berbanding banduan lain kerana suami, anak-anak dan keluarga yang lain sentiasa memberi sokongan dan sering melawatnya. Seperti wanita hamil lain, pihak Penjara Wanita Kajang akan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan berkala kemudian diteruskan sehingga kelahiran bayi untuk dapatkan suntikan vaksin atau pemeriksaan bulanan.

Diberi kesempatan berjumpa dengan anak bongsunya ketika sesi temubual berlangsung, hati saya sayu melihat si comel berkulit cerah yang begitu manja dan erat berada dalam dakapan ibunya. Bukan kemahuan anak kecil itu untuk berada di dalam penjara, namun ia berlaku akibat kisah hitam si ibu. Bayi lelaki tersebut sedang belajar bertatih, dan kadangkala kelihatan janggal melihat saya dan team Donna yang lain disebabkan jarang bertemu dengan orang luar kecuali pegawai penjara dan banduan beruniform lain.

Menurut Hani lagi, dia dan bayinya ditempatkan di blok khas dalam penjara, tidak bercampur dengan banduan yang lain. Banduan yang mempunyai anak mempunyai kawasan khas, disediakan katil dan barang-barang keperluan lain. Anak tidak dipisahkan dalam tempoh itu agar banduan diberi kesempatan untuk ‘bonding’ dengan si kecil selain mudah dipantau dalam pelbagai keadaan seperti kesihatan atau keselamatan bayi yang tidak berdosa terjamin.

Oleh kerana bayi lelaki Hani semakin membesar, dia telah dihantar ke nurseri khas. Si anak perlu dihantar ke situ setiap hari sebagai mana yang dilakukan oleh ibu bapa yang berkerjaya berada di luar penjara. Setiap banduan mempunyai aktiviti tertentu perlu diikuti setiap hari, begitu juga Hani yang ditugaskan di bahagian katering. Pada sebelah petang baru dia berkesempatan bertemu kembali anak kecil ini untuk di bawa pulang ke sel kamar besinya. Namun ketika waktu rehat dan makan tengah hari, dia mengambil kesempatan untuk segera menjenguk anak bongsunya untuk melepaskan rindu.

Piawai prosedur operasi di penjara telah menetapkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di dalam penjara akan berada di bawah jagaan ibu mereka sehingga anak itu berumur tiga tahun. Apabila ditanya soalan itu kepada Hani adakah dia bersedia melepaskan anaknya menjalani kehidupan normal di luar dalam tempoh 2 tahun lagi, dia hanya mampu tersenyum dan mengalirkan air mata.

Untuk menonton temubual penuh bersama banduan ini saksikan episod terbaru ‘Wanita Kamar Besi’ – Banduan Mempunyai Anak Dalam Penjara.

 

 

 

Tags: , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna