Wanita Kamar Besi: Nurul Dijatuhi Hukuman Gantung, Bunuh Ibu Tiri Tanpa Niat

Perbuatan kononnya ingin meleraikan pergaduhan melibatkan ahli keluarga, telah menyebabkan Nurul (bukan nama sebenar) menjadi penghuni Penjara Wanita Kajang sudah hampir empat tahun.”

Dia dituduh bersubahat membunuh ibu tirinya tanpa niat. Semuanya terjadi apabila dia hanya berniat untuk membantu menyelesaikan pergaduhan antara ibu tiri dan adik tirinya namun membawa kepada tragedi yang menyayat hati. Malah akibat kejadian tersebut, Nurul yang berusia 31 tahun ketika itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Nurul telah didakwa bersubahat membunuh mangsa mengikut Seksyen 304 (a) Membunuh Tanpa Niat memperuntukkan hukuman gantung sampai mati namun setelah membuat rayuan beberapa kali mahkamah memutuskan untuk meminda pertuduhannya dihukum penjara selama 30 tahun. Tarikh hukuman dilakukan bermula 27 julai 2012 dan tarikh dia bakal dibebaskan dijangka pada 27 julai 2032.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Melangkah masuk ke perkarangan Penjara Wanita Kajang, hati membuak-buak dan tidak sabar untuk berdepan dan bertemu dengan banduan pertama yang bakal ditemubual. Namun, perasaan itu turut diselangi dengan rasa berdebar juga gementar kerana saya perlu berdepan dengan banduan yang mempunyai pelbagai kes dan latar belakang jenayah yang telah dilakukan. Apabila menyebut banduan atau penjenayah, faham-faham sajalah apa kelakukan ‘tidak berapa baik’ yang telah dilakukan mereka. Sepanjang kerjaya saya sebagai seorang penulis dan wartawan, ini juga adalah pengalaman pertama diberi peluang berjumpa secara langsung dengan banduan di dalam penjara yang sedang menjalani hukuman.

Saya langsung tidak diberi gambaran mengenai banduan yang bakal ditemui iaitu seorang wanita yang dihukum kerana kesalahan membunuh tanpa niat. Dalam kepala terbayang banduan tersebut seorang yang bengis dan mempunyai personaliti yang menakutkan seperti yang dimomokkan dalam beberapa drama televisyen atau filem luar Negara. Namun sangkaan saya meleset sama sekali selepas terpandang satu raut wajah polos dan susuk tubuh sederhana seorang banduan wanita berbaju biru tua yang di bawa oleh Pegawai Penjara ke lokasi khas temubual dijalankan.

Sementara menunggu set pengambaran sedia digunakan untuk menemubual banduan tersebut, saya mendekatinya sekadar untuk bebual kosong supaya berasa sedikit selesa. Dia meminta untuk menggunakan nama ‘Nurul’ (bukan nama sebenar) agar dia tidak dikenali oleh orang luar. Menurut Nurul, jika kisahnya dipertontonkan dia percaya ramai masyarakat di luar terutama jiran terdekat akan mengenali dirinya. Katanya, dia tidak mahu keluarganya sekali lagi mendapat malu dan luka berdarah kembali apabila kisah ‘sebenar’ diceritakan kembali. Tetapi khas untuk Donna, Nurul dengan rela hati ingin menceritakan detik ‘hitamnya’ kepada umum terutama kepada wanita di luar sana agar mengambil iktibar dan pengajaran dari kisahnya.

Saya sempat memuji wajahnya yang sangat bersih dan mempunyai sepasang alis mata yang terbentuk rapi. Sesekali ternampak senyuman yang terukir dibibir walaupun di hatinya penuh dengan perasaan yang saya sendiri pun tidak mengerti. Sesekali Nurul memandang jauh dicelah-celah jeriji besi melihat langit cerah sambil menahan air mata yang sedang bertakung dek kerana beberapa soalan penulis yang mungkin agak sensitif baginya. Terutama yang berkaitan dengan arwah ayahnya dan abang kandungnya. Abang kandungnya sehingga kini tidak dapat memafkan perbuatannya dan dia langsung tidak dapat menjelaskan kejadian sebenar.

Nurul turut menceritakan bagaimana dia sangat menyayangi arwah ayahnya dan tidak berkesempatan untuk menziarahi jenazah buat kali terakhir setelah mengetahui ayahnya meninggal dunia kia-kira dua tahun yang lepas. Menurut Nurul, dia dibenarkan untuk berbuat demikian oleh pihak penjara tetapi memikirkan keluarga dan jiran akan memandang sinis kepada banduan sepertinya dengan tangan bergari dan ditemani polis jika hadir dimajlis perkebumian, membuatkan Nurul tidak meneruskan hasratnya. Pada hari kematian bapanya, dia seharian menangis di dalam sel penjara kerana teringatkan segala budi baik dan pengorbanan yang telah arwah bapa lakukan kepadanya sepanjang dia dihukum di penjara. Antara kata-kata yang Nurul acapkali ulangi kepada saya adalah hanya bapanya sahaja yang mempercayai dirinya tidak melakukan apa-apa kesalahan!

Untuk menonton temubual penuh bersama banduan ini saksikan siri terbaru Donna di Donnatube berjudul ‘Wanita Kamar Besi’ episod Banduan Bunuh Tanpa Niat.

 

Tags: , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna