Wanita Kamar Besi: Nur Ditahan Curi Wang Pelanggan Bank Hampir RM100,000.00

Atas desakan hidup dan mengalami masalah kewangan mengheret wanita berusia 40 tahun ini ke tirai besi.

Gelap mata melihat duit dan angka yang banyak setiap hari menyebabkan Nur (bukan nama sebenar) melakukan pecah amanah di tempat dia bekerja. Nur berkhidmat di sebuah institusi perbankan terkenal di negara hampir 10 tahun dan telah ditahan atas Akta Kanun Keseksaan Seksyen 379 Mencuri (Pecah Amanah). Akibat kesalahan tersebut Nur menjadi penghuni Penjara Wanita Kajang sejak tahun 2015 dan masih berbaki 3 tahun lagi untuk selesai menjalani hukuman.

Untuk menonton temubual penuh bersama banduan ini saksikan episod terbaru ‘Wanita Kamar Besi’ – Banduan Pecah Amanah

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Orangnya agak peramah, dan dari tutur kata serta cara percakapannya, saya yakin Nur merupakan seorang wanita yang terpelajar. Sayangnya Nur gelap mata dan melakukan jenayah kolar putih ditempat dia mencari nafkah kerana beban kewangan yang melandanya. Sebelum sesi penggambaran ‘Wanita Kamar Besi’ dimulakan, saya sempat berbual kosong dengan Nur seketika di ruang menunggu banduan. Nur berkata dia berbesar hati untuk berkongsi kisahnya dengan semua orang agar kisahnya menjadi tauladan terutamanya kepada pekerja yang diamanahkan untuk mengendalikan tugas berkaitan kewangan, perbelanjaan atau akaun syarikat. Penting untuk setiap individu menjalankan tugas dengan penuh amanah agar tiada insan yang ditindas atas kelakuan kita.

Sebelum ini sepanjang hampir sedekad bekerja di sebuah bank ternama, dia sedikit pun tidak terdetik untuk melakukan pecah amanah atau ingin mencuri wang pelanggan walaupun bernilai satu sen. Semuanya berubah kira-kira 4 tahun yang lalu. Kira-kira 8 bulan sebelum penangkapannya, dia mula mencuri wang daripada akaun pelanggan yang tidak aktif. Bermula dengan wang yang diambil berjumlah RM7000.00, seminggu kemudian dia gelap mata dan meneruskan lagi perbuatan jahatnya sehingga wang keseluruhan yang dicuri berjumlah hampir RM100, 000.00.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Sewaktu dia ditangkap, rakan sekerja, majikan malah ahli keluarganya tidak menyangka dia sanggup melakukan kesalahan pecah amanah kerana perwatakkannya yang dikenali ramai sebagai wanita yang baik hati dan menyenangkan. Menurut Nur dia tidak sabar untuk bebas dari tirai besi dan mahu melupakan pengalaman berada dipenjara. Seumur hidup dia, tidak pernah membayangkan akan terkurung di sebalik tirai besi, dan dikelilingi dengan macam-macam jenis banduan pelbagai kesalahan.

Sepanjang menjalani tempoh hukuman, dia tidak pernah rasa dipinggirkan keluarga kerana suami masih menunjukkan rasa bertanggungjawab dan mengambil berat, termasuk datang melawat untuk bertanyakan khabar. Namun jauh disudut hatinya, dia memaksa suami merahsiakan kejadian buruk yang menimpanya dari pengetahuan anak-anak yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa. Anak-anak diberitahu bahawa dia sedang melanjutkan pengajian dan akan pulang selepas dibebaskan nanti.

Walau bagaimanapun Nur berkata dia percaya setiap apa yang berlaku ada pengajaran dan kebaikan. Jika tidak ditangkap sekarang mungkin dia masih leka dan gelap mata melakukan jenayah ini sehingga habis nyawanya. Hanya 7 ke 8 bulan dia mencuri sekitar RM100,000.00, bayangkan jika bertahun-tahun lamanya. Silap hari bulan boleh jadi jutawan dan tidak mustahil jika ditangkap dan dijatuhi hukuman boleh dipenjarakan seumur hidup. Setidak-tidaknya, dia diberi peluang untuk menebus kesalahan dan memohon keampunan daripada Tuhan. Menjalani kehidupan di penjara banyak mengajarnya termasuk kembali kepada ajaran agama yang sekian lama ditinggalkan dan tidak bersungguh-sungguh diamalkan.

Disebabkan sudah lama dia dan keluarga berjauhan, dia mengharapkan selepas ini dapat bersama suami dan anak-anaknya kembali membina semula keluarga bahagia. Selain itu dia berazam mahu menerapkan pendekatan agama yang banyak dipelajari di penjara dalam mendidik anak-anak kelak. Dia tidak mahu sesekali anak-anaknya mengikut jejak langkahnya menjadi seorang ‘pencuri’. Satu lagi yang diharapkannya agar banduan sepertinya tetap diterima masyarakat selepas bebas menjalani hukuman kelak. “Orang boleh bercakap sahaja, tetapi tidak berada ditempat kami, anda semua tidak akan mengerti.” Ujar Nur sayu.

Hukuman yang dilalui Nur, Donna harap membawa pengajaran sebagai sempadan pada masa depan dan bermakna baginya untuk menjadi seorang manusia lebih bertanggungjawab.

 

 

 

 

 

 

 

Penulis Artikel: Usna Rus

Tags: , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna