Wanita Kamar Besi: Ibu Tergamak Pijak Anak Kembar Hingga Maut

Pergaduhan yang berpunca daripada sepasang pasangan kekasih telah menyebabkan seorang kanak-kanak didera dengan teruk sehingga membawa maut.”

Kanak-kanak malang itu dijadikan tempat untuk melepaskan kemarahan si ibu, Siti (bukan nama sebenar) yang sangat marah dengan teman lelakinya yang curang.

Siti telah didakwa menyebabkan kematian mangsa mengikut Seksyen 31/1/a niat menyebabkan kecederaan akta kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara 6 bulan. Dia gagal membayar denda dan dihukum penjara 6 bulan. Dia juga dituduh di bawah seksyen 304 (a) membunuh tanpa niat akta kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara 13 tahun. Kedua-dua hukuman dijalankan berasingan. Tarikh mula hukuman adalah pada 17 Ogos 2018 dan dia bakal dibebaskan pada 9 Januari 2026.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Antara tugas menemubual banduan-banduan wanita siri ‘Wanita Kamar Besi’, kes banduan dera anak ini yang sangat saya tertunggu-tungu untuk berdepan dengan si pelaku. Sebagai seorang ibu, saya juga kadangkala terkesan dengan kes penderaan kanak-kanak yang banyak terpampang di media sosial, dada akhbar dan televisyen. Saya anggap ibu bapa yang sanggup mendera anak mereka iaitu darah daging sendiri sehingga mendatangkan kecederaan parah atau maut berperangai lebih kejam daripada haiwan. Saya tidak pasti apa reaksi yang ingin saya perlihatkan kepada pelaku. Perasaan geram dan marah memang menguasai diri ketika itu. Berkali-kali, ketua saya yang berada di sisi menasihati agar mengawal emosi supaya tidak nampak keterlaluan membenci banduan tersebut. Disebabkan tujuan utama untuk bertemu banduan ini adalah atas urusan kerja, saya cuba bersikap profesional.

Dari jauh saya sudah nampak kelibat banduan kes dera anak tersebut, Siti (bukan nama sebenar) berjalan perlahan memakai uniform berwarna merah sambil ditemani oleh seorang pegawai penjara wanita. Siti menundukkan pandangan ke bawah sambil tangannya menghulurkan salam kepada saya dan krew wanita Donna yang lain. Mempunyai susuk tubuh yang sederhana kecil dan berkulit sawo matang, siapa sangka kudrat wanita yang dianggap lemah itu sanggup ‘membelasah’ teruk si anak yang tidak berdosa sehingga meninggal dunia.

Siti tersenyum saat ditanya berapa usia dirinya. Saya agak terkejut apabila diberitahu usianya baru menginjak umur 25 tahun dan telah mempunyai pengalaman melahirkan anak seramai empat orang cahaya mata. Atas nama cinta dan sayang kononnya kepada seorang kekasih, kesemua anak Siti adalah hasil perkongsian haram antara dia dan teman lelaki. Anak pertama Siti ketika kejadian berusia 5 tahun, anak kedua adalah pasangan kembar berumur 3 tahun dan anak keempat bayi berusia 9 bulan.

Sewaktu sesi temubual berlangsung, air mata Siti sangat murah dan kerap mengalir tanpa henti menceritakan detik hitam yang berlaku kira-kira setahun setengah yang lepas. Siti akui dia adalah antara banduan yang berada pada kategori paling ‘jahat’ sekali dikelaskan oleh banduan lain kerana kesalahan mencederakan anak kecil sehingga maut.

Saya sendiri tidak dapat menahan sebak mendengar kisah perkongsian Siti pada waktu itu. Namun, air mata saya tumpah bukan kerana Siti, tetapi terbayang penderitaan yang dialami si kecil yang tidak mengerti apa-apa terlantar nyawa-nyawa ikan di rumah tanpa mendapat sebarang rawatan yang sempurna selepas di belasah teruk. Selama tiga hari, mangsa yang berusia 3 tahun ketika itu menahan sakit dan kesengsaraan sehingga menemui ajal. Siti berkata selama tiga hari selepas dia mendera anaknya, si kecil itu hanya terbaring lemah melihat abang dan adik beradiknya yang lain bermain seperti biasa. Dia takut untuk membawa anaknya itu mendapatkan rawatan kerana risau ditahan pihak berkuasa. Oleh itu, dia hanya menyapu minyak urut biasa sahaja ke tubuh anaknya. Mangsa adalah anak kedua daripada empat beradik dan mempunyai pasangan kembar yang masih hidup dijaga waris Siti.

Menurut Siti lagi, selepas dia dipenjarakan tersebut teman lelakinya terus menghilangkan diri dan langsung tidak menjenguk anak-anak yang kini berada di bawah jagaan kakak kandung dan ibu bapanya. Lelaki tersebut juga tidak pernah tunjukkan muka untuk datang melawat Siti di penjara. Siti ralat kerana perbuatannya telah dipengaruhi oleh perasaan marah kepada teman lelaki sehingga menyebabkan dia hilang pertimbangan meragut nyawa anak kesayangan sendiri. Pada waktu itu Siti bergaduh melalui telefon dengan teman lelakinya kerana mengetahui lelaki tersebut curang dibelakangnya dan mempunyai wanita lain selain memiliki 2 orang lagi anak luar nikah. Secara kebetulan anak keduanya ketika itu membuat perangai dan Siti yang sedang berada dalam keadaan marah ‘naik hantu’ terus membelasah si kecil itu bertubi-tubi sehingga anaknya itu terkulai lemah dihujung dinding.

Apa agaknya yang difikirkan anak-anak Siti yang lain setelah dewasa untuk menerima kenyataan ibu yang menjadi tempat mereka berlindung pernah ‘meragut’ nyawa adik atau abang kandung mereka.

Bagi saya, kes banduan ini melibatkan banyak pihak sebenarnya. Pertama, kepercayaan yang diberikan kepada seorang lelaki sehingga menjerat diri sendiri, kedua peranan institusi kekeluargaan dan ketiga tangungjawab ibu bapa. Siti adalah contoh yang dapat dijadikan pengajaran dan tauladan kepada wanita di luar sana agar menjaga diri sendiri dan tidak terlampau ‘mempercayai’ janji manis lelaki berhidung belang. Keluarga dan ibu bapa perlu memainkan peranan penting mengawal tingkah laku anak-anak mereka agar tidak terjebak dengan aktiviti seks luar nikah.

Saya pasti ramai ibu bapa di luar sana juga yang geram dan marah apabila kes penderaan yang membawa maut melibatkan kanak-kanak kecil dihebahkan. Kes sebegini bukanlah sesuatu yang baru, saban hari kita pasti dikejutkan dengan pelbagai kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak yang bukan sahaja menyebabkan kecederaan malah membawa maut. Kalau diikutkan penderaan kanak-kanak tidak tertakluk kepada kekerasan pada fizikal sahaja, bahkan termasuk penderaan seksual dan juga pengabaian.

Untuk menonton temubual penuh bersama banduan ini saksikan episod ke-2 ‘Wanita Kamar Besi’ episod Banduan Dera Anak Hingga Maut di Donnatube.

 

Tags: , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna