Wanita Kamar Besi: Bunga Terima 4 Kali Anugerah Dekan Dalam Penjara

Menuntut ilmu adalah cabang penting dalam kehidupan.”

Bergelar seorang banduan bukan alasan untuk seseorang itu tidak diberi hak untuk mengubah nasib diri kelak. Walaupun dihukum sebagai pesalah atas segala dosa silam yang dilakukan, mereka berhak diberi peluang kedua untuk memperbaiki kehidupan menerusi kemahiran atau bidang akedemik. Ini kerana ilmu atau pendidikan mampu mengubah nasib banduan supaya mereka lebih mampu bersaing dengan masyarakat luar apabila dibebaskan kelak.

Bunga (bukan nama sebenar) diberi peluang besar oleh pihak penjara dan ditaja penuh oleh kerajaan untuk melanjutkan pelajaran di dalam penjara walaupun bergelar banduan. Sudah berada hampir lima tahun di dalam penjara, Bunga bukan calang-calang banduan kerana dia boleh dianggap terpelajar kerana bakal menggenggam Ijazah pertamanya dalam bidang perniagaan tidak lama lagi setelah berhempas pulas menuntut ilmu disebalik tirai besi. Dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan Rompakan Bersenjata, impiannya cuma satu mahu membanggakan keluarga dan anak-anaknya setelah dibebaskan nanti.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Kehidupan di sebalik tirai besi yang penuh keinsafan menjadikan Bunga berazam untuk menebus khilafnya. Walaupun sudah berusia 34 tahun, dia terpanggil untuk belajar kerana sokongan keluarga, anak-anak, pegawai penjara juga banduan-banduan lain yang menyokongnya untuk belajar. Baginya umur bukan ukuran untuk seseorang untuk berjaya.

Begitupun, apa yang diberitahu kepada saya oleh pihak penjara tidak semua banduan berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat tinggi. Kekangan kewangan dan pemilihan ketat dengan mengambil kira latar belakang, jenis kesalahan dan ujian kelayakan antara garis panduan asas bagi seorang banduan menyambung pengajian di dalam penjara. Bagi saya, peluang yang diterima Bunga satu langkah pemulihan yang sangat baik.

Di penjara tiada gangguan yang membebankan malah banduan yang dipilih untuk melanjutkan pelajaran dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pengajian. Disebabkan itu, tidak mustahil Bunga dikelaskan antara pelajar terbaik dalam kursus yang diambilnya kerana pernah dianugerahkan sebanyak empat kali Anugerah Dekan dalam sepanjang semester pembelajarannya.

Walaupun bergelar pelajar di dalam penjara, tiada keistimewaan yang diberikan oleh pusat pengajian. Mereka masih perlu mengikuti tiga kaedah pembelajaran iaitu kendiri, bersemuka dan e-pembelajaran sama seperti pelajar di luar. Apabila ditanya bagaimana cara pembelajarannya di dalam penjara, Bunga memberitahu dia dibenarkan membawa buku-buku rujukan ke dalam sel untuk mengulangkaji pelajaran.

Pada waktu siang, dia mencari bahan rujukan di dalam perpustakaan yang disediakan pihak penjara. Pelajar di penjara sepertinya tidak dibenarkan untuk menggunakan sebarang peralatan eletrik seperti komputer atau kemudahan internet. Maka dia hanya menyalin nota atau membuat tugasan menggunakan tulisan tangan di atas kertas atau buku nota yang disediakan sahaja.

Setiap hari juga Bunga akan meluangkan masa untuk mendalami ilmu agama dan mengaji. Tidak hairan kenapa bunga dipilih sebagai Qariah di dalam penjara. Kemerduan ketika dia membaca sedikit potongan ayat dari Al-Quran ketika rakaman Wanita Kamar Besi berlangsung menyebabkan bulu ditangan saya meremang. Hebat perancangan Tuhan, dahulunya mungkin dia seorang yang jahil dengan agama dan langsung tidak mengenal huruf jawi, tetapi hari ini disebalik kamar besi dia sudah mampu menghafal beberapa surah tertentu.

Harapannya agar segala ilmu yang dimiliki di dalam penjara dapat implimentasikan dalam dunia nyata dan mungkin alam perkerjaan sekali gus membantu keluarga dan anak-anak kecil yang sentiasa menyokongnya selama ini. Menurut Bunga, hanya insan-insan dekat dengan hatinya ini menjadi penguat semangat kepadanya untuk meneruskan kehidupan yang pernah disia-siakan sebelum ini.

Bunga juga sangat berterima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana memberi peluang untuk dia teruskan apa yang dia tidak dapat buat semasa bebas dahulu. Paling menggembirakan, Bunga bakal dibebaskan pada April ini dan akan menerima segulung Ijazah dalam Majlis Konvokesyen yang berlangsung pada Oktober nanti. Kami dari Donna mengharapkan agar Bunga mendapat kehidupan baru yang lebih menggembirakan kelak. Jadikan segala titik hitam dalam kehidupan sebagai guru dan pengajaran yang sangat berharga!

 

 

 

 

Penulis: Usna Rus

 

 

 

 

 

Tags: , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna