Tiket ‘Sold Out’! Siti Nurhaliza Janji Beri Kelainan Untuk Konsert Di Malaysia

Selesai sudah dua lokasi untuk jelajah konsert #SitiNurhalizaOnTour iaitu di Jakarta dan Singapura. Rata-rata berpuas hati dengan persembahan sepanjang konsert yang meriah dengan permainan lampu pentas, pengolahan muzik dan tarian yang melatari penyanyi nombor satu negara itu.

Kini, sudah tiba jelajah ketiga yang dinanti-nantikan peminatnya di Malaysia pada 16 Mac ini di Axiata Arena dan betapa bertuahnya Donna apabila dapat menemubual penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza atau lebih mesra dipanggil Tokti ketika sedang melakukan latihan untuk #SitiNurhalizaOnTour di Malaysia.

Donna sempat bertanya kepada Tokti apakah kelainan persembahan yang dibawakan untuk konsert di Malaysia. Katanya, terdapat sedikit kelainan dan kejutan daripada susunan dan pemilihan lagu. Misalnya, ada lagu di Jakarta dan Singapura tidak dimainkan tetapi akan disajikan kepada peminat di Malaysia.

“Apa yang pasti, persembahan saya di Malaysia akan jadi lebih hebat kerana di antara ketiga-tiga konsert #SitiNurhalizaonTour, saya di maklumkan jumlah penonton di Malaysia adalah yang paling ramai kerana setakat ini sebanyak 10 ribu tiket sudah pun terjual. Jumlah tersebut jauh bezanya dengan Indonesia yang mencatat jualan sebanyak 4500 tiket manakala Singapura yang mencatat jumlah 3 ribu tiket terjual. Pastinya, saya tak sabar nak berjumpa dengan peminat saya pada Sabtu ini.

“Selain itu, konsep yang telah dipilih oleh pihak kami sudah pun disusun cantik. Tidak sabar untuk kami persembahkan kepada peminat kerana saya inginkan mereka merasai aura yang berbeza ketika menontonnya secara live di Axiata Arena nanti. “

Malah, Tokti juga akui konsert jelajah kali ini merupakan back-to-back dan memerlukan latihan yang ketat.

“Apa saya lakukan adalah berlatih lebih awal selama sebulan lebih sebelum persembahan bergantung dengan konsep yang kami pilih. Misalnya, di Malaysia saya akan memulakan persembahan dengan irama tradisional di mana saya perlu menari dan ia melibatkan pergerakkan yang banyak. Jadi, perkara tersebut memerlukan latihan kerap,” katanya ketika menemubual di Ask Dance Company.

Beliau turut meminta peminatnya mendoakan kesihatannya baik-baik saja supaya tiada masalah ketika melakukan persembahan. Ha, peminat Tokti yang dah ada tiket tu, mesti dah tak sabar nak menyaksikan konsert malam esok. Selamat berhibur semua!

 

 

 

 

 

 

Tags: , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna