Terpaksa Balik Kampung Sebab Hilang Kerja, Ini Luahan Orang Muda Bila Syarikat Mula ‘Goyah’

Tak mudah menjadi anak muda pada zaman 2020 ini. Selain daripada keadaan ekonomi yang tidak stabil, kita juga terpaksa berdepan dengan pandemik yang mengorbankan beratus ribu nyawa di seluruh dunia. Ia membuatkan kita terpaksa memikirkan cara lain mendapatkan pekerjaan.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini sahaja, berapa banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar sebab tak mampu menampung kerugian. Mereka tak ada pilihan lain selain mengecilkan pengeluaran produk dan meminimumkan tenaga kerja. Maka suka atau tidak, mereka terpaksa memberhentikan perkerja mereka.

Sumber: FMT

Kajian yang dilakukan oleh Social Security Organisation’s (SOCSO) baru-baru ini pun menunjukkan peratus kehilangan pekerjaan akan mengalami peningkatan sehingga 200 peratus untuk setiap suku pada tahun 2020. Ini adalah realiti yang mendebarkan apalagi untuk mereka yang merupakan lepasan universiti terpaksa sama-sama merebut pekerjaan bersama dengan mereka yang berpengalaman.

BACA: Pekerjaan Baru! Saintis Tawar RM 38 Ribu Kepada Sesiapa Rela Dijangkiti COVID-19

Kami di Donna sempat bertanya kepada seorang gadis bernama Adilla yang juga mengalami nasib yang sama apabila syarikatnya tidak mampu lagi menggajikannya dan beberapa orang yang lain. Pada awalnya mereka sangkakan ia hanya sekadar khabar angin, namun ternyata apa yang didengarnya betul-betul menjadi kenyataan.

via GIPHY

“Bila kami dapat pengumuman yang mengatakan satu department  kami diberhentikan, semua terkejut. Sebab produk kami ini melibatkan banyak orang dan semua menerima nasib yang sama. Walaupun begitu, kami mempunyai masa dua bulan untuk mencari kerja lain,” katanya.

BACA: 42% Hilang Kerja Sepanjang PKPB, Ini 4 Benda Anda Kena Tahu

Bercakap tentang apa yang paling dirisaukan sebaik sahaja menerima khabar buruk itu, tentu sahaja komitmen yang perlu diselesaikan setiap bulan.

“Saya cuma fikir komitmen tiap bulan dan susah betul nak dapatkan kerja baru dengan keadaan sekarang. Saya mungkin akan pulang ke kampung dalam beberapa minggu dan kembali mencari pekerjaan baharu. Masa yang ada ini saya akan maksimumkan untuk update dan hantar resume ke syarikat lain.

“Bayangkan, sebelum pandemik lagi keadaan dah mencabar. Macam manalah keadaan syarikat bila berlakunya pandemik ini. Tapi saya fikir positif sahaja. Mungkin dah masanya saya keluar daripada syarikat itu. Kalau memang keadaan sangat susah, saya cari sahaja kerja sambilan mana-mana dulu,”

via GIPHY

Adilla juga tak menafikan saingan untuk mendapatkan pekerjaan pada waktu sekarang sangat mencabar. Jadi dia berharap agar keadaan akan pulih seperti sediakala.

“Sekarang ini bukan saja ramai yang diberhentikan, pelajar graduan juga ramai yang nak cari pekerjaan pertama. Mereka pula boleh digajikan dengan bayaran yang minimum dibandingkan dengan mereka yang banyak pengalaman. Saingan memang banyak,” katanya.

Rupanya tak semua yang balik kampung dengan hati yang girang akibat PKPP. Ramai juga yang pulang ke kampung dengan perasaan risau dan kecewa kerana diberhentikan kerja. Ramai yang mengalami nasib yang sama. Semoga keadaan pulih seperti sediakala dan ada rezeki yang lebih cerah di mana-mana.

Jangan mengalah anak muda!

 

 

 

 

 

 

 

Tags: , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna