Takut Virus Atau Tuhan? Mufti Selangor Jelas Konsep Sebenar Tawakal

Kita boleh berserah kepada Allah SWT tetapi  selepas berusaha bersungguh-sungguh (bertawakal).  Ini langkah terakhir berserah kepada Allah SWT.

Hati penulis sungguh tertarik dengan soalan berkaitan agama yang diajukan oleh seorang wartawan Harian Metro kepada Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkaitan isu semasa penularan virus COVID-19 yang setakat waktu artikel ini ditulis, ia sudahpun meragut sehingga 8 nyawa di Malaysia.

Disebabkan hal ini, semua rakyat menjadi lebih sensitif. Pelbagai isu timbul termasuk isu agama apabila orang ramai mendapat tahu antara sebab terjadinya gelombang kedua adalah berpunca daripada perjumpaan jemaah tabligh secara besar-besaran di Sri Petaling dan kemudiannya kecoh pula satu lagi perjumpaan di Indonesia pada saat negara getir mengharungi lambakan pesakit yang sudah dijangkiti virus membunuh.

Sedih untuk penulis terima, namun tindakan ini mengundang persepsi buruk terhadap mereka yang beragama Islam. Bukan niat mereka yang ingin berjuang demi agama untuk menyebarkan virus yang sedia ada, namun tindakan segelintir mereka yang mungkin tanpa disengajakan telah mengeruhkan lagi keadaan.

Lebih sedih, segelintir mereka ini tergolong dalam golongan yang dengan bangganya mempersoalkan takut kepada Allah SWT atau virus apabila didesak supaya mengambil langkah pencegahan. Tindakan itu secara jelas bertentangan dengan konsep Islam yang menganjurkan umatnya berikhtiar mencari penawar.

Ada golongan enggan mendapatkan rawatan moden dan sebaliknya hanya bergantung kepada ayat al-Quran meskipun membabitkan penyakit mengancam nyawa. Pendapat Datuk?

Allah SWT mengurniakan   akal   kepada manusia  untuk berfikir, berusaha dan  bertawakal.

Ia bertepatan  dengan sabda  hadis Rasulullah SAW.  Baginda menyuruh seorang sahabat mengikat kenderaannya (seekor unta) supaya tidak hilang, yang bermaksud: Gunakanlah akal fikiran dan bertawakal (berserah diri) kepada Allah SWT.

Oleh itu, setiap  usaha termasuk  rawatan perlu menggunakan dan mendahulu akal fikiran  sebelum bertawakal kepada Allah SWT. Berusaha ke arah mencapai sesuatu yang lebih baik.  Contohnya, seorang pesawah menanam padi perlu gigih berusaha bagi mendapatkan hasil lebih baik.

Usaha itu merangkumi kerja menjaga, membaja, meracun serangga dan membersihkan rumput liar yang tumbuh bersama tanaman padi. Kemudian bertawakal yang disertai doa kepada Allah agar tanaman ini membesar dalam  baik, tanpa serangan serangga dan mengeluarkan hasil berkualiti.

 Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud ‘setiap penyakit ada penawarnya’.  Oleh itu, kita perlu berusaha mencari ubat sebelum sesuatu penyakit itu merebak menjadi lebih buruk.

Ubat ini sebagai penyebab untuk menyembuhkan penyakit  dan  wasilah (perantara) sembuhnya segala  penyakit. Pada masa sama, banyakkan berdoa  kepada Allah SWT  supaya  setiap  penyakit dihidapi  sembuh.  Usaha dan ikhtiar ini  tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Golongan ini  seperti ‘sengaja’ menyebarkan mudarat kepada orang lain. Apa hukumnya kepada golongan ini?

Perbuatan ini dikira ‘zalim’ sekiranya individu   mengetahui menghidap sesuatu penyakit yang boleh  menjejaskan keselamatan diri atau mungkin merebak dan mengancam keselamatan  individu lain. Dalam Islam,  Rasulullah SAW ada menyatakan yang maksudnya tiada sebarang mudarat dan tiada perbuatan membalas kemudaratan.

Individu berpenyakit yang  hanya mahu mengambil pendekatan  bertawakkul  semata-mata (menyerah sepenuhnya kepada Allah SWT tanpa usaha),  tanpa bertawakal (menyerah sepenuhnya kepada Allah SWT, selepas berusaha keras) dianggap zalim terhad dirinya sendiri dan boleh menjadi penyebab menzalimi orang lain.

Menjadi satu kesalahan besar sekiranya individu yang positif dengan virus, tetapi  tidak berterus terang dengan perkara itu (penyakit) kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Tidak diharuskan (haram) memudaratkan diri sendiri kerana Allah SWT berfirman yang maksudnya: Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (al-Baqarah:195).

Takut Tuhan atau virus?  Ini soalan kerap dilontarkan pihak tertentu?

Takut kepada Allah SWT kewajipan kepada orang Islam yang perlu dipatuhi.  Khatib setiap kali menyampaikan khutbah Jumaat menyatakan ‘takutlah kepada Allah SWT’ dan ia satu daripada lima rukun khutbah wajib diucapkan khatib.

Virus  makhluk ciptaan  Allah.  Maknanya semua kejadian  di muka bumi ini sama ada  yang baik dan buruk adalah ciptaan Allah SWT. Kita perlu berusaha dan berikhtiar supaya terhindar serta tidak dijangkiti oleh penyakit berbahaya yang berpunca daripada bakteria atau virus.

Pada masa sama waspada supaya tidak dijangkiti  atau menjadi penyebar jangkitan kepada orang lain. Ini konsep tawakal dalam Islam.

Semuanya berserah kepada Allah SWT, seolah-olah kita tidak perlu berusaha. Pendapat Datuk?

Kita boleh berserah kepada Allah SWT tetapi  selepas berusaha bersungguh-sungguh (bertawakal).  Ini langkah terakhir berserah kepada Allah SWT.

Contoh mudah,  seorang isteri sarat mengandung masuk  di   wad Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami kesukaran  untuk bersalin. Doktor melakukan pembedahan sebagai usaha terakhir  demi menyelamatkan nyawa bayi terbabit.

Begitu juga dengan penularan Covid-19  dan mereka yang dijangkiti tidak boleh hanya bertawakkul  semata-mata. Mereka perlu berusaha dengan mendapatkan rawatan. Saya mengingatkan kepada mereka yang mendapatkan rawatan bahawa  ubat  wasilah  (penyebab atau perantaran)  tetapi yang menyembuhkan penyakit seseorang Allah SWT.

Oleh kerana mahu mendapatkan pahala solat berjemaah, jemaah mendirikan solat jemaah dengan jarak saf satu meter ketika wabak Covid-19. Boleh atau tidak?

Solat berjemaah perlu dilakukan dengan saf yang rapat dan lurus iaitu bahu jemaah saling bersentuhan. Situasi ini dibolehkan jika semua jemaah sihat tanpa sebarang penyakit terutamanya Covid-19.

Namun, disebabkan wabak Covid-19, maka tidak menjadi kesalahan saf jemaah berdiri pada jarak 0.25 meter bagi mengelak jangkitan wabak itu. Tetapi  jangan pula  disebabkan  jarak berjauhan seperti  itu membuatkan  jemaah menjadi  tidak khusyuk dalam solat.

Hikmah solat jemaah pada jarak rapat ialah membantu kita solat dengan khusyuk yang dibanturasa denyutan panas badan jemaah lain yang berdiri bersebelahan. Sebaliknya, jika solat berjemaah bersama ahli keluarga yang diyakini sihat dan bebas daripada penyakit berbahaya, maka boleh merapatkan saf itu.

 Adakah timbul sebarang isu berbangkit susulan penutupan sementara masjid?

Di Selangor,  langkah penutupan ini menyebabkan segelintir  masyarakat salah faham dan mengatakan  kerajaan negeri melarang mereka datang ke masjid.

Hakikatnya kerajaan negeri, sebagaimana titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil langkah penutupan sementara dengan menangguhkan aktiviti di masjid, surau dan musala. Ini bertujuan  mencegah kluster jangkitan menjadi lebih teruk.

Namun kita  masih boleh solat berjemaah bersama keluarga di rumah masing-masing. Dalam isu berkaitan solat di masjid, surau dan musala, imam bertugas bersama bilal dan noja perlu menunaikan solat fardu berjemaah (sekurang-kurangnya dua orang).

Azan tetap dilaungkan sebanyak lima kali sehari dengan tujuan mereka dapat melepaskan tanggungan fardu kifayah oleh ahli  kariah di kawasan masing-masing. Jika solat berjemaah ini tidak dapat dilakukan, maka seluruh ahli kariah menanggung dosa kerana tidak mendirikan solat lima waktu secara berjemaah di surah, masjid atau musala.

 

Baca juga:

Allah Yang Berkuasa, Korona Tak Berkuasa, Alasan Merepek, Ijtimak Dunia Dibatalkan

Jangan Ingkar Arahan! Gelombang Ketiga COVID-19 Lebih Parah

 

 

 

 

 

 

 

Sumber: Hmetro

 

 

 

Tags: , , , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna