Syndrome Down Mampu Hidup Berdikari Jika Diberi Ruang & Peluang Kepada Mereka

21 Mac adalah sambutan hari istimewa bagi meraikan individu yang menghidapi Sindrom Down di seluruh dunia. Sambutan ini untuk menghargai golongan pesakit ini supaya masyarakat lebih mendekati dan mengenali diri mereka.

Bersempena dengan sambutan ini, seluruh Persatuan Sindrom Down Malaysia bersama wakil-wakil persatuan merancang menyambut hari istimewa ini dengan melakukan aktiviti bersama pihak media, artis, badan organisasi lain atau masyarakat.

Beruntungnya Donna apabila dapat melibatkan diri dalam sambutan Hari Sindrom Down Sedunia ke-18 bersama Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Sindrom Down di Ampang yang bertemakan ‘warna-warni bunga syurga mengindahkan dunia’.

Ketika berada di sana, Donna berkesempatan menemubual presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia, Hanizan Hussin dengan bertanyakan apakah keistimewaan yang masyarakat tidak tahu lagi tentang individu yang mengalami penyakit Sindrom Down ini.

Menurutnya, walaupun mereka lambat tangkap dalam mempelajari sesuatu perkara dan mengalami beberapa masalah kesihatan tetapi, itu bukan satu halangan untuk mereka menjalani kehidupan biasa seperti kita. Cumanya, dengan sifat sabar dan perhatian yang lebih diberikan, Hanizan yakin mereka dapat menerima arahan dengan baik seperti orang normal.

“Sebenarnya mereka ini insan yang sangat mudah dibentuk dan dididik sebab jika kita mengajar mereka sesuatu kemahiran dengan cara dan proses pembelajaran yang betul, Insya-Allah mereka dapat menerima arahan dengan sebaiknya.

Pengalaman saya menjaga dan mendidik kanak-kanak sindrom ini, memang agak mencabar tapi dengan perhatian dan pertolongan pihak kami, saya yakin mereka boleh menjalani kehidupan seharian seperti kita kerana memori mereka sama seperti orang normal cuma pemikiran mereka agak lambat dari usia sebenar. Misalnya, mereka berumur 5 tahun tetapi, gaya mereka seperti berusia 3 tahun.

Malah, mereka juga boleh urus diri  mereka sendiri, mampu menjana pendapatan sendiri dan membantu keluarga sekiranya ibu-bapa, pihak kementerian kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Sumber Manusia memberi peluang dan membuka ruang untuk mereka menunjukkan kemahiran mereka,” katanya ketika ditemubual semalam.

Apabila Donna sedang melihat kanak-kanak sindrom down sedang ralit melakukan aktiviti riadah, satu susuk tubuh  telah menarik perhatian Donna. Wajahnya seperti kanak-kanak sindrom down yang lain tetapi berpakaian baju seragam sama seperti penjaga kanak-kanak disitu. Pelik!

Tanpa berfikir panjang, Donna terus menghampirinya dan menyapa. Dengan wajah ceria, dia memperkenalkan dirinya sebagai Elia berusia 28 tahun. Benarlah, gadis ini mengalami penyakit Sindrom Down. Menurut Puan Hanizan, Elia adalah bukti pesakit sindrom yang mampu menjadi manusia normal jika diberi perhatian lebih untuk dididik menjalani kehidupan seperti orang biasa.

Golongan Sindrom Down sebenarnya mampu menyumbang sesuatu kepada komuniti. Mereka bukan golongan yang lemah dan masyarakat perlu mengubah persepsi tersebut.

 

 

 

Tags: , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna