Susu Badan Memang Sentiasa Ada! Jangan Bagi Alasan

Saya bagi susu tepung sebab susu tak ada! Anak lapar je sebab susu tak ada, jadi bagi susu formula senang terus kenyang! Payudara saya kecil, susu tak ada!”

Ini adalah ru­ngutan biasa dide­ngari terutama bagi ibu yang baru kali pertama melahirkan anak. Betul kan? Berhadapan situasi ini membuatkan ada antara mereka terfikir untuk memberikan susu formula kepada bayi ter­utama selepas beberapa jam melahirkan anak lantaran tidak sanggup mendengar tangisan bayi yang disangka lapar dan tidak cukup susu yang cukup. Ada pula menyangka susu akan terus keluar dengan banyak sehingga membuatkan mereka panik apabila payudara tidak menghasilkan susu seperti yang dibayangkan.

Rata-rata semua ibu akan berhadapan situasi yang sama ketika melahirkan anak. Sebetul-betulnya selepas mengetahui diri hamil sambil buat persiapan menanti kelahiran bayi seperti pakaian atau peralatan bayi, anda seharusnya mempersiapkan diri dengan ilmu kelahiran dan penyusuan. Percayalah, penulis juga menyesal sebelum ini kerana tidak membuat persiapan mengenai kelahiran dan penyusuan dengan cukup. Sewaktu dan selepas kelahiran bayi penulis mempunyai kesulitan yang amat sangat kerana tidak ada apa-apa pengetahuan mengenai dunia penyusuan.

Menurut Pakar Laktasi Puan Salmiah Dato’ Haji Talib kepada Donna, amat penting wanita yang baru kali pertama mengandung sepatutnya membuat persiapan mengenai ilmu pe­nyusuan dengan menghadiri kelas penyusuan susu ibu yang dianjurkan sama ada badan swasta atau hospital kerajaan. Ini bagi mendapat­kan gambaran jelas mengenai masalah penyusuan agar mereka tidak panik selepas melahirkan anak pertama.

“Penyusuan susu ibu amat penting sebagai imunisasi pertama bayi. Secara keseluruhan, nutrisi-nutrisi penting ini yang diberikan ketika bayi masih kecil membantu memberikan kesan jangka masa panjang terhadap perkembangan dan masa hadapan kanak-kanak. Kerana itu saya sangat sarankan ibu-ibu hanya memberikan susu badan kepada bayi mereka yang baru lahir sekurang-kurangnya hingga 2 tahun. Ubah minda anda dengan menyatakan susu badan sentiasa ada dan elakkan terlampau stres. Itu punca utama menyebabkan susu badan tiada.”katanya.

Sumber Foto: raisingchildren.net

Perkara paling penting untuk susu badan sentiasa ada ialah dengan sentiasa meransang susu ibu. Anda perlu sentiasa bertenang dan terus cuba menyusukan bayi dan pada masa sama, boleh mula memerah susu bagi merangsang pengeluaran susu ibu. Bagi memastikan pengeluaran susu lancar, ibu yang baru melahirkan anak perlu menyusukan bayi mereka sekerap mungkin iaitu satu hingga dua jam sekali. Yakin dan teruskan penyusuan kerana menyusu sepatutnya adalah intuisi seorang bayi dan ia amat penting untuk merangsang pengeluaran susu ibu di awal kelahiran.

“Biarkan bayi sentiasa menghisap payu dara untuk penghasilan susu yang berterusan. Dari situ susu akan sentiasa ada. Saiz payu dara bukan penyebab anda tidak mempunyai susu badan. Asalkan anda mengetahui cara yang betul untuk banyakkan susu badan sudah memadai,” tambahnya lagi.

Sumber Foto: zuriat.my

Setiap ibu perlu tahu cara yang betul dan selesa untuk meletakkan bayi pada posisi sesuai untuk penyusuan. Dicadangkan untuk terus menyusukan bayi selepas proses kelahiran. Ternyata, lebih awal proses penyusuan susu ibu berlangsung, lebih tinggi kadar kejayaan dan kelangsungan penyusuan susu ibu berlaku.

  • Anda perlu bertenang, bebas stres, mendapat tidur yang cukup dan memahami proses selepas kelahiran, maka ini dapat mendorong merangsang susu ibu dengan baik berbanding jika anda panik. Pada masa ini sokongan daripada suami amat diperlukan oleh seorang ibu yang baru lepas melahirkan anak.
  • Teknik urutan yang betul juga dapat melancarkan pengeluaran susu badan secara tidak langsung sebenarnya, ia dapat menambahkan lagi penghasilan susu. Urutan boleh dilakukan sama ada di bahagian belakang badan si ibu dengan bantuan tukang urut yang mahir atau paling mudah membuat urutan pada bahagian payudara. Sentuhan jari yang dikenakan pada payudara dalam formasi membulat dan menegak akan melonggarkan saluran susu dan meransang kelenjar susu bekerja dengan lebih kuat untuk menghasilkan susu. Suami boleh membantu dengan mempelajari cara mengurut lembut payudara dan mandi air panas untuk merangsang pengeluaran susu.
  • Untuk kesan berpanjangan, semua ibu digalakkan mengambil makanan sihat yang boleh membanyakkan susu ibu seperti halba, oat, minuman bermalt, barli serta banyakkan minum air kosong.

Tags: , , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna