Susah Ke Nak Ambil Hati Mertua & Ipar Duai?

Sedangkan dengan ibu atau bapa sendiri pun selalu terasa hati inikan pula dengan ibu atau bapa mertua.”

Dengan adik beradik sendiri pun kita bertengkar apa lagi dengan ipar duai yang baru beberapa tahun kenali. Orang yang baru kenal tentulah sukar untuk anda suka dan serasi. Itulah adat resam hidup berumah tangga. Orang kata bila berkahwin bukan setakat berkahwin dengan lelaki pilihan hati sahaja, tetapi anda perlu berkahwin dengan seisi keluarganya sekali. Untuk dapatkan kehidupan yang harmoni dan aman damai, maka anda yang baru atau sudah berkahwin perlu tahu cara-cara untuk ‘masuk’ ke dalam keluarga baru ini.

Ramai menantu yang mungkin tidak sejiwa dengan ibu bapa pasangan, lebih-lebih lagi ibu mertua atas alasan mertua terlalu cerewet. Atau mungkin anda sukar mendekati ipar duai kerana mereka sering menjuri segala tindak-tanduk anda. Sebenarnya ada banyak cara yang lebih manis untuk anda dekat dengan hati keluarga pasangan, malah sekelip mata akan disenangi ayah dan ibu mertua juga dalam kalangan ipar-duai.

Tatkala bergelar suami atau isteri, pastinya perkara ini mengganggu permulaan kehidupan anda samada anda boleh menerima keluarga yang baru ini atau anda boleh diterima dengan senang hati masuk ke dalam keluarga ini. 5 tahun yang lalu sama seperti pengantin baru yang lain, penulis juga ‘gerun’ untuk memulakan hidup dengan keluarga besar pasangan.

Suami penulis mempunyai bilangan adik beradik yang agak besar iaitu 3 lelaki dan 5 perempuan, dan itu membuatkan hati terasa sedikit risau untuk mengenali kesemuanya yang pasti mempunyai pelbagai perangai dan karektor yang berbeza. Berkat mengenali mereka dengan lebih rapat dan mendapatkan segala tip serta petua daripada rakan dan keluarga, kini hubungan penulis bersama mertua dan ipar duai sangat akrab dan baik umpama darah daging sendiri.

Penulis, bersama sebahagian daripada ipar duai dan ibu mertua.

Antara apa yang diamalkan, paling penting cuba elakkan bertanggapan buruk kepada orang lain. Sebab pemikiran inilah yang membawa kepada aura negatif. Cuba anda bersangka baik dengan mertua serta ipar duai anda, pasti semua akan baik-baik sahaja. Cuba letak diri anda ditempat mertua anda yang suatu hari nanti anda juga akan mempunyai anak menantu atau cuba letak tempat anda pada ipar duai anda, yang satu hari ada adik beradik anda sendiri akan berkahwin dengan orang luar dan menjadi sebahagian daripada keluarga anda. Sebagai orang baru, cuba selami hati budi keluarga pasangan terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan sendiri.

Sumber Foto: gokids.com.au

Belajarlah mengenali mertua dan ipar duai secara lebih dekat. Sebelum berkahwin, ajak pasangan anda untuk lebih kerap libatkan anda dalam aktiviti keluarnya. Mudah untuk anda mengenali setiap seorang daripada mereka terlebih dahulu. Maka pada awal perkahwinan, belajarlah untuk lebih mengenali sikap mereka terutama ibu mertua. Tanya kepada pasangan, apa yang disukai dan dibenci oleh ahli keluarganya.

Jika mempunyai keluarga yang ramai, fokus hanya untuk beberapa orang terlebih dahulu seperti bapa mertua, ibu mertua, anak sulung dan yang paling bongsu. Ketahui bagaimana sikap dan perwatakan mereka sebenarnya dan kemudian barulah anda mengikut rentaknya. Namun anda juga harus lebih sopan dan tertib kala bersama dengannya. Tak mengapa jika perlu hipokrit seketika untuk perkara yang baik. Itu memudahkan proses untuk mendekati orang luar dengan lebih cepat dan erat. Jangan pula awal-awal sudah mula buat perangai, memang sampai bila-bila susah untuk orang terima anda.

Berusahalah untuk mengambil hati mereka semua walau adakala anda nampak berlebihan. Ajak pasangan pulang untuk menjenguk mereka di kampung atau melawat ipar duai dengan kerap. Semakin kerap anda meluangkan masa semakin baik hubungan yang cuba dijalinkan. Jika mempunyai anak, cuba dekatkan mertua dengan cucu-cucunya sudah pasti buat mereka lebih gembira. Tetapi jika hubungan anda dengan mereka memang susah untuk baik atas perkara tertentu ada baiknya kurangkan sesi lawatan tersebut.  Tidak hanya itu sahaja, anda juga perlu pandai dan bijak mencuri hati mereka seperti pemberian hadiah atau buah tangan. Itu tanda anda tidak pernah melupakan mereka walaupun pemberian itu tidak la sehebat atau semahal mana.

Sumber Foto: orami.co.id

Tidak salah juga jika anda cuba jadikan mereka seperti kawan. Sesekali telefon mereka untuk bertanya khabar atau pun sekadar menghantar mesej-mesej bergambar yang comel ke aplikasi telefon bimbit. Berkongsilah apa sahaja dengan mereka asalkan tidak melampaui batas antaranya seperti menonton rancangan televisyen kegemarannya, memasak bersama atau berkongsi cerita lucu mengenai pasangan atau cucu dan anak buah mereka. Anda juga boleh merancang percutian yang menyeronokkan bersama mereka. Mungkin sekadar berpiknik di tepi tasik atau taman permainan.

Sumber Foto: ributrukun.com

Jalan paling mudah, anggap sahaja mertua atau ipar duai seperti ibu dan ayah atau adik beradik sendiri. Kalau anda boleh berdepan dengan bebelan ayah atau ibu kandung sendiri, dengan mereka anda pasti mampu hadap. Layanlah mereka dengan baik dan hormatilah mereka sebaik mungkin. Memang benar ramai beranggapan sebaliknya, kerana bagi mereka mertua bukan orang yang melahirkan atau membesarkan anda ketika susah dan senang sebelum ini. Namun anda perlu tahu, yang mertua anda telah melahirkan dan membesarkan pasangan anda. Mereka juga banyak berkorban yang anda sendiri pun tidak tahu apa yang mereka pernah lakukan demi anak atau pasangan anda. Hubungan kekeluargaan perlu dilengkapkan dengan sifat tolak ansur yang lebih pasti buat hubungan itu lebih harmoni ok?

Lupakan seketika drama di televisyen yang banyak memburukkan keluarga mertua atau ipar duai, ambil yang positif tau. Jika anda rasa tertindas dek keluarga mertua yang kejam, banyak saluran yang menjadi tempat untuk anda suarakan. Paling penting, kenali mereka semua terlebih dahulu sebaik mungkin. Banyak kelebihan jika anda baik dengan keluarga mertua dan ipar duai anda tau.

 

 

 

 

Tags: , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna