Suara Sedap Bukan Ukuran Untuk Bergelar ‘Voice-Over Talent’ Radio

Amyrah Arteh boleh dianggap antara ‘super senior’ dalam bidang voice-over di negara.”

Bagi peminat HotFM dan KoolFM pasti terbiasa mendengar puluhan iklan atau suara latar (voice-over) di radio menggunakan suara seorang wanita yang kedengaran seperti tidak asing lagi. Suara tersebut seperti sudah sebati dan serasi untuk didengar dalam apa sahaja jenis iklan. Gaya intonasi suaranya yang pelbagai, bersahaja dan kreatif boleh diingati sehingga hari ini. Empunya suara ’emas’ tersebut adalah milik seorang wanita ayu bernama Amyrah Abdul Rahman atau senang dikenali ramai sebagai Amyrah Arteh.

 

Menjadikan kerjaya voice-over talent sebagai kerja sampingan, dia turut menggalas tanggungjawab sebagai Head Creative Writer dan pengacara radio mingguan bagi KoolFM di bawah jenama Ripple. Amyrah Arteh boleh dianggap antara ‘super senior’ dalam bidang voice-over di negara. Donna berkesempatan menemubual ibu kepada dua orang cahaya mata ini, untuk mengetahui kisahnya bagaimana mula terlibat dalam kerjaya yang menggunakan ‘suara’.

 

Bagaimana anda mula terlibat dalam kerjaya ‘voice-over talent‘?

Semuanya secara kebetulan. Ketika itu saya berkhidmat sebagai krew promosi di luar kawasan untuk jenama radio pesaing. Apabila ditugaskan sebagai ‘budak jalanan’ memang perlu buat laporan untuk cross atau pelbagai acara. Bermula daripada itu ada staf di bahagian programming perasan bakat yang saya ada. Perlahan-lahan mereka tarik saya untuk cuba rekod promo, waktu solat, baca frekuensi untuk stesen. Masa itu, sebagai permulaan semua dibuat secara percuma untuk meminjamkan suara sahaja. Sampailah satu ketika bahagian kreatif mendekati saya untuk mencuba buat voice-over untuk iklan. Kalau iklan tentulah ada klien, kalau ada klien tentulah ada sumber pendapat. Dari situ, saya mula mendapat pendapatan sampingan untuk suara yang telah disumbangkan.

 

Apa perasaan anda suara dikenali ramai?

Memang menyeronokkan, sebab kebanyakkan voice-over talent orang hanya perasan suara, bukan rupa paras. Jadi apabila tengah bersembang, dan ada orang yang mengenali suara kita secara tidak langsung pasti akan berasa sedikit terharu. Waktu itu, baru identiti terbongkar. Jadi kalau ada yang bertanya, saya memang suka untuk kongsikan kerjaya voice-over ini.  Industri suara latar di Malaysia sangat kecil dan saya sangat suka berkongsi dengan orang di luar sana kalau ada orang yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut dunia voice-over kerana bidang ini sangat menyeronokan.

 

Sehingga artikal ini disiarkan, berapa banyak iklan atau voice-over yang telah menggunakan suara anda?

Secara jujur saya tidak ingat berapa banyak voice-over telah saya lakukan. Apa yang boleh saya katakan saya terlibat dalam bidang ini untuk radio pada tahun 2007 dan tv pula sekitar tahun 2007.  Selain pada komersial, saya juga ada lakukanpromo untuk program di TV3, TV9 dan 8TV. Antara pencapaian terbesar saya lakukan dalam industri voice-over adalah terlibat dalam Anugerah Skrin dan radio stesen untuk HotFM dan KoolFM.

 

Apa kepuasan yang anda dapat ?

Puasnya menjadi seorang voice-over talent apabila saya dapat membawa watak dalam iklan dengan berkesan sehingga klien atau produser berpuas hati. Seperti seorang pelakon sebenar, saya perlu masuk ke dalam watak agar cabaran yang diterima itu dapat diberikan sebaik mungkin. Bukan terhenti di situ sahaja, selepas klien berpuas hati mereka ingin memanggil anda semula untuk komersial akan datang. Itu memang betul-betul merupakan satu kepuasan besar yang tidak terhingga jika ada yang menghargai bakat dan kerja yang telah anda lakukan sebaik mungkin. Jika tidak berani menyahut cabaran serta berusaha mempelajari sesuatu yang baharu sampai bila-bila pun kita tidak akan tahu dan berjaya menghasilkan apa yang diminta. Sebab itu semasa diberi tugasan saya hanya terfikir untuk berkata saya boleh buat, walaupun menyedari banyak perkara yang perlu dilakukan selepas itu.

 

 

Ciri-ciri yang perlu ada untuk menjadi seorang voice-cver talent?

Pada pendapat saya, suara bukan faktor utama untuk menjadi seorang voice-over talent tetapi bonus jika anda mempunyai suara yang sedap. Jika ada individu di luar sana yang tidak mempunyai suara yang sedap tetapi berminat dengan kerjaya tetap boleh mencuba. Ini antara ciri-ciri yang perlu ada untuk menjadi voice-over talent:

  • Asalkan anda pandai dan berbakat membuat pelbagai intonasi suara.
  • Boleh kawal lontaran suara.
  • Boleh membaca dengan terang dan jelas.
  • Pandai bermain dengan pace slow ke laju.
  • Displin waktu paling penting dan perlu menepati masa.
  • Tahap kesabaran kena tinggi sebab kena berdepan dengan kerenah klien yang pelbagai.
  • Merendah diri. Hebat atau ‘otai’ macam mana pun anda, perlulah menghormati orang lain. Dengan kata lain boleh ditegur jika ada kesalahan dan mendengar arahan.

 

Tip untuk menjadi seorang voice-over talent yang baik.

Paling penting kena banyak buat latihan dan tidak malas. Tip kepada yang baru ingin melibatkan diri dalam bidang ini adalah:

  • Jika sudah dipilih untuk menjadi voice-over talent, minta skrip dengan lebih awal.
  • Buat latihan dan praktis sehingga berpuas hati. Sebab i believe practice makes perfect!
  • Baca dalam intonasi dan nada yang berbeza seperti nada marah, gembira, takut, menggoda dan gedik. Jika ayat yang sama tapi kedengaran berbeza, maknanya anda memang layak membawa watak.
  • Perlu buang perasaan malu. Walaupun hanya di dalam radio, anda tetap perlu melakonkan watak tersebut dengan baik.

 

Siapa idola anda dalam bidang ini?

Idola saya dalam industri voice-over adalah Rodney Michael iaitu empunya suara untuk iklan kurma paling terkenal di Malaysia. Bagi saya penyampaiannya sikit lagi hampir sempurna. Dia memiliki suara lelaki paling macho di dunia. Walaupun dia antara yang paling otai dalam industri voice-over tetapi dia seorang yang sangat merendah diri, dan menghormati sesiapa sahaja walaupun anda masih baru dalam industri. Kalau bercakap soal ketika berkerja, Rodney seorang yang sekali take terus sempurna. Paling hebat, kalau diminta bacaan tempoh tertentu, sekali rekod terus boleh dapat. Contohnya perlu rekod untuk voice-over berdurasi 20 saat, dia akan baca skrip ikut durasi 20 saat. Kalau diminta untuk buat untuk durasi 25 saat mengikut skrip yang sama seperti durasi 20 saat, dia tetap dapat lakukan mengikut masa yang tepat. Rodney begitu bijak bermain dengan pace bacaan dan seolah-olah boleh mengagak bacaan tersebut. Mungkin sudah terbiasa barangkali dan tidak semua talent dianugerah bakat sepertinya.

 

Siapakah perangsang kuat untuk teruskan kerjaya sampingan ini?

Semestinya ibu bapa serta keluarga saya banyak memberi galakan dan peransang untuk saya teruskan minat dalam bidang yang saya ceburi. Walaupun mereka sendiri tidak pasti bagaimana sebenarnya kerjaya seorang voice-over talent itu, tapi sokongan mereka dari awal memang sangat membantu.  Waktu awal-awal suara ke udara pun hanya ahli keluarga sahaja yang perasan, orang lain tak tahu pun.Mereka juga individu yang paling banyak mengkritik agar saya boleh terus memberikan yang terbaik.

 

Sebagai wanita bekerjaya, bagaimana anda membahagikan masa antara keluarga, anak dan kerja?

Untuk mengimbangi kehendak kerjaya, diri dan keluarga, saya tidak meletakkan masalah kekangan masa itu sebagai penghalang atau alasan untuk mencapai apa yang dihajati dalam kehidupan. Pengurusan masa yang berkualiti, tahu memilih keutamaan dan hala tuju hidup merupakan rahsia saya dapat mengimbangkan kehidupan berkeluarga dan kerjaya dalam satu masa tanpa sebarang masalah. Kegagalan menguruskan masa dengan betul akan memberi kesan kepada fokus utama kehidupan dan masa depan diri serta keluarga.

Sumber: google image

Mengimbas kenangan lalu, Amyrah Arteh amat berterima kasih kepada kerjaya yang lalu yang merupakan antara kemuncak awal membawanya ke bidang tersebut. Semua itu dilakukan atas semangat ingin mencuba, di samping mempelajari bidang yang dianggap baharu buat dirinya ketika itu. Peribahasa Melayu ada mengatakan hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Barangkali kata-kata tersebut menjadi peransang kepada dia untuk mencintai kerjaya sampingan yang diterajuinya sekarang iaitu voice-over talent untuk radio dan televisyen. Pada masa sama, Amyrah tidak menafikan selain minat dan bakat, inisiatif serta komitmen yang tinggi perlu ditunjukkan oleh mana-mana individu yang ingin menjadi sepertinya agar berdaya maju. Sampai hari ini kerjaya sampingan yang dicuburinya akan menjadi darah dagingnya dan dia akan mencurahkan pengalaman itu kepada mereka yang sudi, terutamanya untuk generasi muda. Amyrah Arteh juga bercita-cita untuk menyumbangkan pengetahuan yang dia ada kepada orang perseorangan, kanak-kanak atau pelajar sekolah yang ingin menjadikan kerjaya voice-over sebagai sumber pendapatan sampingan. Dia juga berharap agar bidang ini menjadi salah satu aktiviti yang turut digemari ramai orang seperti mana mereka mendaftarkan diri dalam bidang muzik, kelas renang atau mempelajari seni mempertahankan diri.

 

 

 

 

Tags: , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Comments

    • Izan
    • 8 December 2018
    Reply

    Mcmana nak melibatkan diri dengan voice-over?

    • Norazlinda shaari
    • 8 December 2018
    Reply

    Saya berminat utk jd vioce over…mcmana caranya

      • Ushumi Hamdan
      • 10 January 2019
      Reply

      sy pun berminat nak buat part time voice over

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna