Spanar Jaya X Imbau Nostalgia Penonton…

Spanar Jaya memaparkan situasi di sebuah bengkel membaiki kenderaan dengan menyentuh pelbagai isu yang terjadi dalam masyarakat marhaen.”

Sebut sahaja sitkom Spanar Jaya, pasti ramai yang terbayang-bayang empat tunggak pelakon utamanya, Ahmad Idham, Wardina Safiya, Opie Zami dan arwah Zaibo. Selain itu terdapat watak sampingan lain yang masih diingati ramai seperti watak Eddy Lentuk lakonan Bob Azrai yang sangat meminati muzik jiwang manakala watak Abdullah lakonan Radhi Khalid, pekerja asing Bangladesh yang mencari rezeki di bengkel Spanar Jaya.

Sitkom ini banyak bereksperimen dalam setiap episod dan kerap menyelitkan unsur-unsur kemasyarakatan, jenaka serta muzikal. Selain itu beberapa penampilan selebriti tanah air turut diundang bagi menyerikan lagi jalan cerita yang disiarkan saban minggu. Sitkom ini berjaya menjadi antara pilihan peminat untuk menonton di kaca televisyen bersiaran pada tahun 1999 sehingga 2003.

Setelah hampir 20 tahun, kini muncul kembali sitkom kesinambungan daripada Spanar Jaya yang lalu iaitu Spanar Jaya X arahan Ahmad Idham, bekas tunggak utama pelakon musim lalu. Sitkom Spanar Jaya X kali ini membariskan muka-muka baru seperti pelakon Ben Amir, Uqasha Senrose, Doughlas Lim, Sangeeta, WanHanafi Su dan mengekalkan Opie Zami sebagai pelakon utama bersama ramai lagi selebriti undangan yang diundang pada setiap episod. Spanar Jaya X telah menjalani penggambaran sebanyak 13 episod dan siri pertama akan mula ditayangkan pada Februari 2019 nanti. Selain menyentuh isu semasa, Spanar Jaya X masih mengekalkan konsep kehidupan seorang mekanik dan perniagaan bengkel kenderaan seperti sebelum ini.

Sedikit sinopsis ringkas, Spana Jaya X merupakan perniagaan asal yang telah diserahkan kepada Mat Rock oleh Pak Selamat yang kini bersama menantunya Iskandar menjalankan perniagaan pengedaran kereta mewah. Keputusan untuk menyerahkan Spanar Jaya kepada Mat Rock, atas alasan dia adalah pekerja setia yang telah dianggap seperti ahli keluarga oleh pemilik asal bengkel tersebut. Malangnya perniagaan yang dikendalikan Mat Rock merosot dengan teruk selepas setahun kerana tidak mempunyai selok belok atau asas perniagaan yang baik. Maka Pak Selamat telah menghantar anak buahnya, Shasha untuk mengendalikan segala hal ehwal kewangan dan juga Zaki, seorang mekanik yang hebat sebagai ‘Chief Foreman‘ untuk mengembalikan keyakinan pelanggan terhadap Spanar Jaya.

Penulis bersama Mat Rock ‘taukeh‘ Spana Jaya X yang baru lakonan Opie Zami.

Diberi kesempatan berada dibelakang tabir set pengambaran Spanar Jaya X untuk rakaman episod terakhir baru-baru ini mengimbau nostalgia saya sendiri. Bagi anda yang sealiran zaman dengan saya juga pasti masih teringat momen bibit-bibit cinta antara Iskandar dan Misha, perangai kebudak-budakan Mat Rock, gelagat si Abdullah yang menghiburkan dan riuh rendah suara Uncle Muthu serta Uncle Stanly.

Saya pasti, penonton juga rindu dan tidak sabar untuk menyaksikan sitkom yang pernah menjulang nama Ahmad Idham dan Wardina Safiya sewaktu awal kemunculan mereka. Seingat saya, sewaktu sitkom Spanar Jaya mula ditayangkan di kaca televisyen, umur saya baru sekitar 16 tahun dan masih di alam persekolahan. Jalan ceritanya yang menarik dan ringan memang menjadi tontonan saya seisi keluarga bersama-sama.

Berpeluang melihat dan menjejakkan kaki di set pengambaran Spanar Jaya X didepan mata sangat mengujakan. Mana tidaknya, sebelum ini hanya berpeluang melihat dikaca televisyen sahaja.  Tidak banyak yang berubah seperti siri sebelum ini. Cuma mungkin susun atur perabot dan kelengkapan bengkel sedikit moden berbanding sebelum ini. Siapa sangka Mat Rock yang dulunya hanya mekanik biasa yang naif kini ‘naik pangkat’ menjadi seorang bos. Macam mana la agaknya kan? Ini bukan mimpi Mat Rock tau, tapi memang kenyataan.

Apa yang boleh lihat, pelakon-pelakon yang menjayakan Spanar Jaya X bagi menggantikan watak sebelum ini juga nampak segar, menghiburkan dan berbilang kaum. Dari sitkom Spanar Jaya sebelum ini hinggalah Spanar Jaya X, semangat perpaduan kaum yang ditonjol begitu menebal dan identiti ini tetap dikekalkan sebagai lambang masyarakat Malaysia hidup aman damai walaupun berbilang bangsa. Itulah yang menjadikan sitkom ini sangat istimewa dihati ramai penonton. Saya jamin, Spanar Jaya X pasti memberi kelainan dan mampu mencuri hati peminat untuk setia menonton sitkom yang diberi nafas baru ini.

 

 

Tags: , , , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna