Siti Kongsi Cara Uruskan Aafiyah Dalam Kesibukan Konsert Jelajah #SitiNurhalizaOnTour

Tular seluruh media sosial beberapa video yang menunjukkan penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza melayani Siti Aafiyah dengan manja sekali sebelum melakukan persembahan di Jakarta.

Semalam, sempat Donna bersua muka dengan pelantun lagu Percayalah semasa membuat latihan sebelum konsert gilang-gemilangnya di Axiata Arena pada 16 Mac ini.  Dikesempatan ini, Donna bertanyakan bagaimana beliau membahagikan masa bersama puteri sulungnya tatkala sibuk dengan kerjaya.

Katanya, bukan mudah kerana Aafiyah masih lagi menyusu badan dan beliau pula bukan suri rumah sepenuhnya. Bagi memastikan anaknya dapat susu yang mencukupi, bila sampai saja di rumah beliau akan terus menyusukan anaknya. Jika tidak, Tokti akan curi masa untuk pam susu.

“Kalau macam sekarang ni ada latihan, jadi lepas je Aafiyah makan, saya akan pam susu untuk bekalkan anak saya susu untuk hari ini atau esok. Ya, saya akui agak memenatkan bila menyusukan anak dan saya percaya ibu-ibu yang di luar sana yang bekerja rasa apa yang saya rasa. Saya tabik ibu-ibu yang besarkan anak dan dalam masa yang sama mereka bekerja, memasak, kemas rumah. Oh! Mereka sangat hebat!

“Lagipun saya gembira sebab ini lah doa yang saya pinta, inginkan zuriat dan merasai membesarkan anak. Jadi apa salahnya kalau saya korbankan sedikit masa untuk dia. Penat macam mana pun, saya kena lalui jugak dan saya bersyukur sangat-sangat sebab saya dapat lalui momen menyusukan anak. Seronok sangat!”.

Tidak cukup dengan itu, Donna juga sempat mengajukan soalan tentang bagaimana suaminya, Dato’ Khalid Mohamad Jiwa atau lebih mesra dikenali dengan Dato K memberi sokongan sepanjang berlangsungnya konsert #SitiNurhalizaOnTour pada tahun ini.

“Sebelum saya membuat persembahan, suami saya akan bagi kata-kata semangat dan masa saya buat persembahan dia pulak jadi peminat saya sampai dia cakap “Tak puas la tengok persembahan. Buatlah banyak mana pun persembahan tetap tak puas” aduh! Comel betul!” katanya sambil ketawa kerana terhibur dengan respon suaminya.

Tambahnya lagi, beliau juga rasa bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami dan mengizinkannya untuk meneruskan kerja seni ini. Kemudian, Donna ada juga tanya apakah Tokti dan suaminya menggalakkan Siti Aafiyah untuk mengikuti jejak langkahnya? Jawapannya agak mengejutkan Donna.

“Saya tak galakkan sangat dia ikut jejak saya sebab saya dah tempuh pelbagai dugaan yang sangat hebat, terdedah dengan fitnah dan kata-kata orang. Jadi saya tahu menjadi anak seni bukan mudah. Lagi-lagi bila dah jadi ibu ni, naluri mak mak ni takut anak dia tak boleh lalui macam mana ibu dia dah lalui. Begitu juga keinginan suami saya yang inginkan Aafiyah menjadi ahli perniagaan dan belajar agama dengan cukup.

“Tapi sekiranya keinginan permata hati kami memang betul-betul minat dalam dunia hiburan dan Allah sudah menganugerahkan dia bakat serta vokal yang hebat, saya tak boleh halang. Cuma, saya nak dia buat betul-betul dengan mempelajari permaian alat muzik macam piano, pandai baca not dengan bagus sebab saya tak tahu semua tu. Apa pun saya tak nak paksa anak saya nak jadi apa, saya hanya akan membimbing dia.”

Ha, itulah serba sedikit perkongsian dari Tokti apabila bergelar seorang ibu yang bekerjaya dan momen sebelum melakukan persembahan.

Apa pun, 10 ribu tiket laris dijual untuk konsert di Malaysia. Semoga konsert jelajah ini berlangsung dengan jayanya.

Ikuti temubual eksklusif Donna bersama Tokti di bawah ini:

 

 

 

Tags: , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna