Selepas 27 Tahun Malaysia Bebas Polio, Kini Bayi 3 Bulan Dijangkiti Virus Ini

Selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada polio, satu kes disahkan dijangkiti virus itu membabitkan bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi terbabit mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital serta disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) pada 6 Disember lalu.

Beliau berkata, hasil ujian pengesahan dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Makmal Serantau Polio di Australia, virus itu mempunyai kaitan genetik dengan virus polio dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di Filipina.

“Seterusnya, vaccine-derived poliovirus type 1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV 1),” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, bayi itu masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil, tetapi memerlukan bantuan pernafasan.

“Memandangkan pesakit masih memerlukan rawatan rapi, orang ramai dan pihak media dipohon tidak mengganggu waris atau petugas kesihatan di hospital dalam menjalankan tugas memberi rawatan kepada pesakit.

“Circulating vaccine-derived poliovirus (cVDPV) berasal daripada virus polio yang sudah dilemahkan di dalam vaksin polio yang diberi secara oral (Oral Polio Vaccine – OPV).

“Virus dilemahkan ini dikumuhkan oleh badan melalui najis. Dalam persekitaran tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio dan terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95 peratus,” katanya.

Beliau berkata, semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti berkenaan, ia mengalami mutasi genetik hingga menjadi virus kembali aktif.

“Virus ini dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis. Namun, untuk mereka yang sudah divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, mereka akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sehingga 5 Disember lalu, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak dijangkiti polio di Sabah itu mendapati 23 daripada 199 orang (11.6 peratus) berusia antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.

Beliau berkata, keadaan itu sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVPDV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio.

Untuk bacaan lebih lanjut, klik saja disini.

Sumber: HM

Tags: , , , , , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna