Sejauh Mana Tahap Keselamatan Wanita Yang Pulang Atau Kerja Waktu Malam?

Pernah tak anda berjalan seorang diri pada waktu malam menuju ke parkir kereta dan merasakan seperti ada yang memerhati. Langkah dilajukan tanpa menoleh ke kiri dan kanan, jantung berdegup laju dan di fikiran terus membayangkan kes-kes rogol, ragut yang menakutkan! Sejauh manakah keselamatan wanita yang pulang bekerja pada waktu malam ini terjamin?”

Hampir separuh daripada golongan wanita di Malaysia bekerja dan menyumbang kepada pembangunan negara. Peranan wanita sememangnya amat besar sebagai penyumbang ekonomi dan juga pembentukkan generasi akan datang.

Kerajaan telah menubuhkan banyak pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial. Antaranya seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO), Perkumpulan Wanita (Wl), Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI), Pertubuhan Bantuan Wanita Islam, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam dan pertubuhan-pertubuhan wanita yang menyediakan berbagai program pembangunan berbentuk jaya diri dan kemudahan-kemudahan sokongan lain.

Namun, walau sejauh mana pun kehebatan dan ketangkasan seorang wanita dalam setiap tugasan yang dipikulnya, hakikatnya wanita tetap berdepan dengan satu perkara yang mungkin menjadi kelemahan iaitu aspek keselamatan.

Apa yang membimbangkan Donna lagi adalah statistik yang dikeluarkan oleh akhbar Utusan Malaysia, kadar jenayah di Malaysia kini semakin meningkat hingga 13.4 peratus pada tahun lalu. Dengan pecahan kenaikan sebanyak 30 peratus untuk kes rogol dan 160 peratus untuk kes rompakan.

Menyedari hakikat ini, timbul persoalan dalam fikiran Donna, tidakkah mereka merasa diri mereka dalam bahaya apabila berjalan kaki atau memandu seorang diri menuju ke rumah? Apakah persediaan mereka jika berdepan dengan orang jahat atau perkara buruk? Apa usaha mereka untuk mengelakkan dari perlu bekerja atau pulang kerja waktu malam?

Sumber: magazinejob

Di kesempatan ini, Donna sempat juga menemubual beberapa pekerja wanita yang bekerja atau pulang kerja waktu malam dan mereka meminta wajah mereka dirahsiakan.

Hashiba, Pegawai Khidmat Pelanggan.

Hashiba sering pulang dan masuk kerja jam 12 pagi kerana bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di salah sebuah syarikat di Damansara.

Sumber: internet

Katanya, dia amat risau dengan keadaan sekeliling sehingga menyebabkan dia cepat merasa curiga dan cemas apabila melihat mana-mana kenderaan terutama motor yang mengekorinya dari belakang.

Tambahnya lagi, apabila ditugaskan pada waktu malam dia akan:

  1. Memastikan telefon sentiasa di tangan dan sentiasa membiarkan mod telefon dalam keadaan “unlocked” supaya senang untuk menghubungi sesiapa dalam kecemasan.
  2. Memakai kasut sukan untuk kerja shift malam supaya senang untuk berlari sekiranya berlaku perkara yang tak diingini.
  3. Berjalan dengan pantas dan sentiasa melihat sekeliling jika ada sesiapa yang sedang memerhatikan kita.
  4. Memakai seluar dan elak memakai dress atau berkain.

Hashiba turut memberitahu, dia akan mencuba alternatif lain untuk mengelakkan dari perkara buruk berlaku seperti datang sejam lebih awal jika ditugaskan untuk bekerja pada jam 12 pagi.

Shahiera, Pegawai Pengurusan Kredit

Shahiera, bekerja sebagai Pegawai Pengurusan Kredit di salah sebuah syarikat bank dan sering pulang kerja pada jam 8 malam. Menurutnya, memang sangat berbahaya pada waktu malam apabila berjalan seorang diri ke tempat letak kereta. Lebih-lebih lagi wanita seperti dirinya, jika apa-apa terjadi di situ, tiada siapa yang akan dapat membantu.

Sumber: internet

Katanya, pernah ada satu malam dirinya berdepan dengan orang jahat. Mulai saat itu, dia sentiasa memastikan penyembur pemedih mata di dalam tas tangan serta memastikan kereta miliknya sentiasa di kunci dengan selamat. Selain itu, dirinya juga akan membuat kerja secepat yang mungkin untuk elak diri dari pulang waktu malam.

Athirah, Event Team

Athirah, bekerja sebagai Event Team di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur dan sering pulang kerja selewat jam 9 malam. Menurut Athirah, dia tahu akan bahaya pulang lewat seorang diri, namun apakan daya kerana ia tuntutan kerja. Malah, apabila ditanya apakah persediaannya, dia mengatakan tiada apa, hanya berserah pada Allah kerana niat dia bekerja, ingin membantu keluarga.

Itulah antara jawapan yang Donna dapat selepas menemubual wanita yang bekerja atau pulang pada waktu malam. Rata-rata mengatakan, disebabkan tuntutan kerja yang memaksa diri mereka menempuh bahaya pada waktu malam.

Tuntutan Kerja vs Keselamatan Diri

Benar ia adalah tuntutan kerja yang memaksa wanita pulang lewat, namun bagaimana dengan keselamatan diri anda sendiri? Sanggupkah anda menggadaikan tahap keselamatan diri hanya kerana kerja semata-mata? Dalam kes ini, ternyata banyak pihak telah cuba untuk mengurangkan risiko yang mungkin mengancam tahap keselamatan wanita. Namun, sebanyak mana pun langkah yang dilakukan, kita tidak mungkin menghalang niat penjenayah yang sudah bertekad untuk melakukan jenayah.

Sebagai wanita, jika anda rasa anda boleh berbincang dengan pihak majikan tentang masa waktu bekerja, lakukan. Jika tidak, sentiasalah berwaspada dan ambil langkah berjaga-jaga. Malang tidak berbau, dan jangan biarkan diri anda menjadi mangsa jenayah seterusnya.

 

Tags: , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna