“Salahkah Belum Punya Anak?” Rintihan Pasangan Selepas 6 Tahun Berkahwin Tanpa Zuriat

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mempunyai impian untuk menimang cahaya mata sendiri. Namun ada di antara pasangan yang diduga dengan cabaran lambat atau langsung tidak punya zuriat.

Bagi sesetangah pasangan perkara ini boleh diterima dengan bertolak ansur antara pasangan agar rumah tangga yang dibina terus kekal utuh. Tidak kurang juga pasangan yang memilih untuk berpisah atau memilih poligami sebagai jalan penyelesaian masalah ini. Aduhai betapa luluhnya hati jika ini terjadi, salahkah jika belum diberi rezeki untuk menerima zuriat?

Rozita Ismail (bukan nama sebenar) 34 tahun, berkongsi cabaran yang diterima bukan sahaja dalam konteks hubungan suami isteri tetapi campur tangan serta gosip mentua dan ipar juga sesuatu yang amat pedih untuk dilalui.

Berkahwin pada tahun 2013 yang menjadikan usia perkahwinannya bersama suami Amirul Ehsan Abu Bakar (bukan nama sebenar) 39 tahun, mencecah usia enam tahun. Bagaimanapun pasangan ini belum dikurniakan cahaya mata. Pada peringkat awal perkahwinan mereka, Rozita dan Amirul pernah mendapatkan rawatan pakar bagi mengenalpasti masalah sekiranya salah seorang dari mereka tidak berupaya memberi zuriat. Kuasa Allah yang Maha Besar, doktor yang merawat pasangan ini menyatakan Rozita dan Amirul tidak mempunyai masalah kesihatan dan mampu mempunyai zuriat dengan izin Allah.

Hari berganti hari dan tahun berganti tahun, namun zuriat yang ditunggu belum juga diperoleh. Semakin hari keluarga mentua termasuk ipar duai sering bertanya dan seolah mendesak mereka untuk mempunyai zuriat sendiri. Lebih mengecewakan apabila si ibu mentua pernah mencadangkan mereka mengambil anak angkat atau meminta Amirul berkahwin lain.

Fenomena seperti ini nyata menjadikan keadaan lebih rumit dan tekanan yang dilalui menyebabkan mereka sering bertengkar sehingga hampir bercerai. Situasi ini pastinya tidak hanya dilalui oleh pasangan Rozita dan Amirul sahaja bahkan turut dilalui oleh banyak pasangan lain.

Apa perlu anda buat?

1.Perkara seumpama ini sememangnya memberikan cabaran dan penderitaan mental kepada pasangan yang diuji dengan masalah tidak punya zuriat. Namun sebagai suami isteri khususnya pasangan beragama Islam perlu sentiasa bersabar dan redha dengan ketentuan dan suratan Yang Maha Kuasa.

2.Sekiranya terdapat masalah serta pertengkaran  berlaku, suami atau isteri perlu sama-sama bertolak ansur dan amalkan komunikasi yang baik dan berkesan agar masalah terasa hati dan salah faham tidak berlarutan sehingga menjurus kepada perceraian.Sesungguhnya cerai adalah perkara halal yang paling tidak disukai Allah.

3. Jaga aib dan rahsia rumah tangga, paling penting jangan ceritakan kepada orang luar apatah lagi ibu atau keluarga sendiri. Banyak kejadian percerian yang direkodkan mahakamah syariah hari ini adalah disebabkan campur tangan orang ketiga terutamanya mentua. Tanpa sedar komen negatif serta pandangan mereka memberikan kesan yang amat buruk kepada pasangan terlibat.

4.Percaya rezeki ditangan Allah dan kita sebagai manusia perlu sentiasa berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan. Dalam konteks ini pelbagai rawatan moden dan tradisional yang boleh dicuba dalam usaha mendapatkan zuriat. Klinik-klinik rawatan kesuburan lazimnya memberi rawatan kepada pasangan-pasangan yang menginginkan zuriat.

5.Sekiranya anda dan pasangan memerlukan teman untuk berkongsi atau tempat mengadu, carilah kumpulan-kumpulan sokongan, bahan bacaan atau video ilmiah yang boleh menambahkan pengetahuan kita dalam mencari solusi terbaik berdepan sesuatu masalah. Ilmu yang luas akan membantu kita membuat keputusan yang lebih rasional tanpa mengikut emosi semata-mata.

Masyarakat perlu lebih matang

Kemodenan hari ini mendedahkan kita kepada kecanggihan teknologi yang meletakkan segala informasi di hujung jari. Sekiranya kita ditakdirkan berjumpa dengan pasangan yang mempunyai masalah belum punya zuriat, didiklah diri kita untuk tidak bersikap menghukum dan sentiasa berhemah dalam memberikan sebarang komen. Tindakan masyarakat maya atau netizen yang sering mengecam tanpa usul periksa dianggap sebagai barah dalam masyarakat hari ini yang perlu kita ubati segera. Gunakan media social atau platform digital ini sebagai satu saluran untuk kita menyebarkan kebaikan serta mendidik masyarakat menjadi lebih positif.

 

 

 

 

Penulis: Norsila Mustapa Kamal

 

 

 

 

 

Tags: , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna