Ragam Anak Pertama Kali Ke Sekolah. Ini Cerita Haiza!

Sesi persekolahan yang baru untuk tahun 2019 pastinya sesuatu yang mendebarkan terutama buat anda yang baru pertama kali menghantar anak ke sekolah.”

Ibu bapa bakal menyaksikan pelbagai gelagat serta ragam kanak-kanak dan murid ketika memulakan hari pertama di sekolah. Buat anda yang tidak mempunyai pengalaman menghantar anak ke sekolah terutama anak yang memasuki alam persekolahan sebenar pasti sedikit gementar dan risau apa permasalahan yang akan dihadapi nanti. Pada minggu pertama sekolah pasti banyak drama yang di bawa oleh anak masing-masing.

Penyampai Radio KoolFM dan selebriti tanah air Haiza juga mempunyai seorang anak lelaki tunggal yang memasuki alam persekolahan tahun satu pada tahun 2019 ini. Ikuti temubual Donna bersama Haiza mengenai perasaannya dan persediaan yang telah dilakukan untuk mempersiapkan anak kesayangannya itu untuk memulakan sesi persekolahan yang baru.

Mungkin anda fikir bagi anak-anak yang telah mula bersekolah tadika, tiada masalah bagi kanak-kanak ini untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan di tahun satu. Namun tidak semua kanak-kanak akan menerima keadaan itu terutama apabila berada di persekitaran yang berlainan seperti perlu berdikari membeli makanan, ke tandas dan lain-lain lagi tidak seperti ketika di tadika atau taska.

Sumber Foto: ibu2ahmad

Oleh sebab itu ada segelintir kanak-kanak yang mula menunjukkan tingkah laku berbeza daripada biasa seperti menangis, takut, malu dan memberontak untuk mengikut anda pulang ke rumah selepas sesi pendaftaran kelas. Untuk mengelak drama berpanjangan seperti adegan kejar mengejar anak di sekolah sambil menangis berguling umpama dalam babak filem Hindustan ada beberapa perkara yang anda sebagai ibu bapa boleh jadikan panduan. Ini penting agar jadual pembelajaran anak tidak terganggu, begitu juga masa ibu bapa juga tidak terbuang dengan memujuk anak setiap hari agar masuk ke kelas.

Panduan 1 – Sebelum sesi persekolahan bermula, ibu bapa perlu memainkan peranan awal sediakan minda anak anda dengan ‘hari yang ditunggu-tunggu’. Contohnya bersama-sama mengira hari di calendar untuk sesi persekolahan bermula. Wujudkan perasaaan tidak sabar dan gembira untuk mulakan sesi persekolahan baru. Si kecil suka jika kita menganggapnya sudah besar atau dewasa. Anda boleh beritahu kepadanya hanya kanak-kanak yang sudah besar sudah bersedia untuk ke sekolah. Anda boleh lihat reaksinya, bertapa bangganya apabila dapat masuk ke sekolah untuk ‘orang dewasa’. Jangan sesekali bercerita mengenai keburukan atau perkara menakutkan tentang sekolanya.

Sumber Foto: lifestyle.com

Panduan 2 – Persiapkan anak anda dengan peralatan sekolah dan beritahu fungsi serta kegunaan barang tersebut. Latih anak bertanggungjawab terhadap barang-barang sendiri seperti beg sekolah, buku teks, alat tulis, buku tulis dan sebagainya. Jangan lupa juga aturkan body clock anak anda dari beberapa bulan sebelum sekolah sebenar bermula. Tetapkan rutin tidur dan bangun awal dan bersarapan

Panduan 3 – Pada hari pertama, didik anak mencari rakan-rakan yang selesa untuknya belajar, bermain atau makan bersama sewaktu di sekolah. Kanak-kanak yang pemalu memerlukan bantuan untuk proses ini.

Panduan 4 – Anak-anak yang bakal masuk ke sokolah juga perlu didik dan dilatih dengan kemahiran asas agar dia rasa berkeyakinan untuk berada di sekolah. Latih anak menggunakan tandas secara betul seperti mengepam tandas. Selain itu tunjuk cara yang betul untuk menanggalkan pakaian dan memakai semula serta amalan mencuci tangan selepas ke tandas.

Sumber Foto: ninyfariza82

Panduan 5 – Bekalkan anak-anak dengan nombor telefon ketika berlaku kecemasan dan minta mereka hafal beberapa nombor penting seperti nombor telefon anda atau paling ringkas 999. Jangan lupa untuk terangkan nombor-nombor tersebut boleh dihubungi jika sakit, tertinggal bas, atau berlaku perkara yang mengancam diri. Perkenalkan juga anak dengan nilai wang dan biasakan terlibat dengan urusan jual beli di kedai atau pasaraya. Dengan cara ini, anak dapat kendalikan situasi sewaktu rehat atau membeli barang di kedai buku dengan betul tanpa ada sebarang unsur pernipuan yang dilakukan setengah pengusaha kantin atau koperasi sekolah.

Sumber Foto: curlast.com

Ibu bapa disarankan agar jangan terlebih emosi untuk meninggalkan anak di dalam kelas. Ada juga situasi anak di dalam kelas sangat baik, tetapi si ibu atau bapa yang terlebih cengeng. Tidak perlu duduk atau berada di kawasan sekolah dalam tempoh yang lama. Biarkan anak anda biasakan diri dengan persekitaran tersebut. Jika anak menangis, jangan mudah menyerah kalah dan lembut hati. Percayalah lama-lama anak anda dapat membiasakan diri.

 

 

Tags: , , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna