Perlu Ke Buat Majlis Kahwin Besar-Besaran?

Bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, mereka pasti ingin mengadakan majlis perkahwinan mereka secara meriah dan besar-besaran. Kononnya, sekali seumur hidup. Sampaikan ada yang sanggup ikat perut dan menjual barangan berharga semata ingin mengadakan majlis yang besar-besaran! Iyalah, takut nanti orang mengata pula bila majlis tak gah!

Sumber: pexels

Walhal, boleh je buat mana yang termampu kerana mengikut konteks Islam, majlis perkahwinan perlulah sederhana saja. Cukup sekadar mengadakan majlis untuk saudara dan rakan yang terdekat saja.

Jika mampu, tidak salah mengadakan majlis besar-besaran. Janji jangan sampai memberi kesan buruk kepada diri sendiri sehingga perlu meminjam wang atau mengikat perut. Sila sedar tahap kemampuan anda di mana.

Baru-baru ini juga Donna telah menemuramah dua orang wanita yang pernah mengadakan majlis perkahwinan mereka. Lihat apa pandangan mereka tentang keperluan melakukan majlis perkahwinan secara besar-besaran!

Nadia Jamaluddin

Nadia yang sudah mendirikan rumah tangga selama 3 tahun tampil memberi pandangan tentang isu yang sering menjadi masalah dalam masyarakat kita bila menjelang hari perkahwinan.

Menurut Nadia Jamaluddin, dia percaya bahawa setiap wanita mempunyai impian perkahwinan yang tersendiri. Jadi, tidak salah untuk merealisasikannya dengan membuat majlis mengikut kepuasan hati sendiri.

Lebih-lebih lagi dia menginginkan dirinya kelihatan paling cantik dan menyerlah pada majlis perkahwinannya. Padanya tidak salah untuk melabur jumlah yang banyak untuk diri sendiri dan keselesaan kepada para tetamu yang hadir ke majlis kerana ia adalah hari bahagia kita, tiada salahnya untuk majlis yang grand!

Tambahnya lagi, kepada pasangan yang mampu sebolehnya buat saja majlis yang grand sebab itu adalah kenangan pada masa hadapan. Lebih-lebih lagi kalau tiba ulangtahun perkahwinan, bila lihat semula gambar-gambar pada hari perkahwinan, pasti akan membuatkan kita tersenyum kembali.

Nadia juga mengakui, ada juga yang mengatakan majlis perkahwinan yang grand adalah konsep pembaziran tetapi dia yakin, siapa je tak mahu inginkan majlis yang grand? Cuma mereka yang tidak mampu merealisasikan saja yang mengatakan bermacam alasan!

Azalea Ashikin

Azalea yang sudah mendirikan rumah tangga selama 3 bulan tampil memberi pandangan tentang isu yang sering menjadi masalah dalam masyarakat kita bila menjelang hari perkahwinan.

Menurut Azalea, untuk majlis perkahwinan tidak perlu buat besar-besaran. Buat mengikut kemampuan sendiri. Lagipun, majlis perkahwinan ini hanyalah untuk memberitahu kepada orang ramai bahawa anda sudah bernikah.

Tapi, jangan terlalu simple, biarlah hanya ala kadar sebab kita nak jemput orang untuk mereka doakan kebagiaan dan meraikan hari bahagia kita. Jadi, haruslah berpada-pada. Cukup sederhana tetapi meriah.

Tambahnya lagi, biarlah orang nak kata apa sebab kalau takut dengan apa orang kata, “macam ni je ke majlis?” “Ya Allah! Membazirnya majlis besar-besar ni” sudahnya, memang tak kahwin lah sampai bila-bila.

Lagipun majlis grand ni adalah subjektif. Tidak perlu pun habiskan semua duit yang ada dalam bank simpanan tu. Rancang dengan sebaiknya untuk majlis anda.

Itulah antara pandangan wanita yang sudah melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Kepada yang sedang merancang, anda boleh mula ukur baju di kain sendiri. Di mana tahap kemampuan anda?

Anda juga boleh lihat episod #thebawang di bawah untuk melihat perbincangan dari wanita-wanita Donna pula. Apa pula kata mereka. Setuju atau tidak buat majlis perkahwinan grand ni?

Tags: , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna