NJWA & Christy Ng Erat Hubungan Dengan Mertua Di Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting bagi bangsa Cina di seluruh dunia kerana ia menandakan kelahiran tahun baru mengikut kalendar lunar. Yang uniknya lagi, sebanyak 12 kitaran haiwan akan menaungi setiap tahun dan setiap haiwan itu pula membawa signifikasi yang tersendiri.

Sumber: internet

Oleh itu, baru-baru ini Donna sempat menemubual Najwa Mahiadin (NJWA) dan Christy Ng tentang sambutan mereka sempena Tahun Baru Cina pada tahun ini. Bagaimana la ye dua wanita bekerjaya ini menyambut perayaan Cina memandangkan seorang memang dari keluarga Cina dan seorang lagi, mengahwini suami berbangsa Cina? Jom kita lihat jawapan mereka.

Najwa Mahiaddin

NJWA, seorang penyanyi yang sudah pun mencongak perjalanan kariernya dalam mempromosikan gabungan muzik Melayu tradisional sehingga ke benua Eropah. Ketika, sidang akhbar Konsert Zee Avi + Njwa baru-baru ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Donna sempat bertanyakan tentang sambutannya sempena perayaan ini selepas mengahwini suami yang menganut agama Buddha.

Apabila ditanya, apa dalam kepala NJWA bila sebut tahun baru cina? Dia menjawab, keluarga dan juga Hong Bao (angpau) dan sempat juga dia berseloroh dengan Donna di mana pada tahun ini dia tidak akan menerima duit Hong Bao tetapi, dia pula perlu memberikan Hang Bao kepada anak kecil.

Malah, dengan peluang yang ada ini, dia mengambil kesempatan untuk mengenali lebih rapat keluarga mertuanya serta lebih mengetahui bagaimana budaya kaum Cina menyambut perayaan mereka. Tambahnya lagi, dia pernah cuba membuat hidangan masakan Cina, iaitu Crab Stick dan dengan bangganya, NJWA memuji masakannya kerana menjadi. Ya, bukan senang tau nak masak masakan bangsa lain.

Tambah penyanyi berusia 32 tahun ini lagi, dia akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina di restoran bersama keluarga besar dan kemudian baru menyambut bersama keluarga di rumah.

Christy Ng

Christy Ng merupakan seorang usahawan yang mengeluarkan pelbagai jenis bentuk kasut dan bag tangan sejajar dengan peredaran masa di bawah jenama Christy Ng. Bila ditanya tentang persediaannya sempena Tahun Baru Cina pada tahun ini, Christy Ng mengatakan beliau akan memastikan pulang ke kampung untuk menyambut raya bersama ibunya.

Christy mengatakan perkara utama selain daripada meluangkan masa bersama ibunya pada hari raya Cina adalah, dia akan memberi ibunya duit dengan jumlah yang banyak sebagai tanda terima kasih kerana sudah menjadi tulang belakang sepanjang kariernya.

Tambahnya lagi, pada perayaan cina kali ini dia dan ibunya akan menghidangkan hidangan yang pedas tidak kira menu apa pun. Asalkan pedas! Lebih-lebih lagi hidangan masakan yang berunsurkan Melayu dan Baba Nyonya.

Itulah cara dua wanita bekerjaya ini meraikan perayaan Tahun Baru Cina. Selamat Tahun Baru Cina buat semua pembaca Donna yang menyambutnya!

 

 

 

 

 

 

Tags: , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna