Migrain Bukan Sakit Kepala Biasa. Tak Pernah Rasa Tak Akan Faham!

Ramai menganggap migrain seperti sakit kepala biasa.”

Sakit kepala memang menyakitkan namun  migrain lebih memeritkan. Segala aktiviti harian akan terjejas apabila migrain menyapa. Ketika migrain menyerang adakalanya terasa seperti hendak menghantukkan kepala ke dinding atau lebih ekstrem mengimpikan untuk tanggalkan kepala berpisah dari badan. Pernah terdengar rungutan dari kenalan yang cenderung mengalami migrain bersedih kerana orang sekeliling menganggap kesakitan yang dialaminya adalah sakit kepala biasa dan akan pulih dengan segera. Sedangkan dia memerlukan kadangkala 2 hingga 3 hari untuk pulih kembali.

Migrain ialah pening kepala jenis primer, iaitu ia berlaku secara bebas dan bukan disebabkan penyakit-penyakit lain. Umumnya serangan migrain dipercayai berlaku disebabkan rangsangan fizikal atau psikologikal yang akhirnya membuka luas saluran-saluran darah di otak. Keadaan ini mendorong saluran darah mengalami kekejangan, lalu menyebabkan rasa sakit yang kuat. Hanya sebelah bahagian kepala yang terlibat, justeru migrain juga dikenali sebagai hemikrania, istilah Greek yang membawa maksud sebelah tengkorak. Migrain boleh menyerang pada sebarang masa walaupun biasanya ini bermula pada usia belasan tahun dan memuncak pada usia antara 35 dan 45 tahun.

Sumber Foto: Google Image

Migrain lebih ketara berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki. Ini mungkin disebabkan perubahan hormon yang dialami wanita semasa haid. Migrain selalunya menjadi bertambah baik ketika tempoh kehamilan. Setakat ini belum ada ubat yang benar-benar mampu mengatasi migrain dan sakit kepala akibat ketegangan. Kajian menunjukkan penghidap migrain dalam kalangan wanita kebanyakkannya akibat ketegangan kerana terdedah kepada panas matahari, kemurungan, keletihan, cemas, marah melampau, kesesakan, dan stres.  Selain itu migrain juga boleh menyerang disebabkan masalah ini:

  • Ketegangan, alkohol, atau perubahan hormon bagi wanita.
  • Masalah pemakanan seperti pengambilan kafein, coklat, keju, kekacang, yogurt dan penambah perasa (msg).
  • Tabiat merokok, terlebih atau tidak cukup tidur dan kelaparan.
  • Penggunaan ubat-ubatan seperti pil perancang atau terapi pengganti hormon.
  • Alah cahaya terang, bunyi bising, dan bau yang kuat.

Sumber Foto: pendidik.com

Sebelum terkena migrain, ada beberapa tanda awal sering dialami. Ia berlaku antara 10 hingga 30 minit sebelum serangan migrain sebenar. Tanda-tanda aura ini adalah seperti terlihat titik cahaya yang terang atau garisan cahaya pada pemandangan dan mengalami penglihatan berganda. Ada juga sesetengah individu yang terkena serangan migrain mengalami rabun sementara sambil kepala terasa berputar. Selain itu mereka juga akan rasa kebas-kebas seluruh anggota badan sehingga menyebabkan sukar bertutur dengan betul.

Jika anda mengalami migrain berterusan dinasihatkan agar tidak memandang remeh gejala ini. Sebaliknya segera menemui doktor untuk pemeriksaan lanjut. Kemungkinan, sakit yang kerap anda hadapi adalah permasalah lain bukannya migrain. Oleh itu, anda memerlukan rawatan dan ubat-ubatan yang bersesuaian dengan jenis penyakit.

 

 

 

 

 

Sumber: Healthline

Tags: , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna