Lihat Bagaimana Wanita Ini Bangkit Selepas Dicurangi Suami Sendiri

Kata orang “kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai” gambaran yang paling dekat untuk menceritakan cabaran getir dunia rumah tangga. Tiada siapa yang boleh menjangka apa yang bakal berlaku di masa hadapan namun pastinya setiap pasangan mengharap jodoh yang terpatri kekal hingga akhir hayat. Meskipun adakalanya bahtera yang dilayari bersama pasangan karam di lautan kehidupan namun mimpi-mimpi indah alam perkahwinan tetap disemai subur setiap pasangan bercinta. Chewah jiwang bukan.

Kisah cinta dan pertemuan ini juga pernah dialami Diyana Tahir atau nama sebenarnya Nurdiyanah Haji Md Tahir  41. Bercinta dan berkahwin dengan suami pertamanya pada usia muda pada awalnya memang indah. Namun suasana semakin berubah hari demi hari ekoran masalah persefahaman dan pelbagai masalah lain. Dikurniakan seorang cahaya mata perempuan tidak juga mampu menjadi pengikat kasih. Sehingga mereka akhirnya memutuskan untuk berpisah setelah tiga tahun melayari bahtera perkahwinan bersama.

Bagi Diyana perpisahan pasti meninggalkan luka yang mendalam pada dirinya. Meskipun begitu tugas beliau sebagai salah seorang ketua bahagian di institusi perbankan utama di Malaysia membentuk dirinya yang begitu cekal dan matang. Bagi beliau kehidupan tetap perlu diteruskan dengan baik meskipun taufan membadai kehidupannya. Apatah lagi punca keretakan rumah tangga hingga membawa perceraian bersama bekas suaminya diletakkan di bahu bekas suaminya seorang.

Selepas beberapa ketika hidup sebagai ibu tunggal membesarkan anaknya dengan penuh sempurna sebagai ibu dan ayah, Diyana akhirnya bertemu jodoh bersama seorang jejaka pilihan hatinya. Perawakkannya yang pendiam, lemah lembut dan matang membuat Diyana sekali lagi jatuh cinta. Perasaan cinta yang dijalin membawa mereka ke gerbang perkahwinan yang cukup indah. Apatah lagi bagi Diyana, memandangkan ini perkahwinan keduanya, harapanya Cuma satu agar perkahwinan ini bertahan dan bahagia tidak seperti yang pertama.

Panas yang diharap sampai ke petang rupanya hujan jua di tengah hari. Selepas dua tahun usia perkahwinan mereka Diyana mendapati hidupnya tidak gembira dan bahagia. Setiap hari ada sahaja isu yang menjadi punca pertengkaran. Masalah rumah tangga keduanya ini benar-benar menekan perasaan Diyana sehingga beliau menyalahkan dirinya sendiri kerana perkahwinan mereka tidak bahagia. Keadaan menjadi semakin buruk setiap hari, tekanan yang dihadapinya membuatkan Diyana menjadi murung. Beliau mula mengasingkan diri dari dunia luar, setiap hari beliau hanya marah, marah dan marah lagi. Hubungan dengan suami menjadi semakin dingin sehingga si suami mula bermain cinta dengan  wanita lain.

Jiwa wanita mana yang boleh menerima kecurangan suami, apatah lagi saat jiwa sendiri tidak mampu lagi menanggung kecewa kegagalan demi kegagalan hubungan. Diyana akhirnya mendapatkan rawatan psikiatri dan disahkan menghidap kemurungan klinikal sehingga beliau diberikan ubat anti depresi bagi mengawal emosinya. Episod duka hidupnya tidak berakhir di situ. Kemurungan yang dialaminya menyebabkan beliau hilang kerja, rumah dilelong,kereta ditarik. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga Diyana sering meratap dan mempersoalkan  keadilan hidup dan merasakan tidak mungkin dirinya mampu bangkit dari kegagalan paling dahsyat hidupnya ini.

Bangkit semula..

Syukur dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kerana tiada seorang pun yang terlepas dari pertolonganNya terutama bagi insan yang meletakkan sepenuh percaya kepada Maha Pencipta.  Dalam pergolakkan itu Diyana akhirnya sedar hidupnya tidak harus menderita selamanya, demi insan tersayang beliau boleh mengubah hidupnya menjadi yang terbaik.

Diyana mula mencari dan mengkaji bidang ilmu yang boleh membantu dirinya menyelesaikan masalah kemurungan serta masalah rumah tangganya. Demi mencari formula rahsia damai jiwa dan rumah tangga bahagia Diyana sanggup terbang ke luar negara hingga ke United Kingdom dan Jerman untuk belajar. Ratusan ribu ringgit dihabiskan demi ilmu untuk menjadikan dirinya lebih baik dan menyelamatkan rumahtangganya serta wanita-wanita senasib dengannya.

Kini selepas 15 tahun peristiwa itu berlalu, Diyana boleh menarik nafas lega dan bangga dengan setiap usahanya. Bukan sahaja rumah tangganya berjaya diselamatkan bahkan beliau bersama suaminya hidup bahagia sehingga kini ibarat pasangan baru dilamun cinta. Sentiasa sweet sweet sahaja. Lebih indah apabila  mentera cinta dan teknologi eHati yang dihasilkannya kini menyentuh hati dan mengubah hidup ribuan pasangan berkahwin di luar sana.

Menurut Diyana masalah rumah tangga yang berlaku di Malaysia sehingga menyebabkan kadar perceraian yang begitu tinggi dan terus meningkat dari masa ke semasa adalah kerana masyarakat Malaysia, tidak didedahkan dengan cara perhubungan yang sihat dan betul. Gambaran salah yang sering diberikan kepada pasangan berkahwin akhirnya menjadi kisah dongeng yang tidak kesampaian. Rata-rata pasangan gagal memahami pasangan masing-masing.

Dua wanita, dua kisah berbeza..

Diyana turut berkongsi beberapa kisah kejayaan peserta terapi di bawah bimbingannya yang menunjukkan perubahan luar biasa. Salah seorang peserta di bawah bimbinggannya yang hanya mahu dikenali sebagai Aisyah (bukan nama sebenar) berdepan dengan masalah rumah tangga yang amat menyedihkan. Suaminya curang bersama wanita lain sehingga melahirkan anak luar nikah. Tidak tahu dimana lagi tempat mengadu untuk memujuk hatinya. Aisyah akhirnya menyertai program terapi yang dikendalikan Diyana. Berkat usaha bersama serta keinginan Aisyah yang nekad untuk menyelamatkan rumahtangganya berjaya memberikan kejayaan buat Aisyah. Suami Aisyah kini telah kembali semula ke pangkuannya dan tiada lagi orang ketiga diantara mereka.

Selain Aisyah, perkara hampir sama juga terjadi kepada Kamalia(bukan nama sebenar) seorang ibu muda yang baru sahaja selamat melahirkan bayinya. Di saat dirinya memerlukan sokongan dan kasih sayang seorang suami saat itulah suaminya curang bersama wanita lain. Tamparan hebat yang dilaluinya mengakibatkan Kamalia mengalami ‘gila meroyan’ atau post partum depression. Berkat usaha beliau untuk menyelamatkan rumah tangganya akhirnya membuahkan hasil. Melalui terapi dan latihan yang diamalkannya berjaya menyatukan Kamalia bersama suaminya semula. Bahkan hidup mereka lebih bahagia daripada sebelumnya.

Bagi Diyana kejayaan menyatukan dan membantu menyelamatkan rumah tangga ramai pasangan saban hari benar-benar memberikan kepuasan dan bahagia pada dirinya.

 

 

Penulis: Norsila Mustapa Kamal

 

 

 

 

Tags: , , , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna