Lagi Kes Bayi Meninggal Di Rumah Pengasuh. Wajarkah Berhenti Kerja Untuk Jaga Anak?

Bayi perempuan berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal maut selepas dua hari dilaporkan tenat akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.”

Tidak dapat nak bayang, bagaimana perasaan si ibu bila dapat tahu berita ini. Luluhnya hati bila ada yang bernafsu binatang sehingga sanggup melakukan perkara terkutuk kepada bayi. Lazimnya di dalam sebuah institusi kekeluargaan, seorang ibu memainkan peranan penting di dalam menguruskan anak-anak. Bagaimana pula jika anda seorang ibu yang mempunyai kerjaya tetap? Dengan tularnya kes-kes sedemikian, ada di kalangan ibu yang ingin berhenti kerja untuk menjaga sendiri anak-anak mereka di rumah.

Taska atau pusat asuhan adalah satu-satunya pilihan buat kedua pasangan bekerja yang mempunyai anak untuk meninggalkan anak mereka sementara mencari rezeki. Persoalannya di sini, WAJARKAH anda meninggalkan karier anda untuk memberi sepenuh perhatian kepada anak-anak?

Ini beberapa persediaan yang perlu anda lakukan jika anda memilih untuk berhenti kerja.

 

Sumber Foto: tampilcantik.com

Bincang, rancang, berusahalah!

Seeloknya, berbincang dengan suami tentang niat anda. Dalam hal ini, perlu ada persetujuan dua hala dan persefahaman diantara anda dan suami. Maklumlah, jika sebelum ini anda dan suami bersama-sama berkongsi perbelanjaan rumah, selepas ini tanggungjawab ini akan digalas oleh suami anda sepenuhnya. Selain itu, kestabilan kewangan suami anda perlu dinilai dan dititikberat memandangkan separuh daripada pendapatan seisi rumah anda akan tiada selepas ini. Jika anda dan suami yakin mampu mengawal kewangan dengan baik, maka tidak ada salahnya untuk anda berhenti kerja. Tambahan pula, pada masa kini terdapat banyak alternatif lain untuk surirumah menambah pendapatan dari rumah sekaligus dapat meringankan beban yang dihadapi suami. Yang penting anda berusaha, berdoa dan tawakal kerana rezeki tak datang bergolek melainkan anda berusaha sepenuhnya.

Sumber Foto: warped speed

Jaga anak,bukan perkara enteng

Persediaan mental dan fizikal juga perlu diperkuatkan jika anda mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Anak-anak yang sedang membesar sentiasa aktif dan mempunyai pelbagai ragam yang kadangkala tak terlintas di akal. Ditambah pula dengan mentaliti-mentaliti orang disekeliling anda yang mungkin tidak sefahaman dengan niat anda untuk berhenti kerja, ada sahaja kata-kata yang mungkin akan dilontarkan atau diceritakan di belakang anda kelak. Jika keputusan telah dibuat, teruskan dengan keputusan anda dan jangan ambil peduli kata-kata orang lain.

Sumber Foto: patch

Me Time?

Jika sebelum ini anda mempunyai ramai kawan di tempat kerja, bersedia untuk menghadapi hari-hari sunyi tanpa suara riuh rendah kawan-kawan anda. Perhatian anda harus difokuskan kepada urusan anak-anak. Hanya telefon dan media sosial yang akan menjadi medium menghubungkan anda dan kawan-kawan. Itupun jika anda mempunyai masa terluang.

Tetapi ia bukanlah masalah yang besar, masih ada masa untuk bersama mereka terutamanya ketika cuti hujung minggu. Disebabkan anda telah berkhidmat selama lima hari berturut-turut dalam masa seminggu, maka ambillah dua hari ketika cuti hujung minggu untuk anda berehat dan menenangkan fikiran. Segala urusan anak-anak diserahkan kepada suami buat seketika. Harus diingat, “ME TIME” perlu ada biarpun anda bergelar suri rumah sepenuh masa.

Sumber Foto: kosovapost.net

Kesimpulannya, apa jua keputusan yang anda pilih, pasti akan ada kebaikan dan keburukannya. Anda sebagai ibu bapa haruslah bijak dan bekerjasama dalam menguruskan hal-hal berkaitan anak-anak. Tidak semua pengasuh atau pusat jagaan itu teruk, dan tidak semestinya anda tidak boleh melihat anak-anak anda membesar di depan mata sekiranya mereka dihantar ke pusat jagaan atau pengasuh.

Buatlah keputusan yang bijak dengan mengambil kira semua aspek dengan menyeluruh. Anda tetap wira dan “role model” kepada anak-anak anda tidak kira apa jua keputusan yang anda pilih.

 

 

Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna