Kisah Kehidupan Anak Autism Dalam Drama ‘Luyak’ Dan ‘Fatonah Azali’ Tercalon Untuk Drama Terbaik ASK2018

Hebatnya kesabaran dan ketabahan sebuah keluarga jika mempunyai anak autism untuk dibesarkan. Membesarkan anak syurga ini bukan perkara mudah, apa lagi dalam menyediakan mereka untuk serasi menerima dunia luar yang dianggap bahaya buat mereka. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bukan calang-calang orang dapat berdepan dengan dugaan dunia sedemikian.

Masih terdapat kekeliruan dan salah tanggapan terhadap golongan ini. Lebih menyedihkan, wujud dalam kalangan ahli keluarga sendiri, malah masyarakat umum terutamanya yang tidak mahu menerima kehadiran individu autism. Antara tanggapan biasa yang dilabel kepada anak autism ini seperti mereka cacat mental, tidak boleh diajar, ganas, tidak terkawal dan bahaya. Inilah asas kepada stigma yang telah berakar umbi dalam masyarakat. Membanteras stigma dan salah tanggapan umum masyarakat ini perlu digiatkan lagi secara berterusan. Namun, hari ni masyarakat semakin sedar dengan kehadiran anak-anak autism selepas banyak kempen kesedaran dan kisah mereka dipertontonkan kepada umum agar masyarakat lebih menerima mereka dalam kehidupan.

Anugerah Skrin 2018 (ASK2018) pada tahun ini juga ada mencalonkan dua buah judul drama di bawah kategori Drama Terbaik mengangkat isu anak autism. Drama Luyak dan juga Fatonah Azali merupakan kisah mengenai kehidupan seorang autism yang telah ditanyangkan di kaca televisyen dan menyentuh ramai penonton di Malaysia.

LUYAK SARAT EMOSI

Sumber Foto: myinfotaip.com

‘Luyak’ arahan Noor Azizah Muhamad, telah disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan lakonan hebat oleh pelakon seperti Zarina Zainuddin, Putri Syasya Masyithah, Shakila Koriri, Azam Pit, Roydy, Nurul Fateha, Zarina Zainoordin, dan Kamal Bakar. Kisahnya bermula dengan watak Hidayah seorang kanak-kanak mild autism yang mendapat panggilan Luyak oleh penduduk kampung. Hidayah berada dalam dunianya sendiri dan menganggap ayahnya Zamani masih hidup. Walau bagaimanapun, Hidayah dibenci ibunya sendiri Zaleha, kerana Hidayah dianggap sebagai punca kematian Zamani.

Saban hari, Hidayah akan merayau ke seluruh kampung, dan selalu dipukul oleh Zaleha kerana Hidayah sering melakukan sesuatu yang mendatangkan kemarahan Zaleha, dan kelakuan Hidayah sering mendapat aduan dari penduduk kampung. Zaleha juga selalu melebihkan-lebihkan anak sulungnya Sofea, dan membezakan kasih sayang antara kedua anaknya itu. Satu hari ketika Zaleha mahu menendang Hidayah yang sedang makan, tubuh Zaleha mengalami kekejangan sehingga lumpuh sebelah badan.

Sumber Foto: kbergetar

Selama Zaleha lumpuh, Sofea sebagai anak kesayangan Zaleha tidak pernah berkesempatan untuk menjenguk Zaleha, malah Hidayah anak yang dibencinya itulah yang telah menjaganya dengan baik dan penuh kasih sayang tanpa sebarang perasaan benci dan dendam. Di saat Zaleha telah menerima takdir bahawa kematian Zamani bukanlah kesalahan Hidayah, berlaku sesuatu yang buruk kepada Hidayah.

FATONAH AZALI RENTAP HATI PENONTON

Sumber Foto: myinfotaip.com

‘Fatonah Azali’ arahan Shuhaimi Lua telah disiarkan di rangkaian Media Prima Berhad, TV3. Drama ini menggandingkan pelakon berbakat besar seperti Nad Zainal, Redza Rosli, Raja Azura, Sharifah Sakinah, Mustaqim Bahadon, Zaibo dan Kay Maria. Fatonah Azali mengisahkan Azali yang kembali semula ke kampung halamannya setelah sekian lama tidak pulang. Dia terkejut apabila mendapat tahu bahawa ayahnya, Pak Tam, baru sahaja bernikah dengan seorang gadis autisme bernama Fatonah yang jauh lebih muda darinya.

Sumber Foto: kbergetar

Pak Tam menikahi Fatonah atas rasa hutang budi kepada ayah Fatonah iaitu arwah Datuk Hussein. Namun, kehidupan Fatonah berubah apabila Pak Tam meninggal dunia, dan telah mengamanahkan Azali untuk menjaga Fatonah dengan baik bagai ibu kandungnya sendiri. Namun kehidupan Fatonah selepas itu sangat menyedihkan kerana tidak diterima oleh masyarakat sekeliling kerana perangainya. Bukan itu sahaja, Fatonah sering diganggu oleh penduduk kampung yang ingin mengambil kesempatan terhadap dirinya dan akhirnya meragut nyawa.

 

Antara pencalonan judul-judul lain yang berentap dalam Kategoti Drama Terbaik selain Luyak serta Fatonah Azali adalah 4K, Abang Kandung, Aku Nazmi, Cucu Atuk, Dosa Perempuan, Kasih Seorang Ayah, Nisaa, Pendosa Ingin Ke Syurga, Qalbu dan Tulus Cinta.  Nantikan drama mana yang bakal diumumkan sebagai Drama Terbaik 2018 pada 2 November 2018 jam 9 malam bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Tags: , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna