“Kerana Hingga Akhir Hayat Seorang Ibu, Kebahagiaan Anak Adalah Segalanya”- Sofia Jane

Ibu itu adalah seorang pejuang yang sanggup berjuang dan berkorban demi anak dan keluarganya. Sanggup bergadai nyawa demi melahirkan zuriat ke dunia, sesungguhnya ibu adalah ‘Superhero’ sebenar.”

Sempena sambutan Hari Ibu pada bulan Mei ini, Donna mengambil kesempatan untuk berbicara bersama seorang jelitawan pelakon tempatan, Datin Sofia Jane mengenai maksud sebenar pengorbanan seorang ibu. Beliau yang ketika ini berulang alik dari Malaysia ke Australia sanggup mengetepikan kerjayanya sebagai seorang anak seni demi memberi keutamaan kepada anak dan keluarganya.

“Buat waktu ini, kedua dua puteri saya sedang melalui tahun-tahun terakhir di sekolah yang sarat dengan peperiksaan yang penting.  Sejurus itu,  saya mengambil kesempatan untuk menolak tawaran kerja untuk menumpu perhatian sepenuhnya pada mereka di saat saat mereka melalui cabaran zaman sekolah tinggi mereka.

Saya membuat pilihan meletakkan kerjaya di tangga terakhir buat sementara kerana keluarga merupakan segala segalanya buat saya. Kepentingan mereka merupakan tumpuan saya sebagai ibu dan isteri.”

Ibu contoh terbaik..

Dirinya yang sekarang ini adalah hasil daripada didikan arwah ibunya sendiri dan Sofia juga mengaku bahawa ibunya adalah contoh terbaik buatnya.

“Ibu saya merupakan seorang suri tangga sepenuhnya. Dedikasinya terhadap kami adik beradik tidak terkata. Apabila saya mengambil keputusan menjadi seorang pelakon sepenuh masa di waktu usia yang sangat muda, dialah yang merupakan penyorak nombor satu saya di kala mereka di sekeliling meluahkan perasaan tidak yakin dengan pilihan saya waktu itu.

Kepercayaan ibu terhadap saya dan segala keputusan hidup saya mungkin sedikit sebanyak memberi saya keyakinan diri dan mendorong saya membuat pilihan dalam kerjaya saya dengan mendengar kata hati. Kerana itu, saya tidak mungkin membalas segala jasanya terhadap saya. Cintanya buat keluarga mengatasi apa saja dugaan yang dihadapi kami. Dan menjadi ibu saya sebagai contoh hidup merupakan pilihan tepat buat saya. Tidak ada apa yang membawa lebih kebahagiaan kepada saya dari memastikan keluarga senantiasa percaya yang ibu mereka akan selalu di sisi pada waktu senang dan susah. Dan mereka disayangi sepenuhnya.”

Ibu bapa zaman kini perlu tegas

Bertanyakan tentang karakternya sebagai ibu di rumah, Sofia menjelaskan dia sememangnya seorang yang tegas bersama anaknya namun ketegasan tersebut disulami dengan kasih sayang yang berpisah tiada.

“Saya dan suami percaya jika kita saling memahami dan mengenali karakter masing-masing di dalam sesebuah keluarga, ia akan menyenangkan ahli keluarga untuk menjadi terbuka dengan apa saja dan masalah mampu diselesaikan bersama.”

Bercerita tentang penggunaan gajet tanpa pengawasan ibu bapa zaman ini, ia sungguh merisaukan. Sofia juga sempat memberikan pandangan beliau mengenai hal ini.

“Terlebih dahulu, kami sebagai ibubapa tidak boleh lari daripada hakikat bahawa anak anak muda dan platform media sosial tak mungkin berpisah. Perkenalan kepada dunia cyber ini boleh mencelikkan mata mereka kepada dunia luar yang mereka tidak kenali secara positif dan sebaliknya. Sebagai ibu, sudah tentu kita mahu melindungi anak kita dari yang negatif. Kita mendidik mereka untuk melihat keindahan dan kebaikan disekeliling mereka. Media sosial sedikit sebanyak mendedahkan bahawa tidak semua indah.

Manusia yang beraktif di laman sosial juga mungkin kejam dengan pendapat dan kata kata. Dan disebabkan itu, saya dan suami memainkan peranan sebagai  orang tengah suapaya anak-anak memahami bagaimana untuk menghadapi dan tangani elemen luar yang boleh memusnahkan. Kepercayaan harus diberi secara  berperingkat kepada anak anak supaya mereka boleh berdikari kerana sebagai ibu, saya tahu saya tidak mungkin bersama mereka buat selamanya.”

Maksud sebenar pengorbanan seorang ibu

“Pengorbanan ibu bagi saya harus disambut oleh pengorbanan ayah jua. Tanpa pemahaman antara suami dan isteri,  harmoni yang ingin di pupuk dalam institusi keluarga mungkin tidak dapat dicapai. Beban di bahu amatlah berat. Apalagi buat ibu tunggal atau wanita yang memelihara anak angkat. Dari melahirkan sehingga anak anak dewasa, kami senantiasa mahu mereka menjadi manusia yang baik budi pekertinya, berhati mulia dan dalam keadaan yang selamat.

Dalam dunia hari ini, yang penuh dengan cabaran dan dugaan, pengorbanan ibu berlipat ganda. Kerana di akhir hayat seorang ibu, kebahagiaan anak anak mereka merupakan hadiah yang tidak boleh di jual beli.”

Hadiah paling bermakna yang tiada gantinya

Ketika bertanya mengenai apakah hadiah paling bermakna yang diimpikannya sebagai seorang ibu, Sofia memberikan jawapan yang sungguh menyentuh hati.

“Saya kehilangan ibu saya pada bulan Mac lalu. Tiada hadiah yang paling bermakna selain dari hakikat bahawa Noreen bt Abdullah telah dipinjamkan kepada saya selama 47 tahun. Dan saya akan senantiasa bersyukur kepada Tuhan kerananya.”

Percayalah sesungguhnya setiap ibu di dunia ini adalah insan yang kuat. Jika anda seorang ibu atau anda mempunyai ibu, hargailah mereka sementara kita mampu. Selamat Hari Ibu buat seluruh insan bergelar ibu di dunia ini.

 

 

 

 

 

Tags: , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna