Kembalikan Semula Kepercayaan Ibu Bapa Terhadap Pengasuh Atau Taska!

Untuk lebih adil, tolong wujudkan buku log untuk memantau setiap aktiviti atau masalah kanak-kanak di bawah asuhan pengasuh rumah atau taska.”

Pelbagai kes penderaan kanak-kanak di taska atau rumah pengasuh membuatkan rata-rata ibu bapa bimbang tentang aspek keselamatan ketika meletakkan anak mereka di tempat jagaan kanak-kanak tersebut. Mereka bimbang kes penderaan berulang dan risau anak kesayangan mereka mungkin menjadi mangsa seterusnya. Kepercayaan terhadap taman asuhan anak atau pengasuh, sedikit tercalar ekoran banyak kes penderaan sehingga menyebabkan nyawa si kecil melayang. Ibu bapa mana tidak fobia dan bimbang tetap keselamatan anak sendiri, namun mahu atau tidak terpaksa merelakan anak kesayangan diletakkan dibawah pengawasan orang lain tatkala mereka perlu keluar bekerja membantu mengukuhkan kewangan keluarga.

Sumber Foto: mstar.com

Donna berkesempatan bertemu Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Norsheila Abdullah untuk mengetahui bagaimana cara untuk kembalikan semula kepercayaan ibu bapa kepada pusat jagaan kanak-kanak dan pengasuh yang sedikit tercalar kredebilitinya. Menurut Nursheila, pengusaha taska atau pengasuh rumah perlu sedar tanggungjawab mereka adalah amat berat bukan sekadar untuk mendapat upah bulanan. Tetapi apabila memilih untuk masuk ke perkhidmatan ini, mereka seharusnya bersedia dan tahu bagaimana untuk mengendalikan kanak-kanak mengikut umur tertentu. Paling penting perlu memastikan si kecil berada dalam keadaan sihat dan selamat di bawah penjagaan mereka satiap hari seperti diamanahkan penjaga. Ini kerana masa berkualiti seorang kanak-kanak sebenarnya banyak dihabiskan bersama pengasuh berbanding ibu bapa sendiri yang bekerjaya.

“Pengendali pusat asuhan dan pengasuh rumah saya cadangkan perlu berilmu, khususnya mempunyai pengetahuan dalam aspek keselamatan, penjagaan kanak-kanak, aktiviti harian dan cara penyediaan makanan yang lebih selamat mengikut piawai yang betul. Ibu bapa telah beri kepercayaan kepada pengasuh dan pusat asuhan menjaga anak mereka, bahkan bukan itu sahaja tetapi mereka mengharap si kecil turut menerima pendidikan awal kanak-kanak seperti membaca, mengira dan penuh dengan aktiviti berfaedah. Jika pengasuh ini tidak mempunyai pengetahuan dan ilmu yang betul, itu menyebabkan banyak kes penderaan berlaku. Saya kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang berhasrat menjadi pengasuh kanak-kanak tanpa mendapatkan asas latihan yang betul. Bila letih, tidak tahan atau stres mula jadikan kanak-kanak yang mungkin banyak ragamnya sebagai sasaran sehingga menyebabkan kematian,”ujarnya.

Sumber Foto: trusted nanny

Kebanyakan suri rumah tidak kurang juga yang berhasrat membantu meringankan beban suami, jadi mereka mula mencari peluang mendapatkan pendapatan dari rumah dengan menjadi pengasuh kanak-kanak. Memang luar biasa kudrat wanita, sambil menguruskan rumah tangga, sempat mengambil upah menjaga anak orang. Itu tidak salah, cuma yang menakutkan ibu bapa hari ini kebanyakkan mereka tiada pengalaman dan enggan mengikuti kursus berkaitan yang telah disarankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Majikan akan mula cerewet dan ia menyebabkan pengasuh atau pengendali taska akan berasa tidak selesa dan seronok untuk berkerja. Penting setiap pengusaha taska atau pengasuh berilmu agar ibu bapa dapat memberi kepercayaan yang penuh tanpa ragu-ragu jika semua kriteria dilengkapi dan mencukupi ada pada sebuah taska atau seorang pengasuh.

“Bayi dan kanak-kanak amat sensitif dalam soal keselamatan tau. Sebab itu jika ada apa-apa kesilapan yang berlaku, ibu bapa boleh terus mengambil tindakan. Untuk lebih adil, tolong wujudkan buku log untuk memantau setiap aktiviti atau masalah kanak-kanak di bawah asuhan pengasuh rumah atau taska. Ini boleh dijadikan bukti dan rujukan pihak berkuasa untuk mengenal pasti masalah yang berlaku. Selalunya taska atau pengasuh yang berdaftar akan menyediakan buku log terbait. Namun jika anak anda tidak dibekalkan buku tersebut, ibu bapa sendiri boleh tolong wujudkan buku tersebut, dan pastikan pengasuh mengisi setiap hari. Bagi pengasuh yang belum pernah mengikuti sebarang kursus asuhan kanak-kanak, kerajaan ada menyediakan latihan  serta kemahiran kepada pengasuh agar mereka memahami tugas dan tanggungjawab menjaga bayi dan kanak-kanak. Oleh itu kami di PPBM amat menggalakkan mana-mana pengendali taska atau pengasuh menghadiri kursus, bengkel atau seminar yang dapat menambah pengetahuan mereka dalam dunia asuhan. Kita tidak mahu ada pengasuh mengambil sikap sambil lewa dengan tidak mementingkan soal keselamatan sepanjang tempoh menjaga anak-anak di umah. Paling tidak pun mereka perlu ikut  latihan asas penjagaan kanak-kanak di rumah sebagai langkah mengelak hal-hal berbangkit yang tidak diingini. Kursus singkat itu adalah program yang baik dan boleh menambah pendapatan keluarga. Melalui pendedahan kursus singkat, ia dapat memberikan keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak kepada pengasuh terlibat.” tambah Norsheila.

Ibu bapa juga dinasihatkan untuk menilai dan memilih taska atau pengasuh yang tepat untuk menjaga anak kesayangan anda. Semak sama ada taska berdaftar dengan JKM atau tidak. Sekiranya menghantar ke rumah pengasuh pastikan anak jagaan tidak melebihi empat orang. Jika tidak abaikan saja dan cari pengasuh lain. Sentiasa pantau fizikal dan kelakuan anak. Sekiranya melihat ada luka, kesan lebam pada tubuh dan kemaluan segera semak buku log yang dibekalkan pengasuh atau pusat jagaan untuk memastikan tahap kesihatan anak sebelum bawa bertemu doktor. Anak-anak kecil yang sudah pandai bercakap biasanya tidak berbohong. Jangan abaikan segala aduan atau sebarang perubahan kelakuan si kecil.

Tags: , , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna