“Keadaan Di Dalam Sungai Gelap..Hanya Fikir Selamatkan Anak”- Si Ibu Cerita Keadaan Cemas Kereta Tenggelam

Baru sahaja kita dikejutkan dengan kenderaan yang terjunam ke dalam laut di jambatan Pulau Pinang akibat kemalangan, kini satu lagi kes seumpamanya namun berbeza situasi terjadi di Kuala Terengganu. Berbeza kali ini mangsa berjaya diselamatkan, dan ibu ini menceritakan bagaimana detik cemas dirinya dan anak-anak semasa terperangkap di dalam kereta yang sudah menjunam jatuh ke sungai.

Tiada siapa yang meminta kemalangan berlaku, namun jika ia sudah ditakdirkan Tuhan, siapalah kita untuk menghalangnya. Ibarat diberi nyawa kedua, itulah perasaan digambarkan mangsa yang nyaris lemas selepas kederaan pacuan empat roda dinaiki lima sekeluarga terjuman ke muara Sungai Terengganu, dekat Pulau Warisan.

Si ibu, Nurdiana Alwani ketika itu sudah membayangkan mati ketika kenderaan mereka terjunam dan tenggelam, namun tidak sanggup melihat anak terseksa dia berusaha menyelamatkan anak yang duduk di ribanya daripada lemas.

Sumber Foto: Bharian

Jika ingin diceritakan semula, katanya segalanya berlaku dengan pantas. Dalam masa yang singkat, kenderaan mereka sudah tenggelam ke dasar dan keadaan terlalu gelap.

“Selepas kereta terjunam ke dalam sungai, saya dan ibu tiri segera membuka tingkap di bahagian kiri dan kanan tempat duduk hadapan, pada masa sama nampak ada orang terjun untuk membantu menyelamatkan kami.

“Kereta sudah hampir tenggelam, datang seorang lelaki di tepi tingkap lalu saya segera menghulurkan anak di riba untuk diselamatkan. Ketika itu, saya hanya fikir mahu menyelamatkan anak dan menganggap ini pengakhiran hidup kami.”

Sudah berputus asa… Keadaan dasar sungai sangat gelap!

Menurut laporan Hmetro, lima mangsa dilaporkan stabil dan ada yang masih menerima rawatan ketika ini. Siapalah sanggup melihat anak terseksa kelemasan di dalam air, jika mampu sememangnya anak menjadi keutamaan ibu ini.

Sambungnya lagi, dia sudah berputus asa untuk menyelamatkan diri, namun apabila melihat kesungguhan ibu tirinya menyebabkan mereka saling memberi semangat antara satu sama lain.

“Di bawah itu (dasar sungai) tak nampak apa dah. Kita pun tak fikir banyak kecuali mati. Tetapi saya nampak ibu tiri berusaha membuka tingkap untuk keluar lalu saya pun cuba melakukan hal sama.

“Malangnya tingkap tersekat dan tidak boleh diturunkan lagi. Dalam masa sama tekanan air juga kuat menyebabkan usaha membuka pintu kenderaan tidak berjaya.

“Namun, kami tidak putus asa dan masih cuba menurunkan tingkap… Alhamdulillah kami semua akhirnya berjaya keluar daripada kenderaan.

“Rasa nak habis nafas dah sebelum kami dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian,” sambungnya lagi.

Hanya Allah tahu perasaan ketika itu..

Sementara itu Suryati berkata, ketika menurunkan brek tangan untuk menggerakkan kenderaan, beliau menyangka sudah menukar kepada kedudukan gear D, namun rupanya kereta masih berada dalam kedudukan gear mengundur.

“Disebabkan itulah kereta meluncur laju ke dalam sungai. Hanya Allah tahu perasaan ketika itu apatah lagi ketika sudah berada di dasar sungai dalam keadaan gelap gelita, terpaksa menahan nafas dan perlu berusaha untuk menyelamatkan diri.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada orang awam yang membantu menyelamatkan kami.

“Sudah tentu kami sedih mengetahui seorang daripadanya masih hilang dan kami berdoa semoga dia segera ditemui.

“Saya memang mahu berjumpa dengan ahli keluarga mangsa tetapi kami masih dirawat di hospital. Insya Allah, jika diizinkan, memang saya mahu berjumpa dengan ahli keluarga mangsa,” katanya sayu.

Sumber Foto: Bharian

Pernahkah anda terfikir bagaimana keadaannya jika perkara sama berlaku kepada diri sendiri? Semoga kita semua mendapat iktibar daripada apa yang terjadi dan sebagai langkah berjaga-jaga baca ini:

Bahaya Memandu Di Jambatan. Lakukan Ini Jika Kereta Terhumban Ke Dalam Air!

 

 

 

 

 

 

 

 

Sumber: Hmetro

Tags: , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna