Kata Dan Pendapat Tidak Dihiraukan, Wanita Ini Kongsi Bagaimana ‘Survive’ Hidup Di Tehran!

“Tidak pernah terlintas sama sekali untuk ke Iran dan apatah lagi menetap di sana sebelum ini. Dari dulu sehingga sekarang kita didedahkan dengan kisah perang dan kekuasaan republik tersebut. Jujur saya katakan bahawa saya berasa takut dan tidak boleh membuat keputusan ketika ditawarkan tugasan itu.”

Itulah perasaan yang dikongsikan oleh wanita bernama Yasmin Ahmad Shamsuddin apabila diberi tugasan untuk berkhidmat di Tehran sebagai Pengurus Negara (Country Manager) Iran buat syarikatnya  pada tahun 2016 selama dua tahun.

Cerita Yasmin, pada awal dirinya memang takut namun Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X pada masa itu, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat dan sokongan terhadapnya supaya menerima tawaran tersebut.

“Saya hanya seorang wanita dalam lewat 20an pada masa itu tambahan dengan keadaan fizikal saya yang bertubuh kecil dengan tinggi 5 kaki, saya kadang juga meragui kebolehan saya untuk menjalankan tugas di negara yang masih didominasi lelaki dalam ruang kerja, tetapi selepas seminggu berfikir dengan berkat doa dan sokongan ibu bapa saya tekad untuk mengambil peluang ini.”

Berikut adalah perkongsian Yasmin sepanjang berada di sana.

 

Satu Demi Satu Cabaran Datang

Cabaran pertama saya setelah keluar dari pintu ketibaan adalah komunikasi. Saya tidak dapat mencari pengurus stesen walaupun sudah hampir 40 minit saya menanti di situ. Pertanyaan saya di kaunter maklumat untuk bertanyakan tentang lokasi pejabat AirAsia di lapangan terbang tidak dapat difahami oleh pegawai bertugas walaupun diulang beberapa kali.

Selama hampir 4 bulan, saya terpaksa belajar Bahasa Parsi sendiri melalui komunikasi harian bagi menyesuaikan diri di Tehran. Selama saya di Iran, saya mula sedar bahawa komunikasi dan bahasa itu sangat penting untuk seseorang menyesuaikan diri dan berasa selesa untuk berada di sesuatu tempat. Ia mengajar saya menjadi lebih sensitif terhadap budaya dan juga karakter –karakter orang yang berlainan bangsa.

Hari pertama saya di Tehran, saya menghubungi Kedutaan Malaysia kerana saya dinasihati untuk mendaftar diri sebagai warga Malaysia yang menginap di Iran. Saya diberitahu bahawa hanya ada 30 orang warga Malaysia sahaja yang menginap di Iran.

Pada mula saya bertemu dengan warga Malaysia yang bekerja di Iran, saya mula sedar masih belum ada wanita yang dikenalkan kepada saya selain isteri-isteri pegawai yang mengikuti suami yang dihantar bertugas. Hanya saya sahaja seorang wanita Melayu yang ditugaskan untuk membantu menguruskan syarikat antarabangsa dari Malaysia di Iran pada masa itu.

Setiap hari saya di Tehran, saya belajar sesuatu yang baru. Selepas beberapa hari di Tehran, saya sedar bahawa negara tersebut tidak sama seperti negara lain dan saya harus bersedia dari segi mental dan emosi. Malah dari segi fizikal, saya juga harus berubah apabila saya berada di sana. Saya dibesarkan di kalangan yang boleh dikatakan liberal tetapi saya harus terima dan sedar yang saya pada masa itu, akan menetap di sebuah negara yang sedikit konservatif. Saya perlu memastikan pemakaian saya mengikuti undang-undang dan perlakuan serta pertuturan saya perlu juga dijaga mengikut sensitiviti negara tersebut. Pendek kata, saya harus berubah dari segi pekerjaan dan pengendalian diri saya yang buat masa itu sangat sukar buat saya.

Perbezaan Budaya Bukan Halangan

Dalam sesetengah kategori, Iran tidak begitu banyak bezanya dengan Malaysia kerana kedua negara tersebut adalah negara Islam. Hanya perbezaan budaya dan cara hidup serta undang – undang adalah lebih konservatif berbanding negara Islam yang lain.

Di Iran, wanita harus memakai hijab dan baju melepasi punggung. Wanita tidak dibenarkan untuk memakai baju yang berwarna terang dan mengenakan solekan yang tebal bersama gincu merah. Mereka mempunyai pegawai moral yang akan menahan para wanita yang tidak menepati undang – undang ini. Saya sebagai warga asing juga turut menghormati budaya ini bagi menjaga sensitiviti masyarakat tempatan.

Kaum lelaki masih mendominasi

Industri penerbangangan memang didominasi oleh kaum lelaki secara global dan lagi-lagi di Tehran, rata-rata semua pegawai adalah kaum lelaki. Mungkin ada wanita yang memegang jawatan tinggi seperti Finance Manager tetapi tidak sebagai Country Manager. Kesemua yang dikenalkan kepada saya adalah lelaki dan mereka mempunyai lebih 10 atau 15 tahun pengalaman bekerja di dalam industri yang sama. Oleh itu pada awal saya berada di Tehran, sangat sukar untuk saya mendapatkan kerjasama termasuklah daripada rakan setugas saya sendiri yang memandang rendah terhadap saya,

Oleh kerana wanita mempunyai banyak had dari segi undang-undang di Iran, saya juga tidak boleh hadir dan mengikuti beberapa program bagi pihak AirAsia di Iran. Saya terpaksa menghantar rakan setugas lain untuk menghadiri program tersebut. Ada juga beberapa situasi di mana kata-kata dan pendapat saya tidak dihiraukan tetapi hanya kata-kata rakan setugas lelaki yang diambil kira.

Saya mengambil masa hampir 4 bulan untuk mendapatkan tanda hormat daripada rakan dari industri yang lain selepas menunjukan kebolehan sebenar saya dalam menjalankan tugas tidak langsung dipengaruhi oleh jantina saya. Itupun terpaksa melalui beberapa episod di mana saya terpaksa di panggil pulang ke Malaysia kerana beberapa aduan tentang hal kecil yang diperbesarkan hanya kerana saya seorang wanita. Namun saya bernasib baik kerana AirAsia X mempercayai kebolehan saya.

Jangan takut untuk gagal

Nasihat saya pada wanita diluar sana yang berasa mereka ditindas di tempat pekerjaan adalah supaya tidak berputus asa dan jangan sesekali merasakan diri mereka tidak cukup bagus untuk suatu pekerjaan hanya kerana jantina anda. Kita perlu yakin dengan kebolehan sendiri dan kualiti kerja kita yang akan menunjukan kebolehan kita untuk menjalankan tugas yang baik sama sahaja seperti mereka yang lain.

Jangan takut untuk gagal kerana itu adalah satu proses yang menjadikan diri kita lebih baik dan kuat. Malah ia juga dapat mengukuhkan kita dari segi mental dan emosi. Wanita dicipta dengan kebolehan untuk multitask, itu juga memberikan kita satu kelebihan yang tidak semua kaum lelaki mampu lakukan.

 

 

 

 

 

 

Tags: , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna