Jarang Ada Anak Nak Teman Ibu Bapa Berusia Temujanji Doktor

Sampai di hospital terus saya mendapatkan mak yang sedang termanggu keseorangan menunggu urusan rawatan. Saya sembunyikan air mata saya yang ditahan supaya tidak mengalir di hadapan mak.”

Beruntunglah sesiapa yang masih memiliki ibu bapa untuk berkongsi segala kisah pahit dan manisnya hidup. Sebenarnya, anda tidak perlu menunggu minggu atau hari yang sesuai untuk menyatakan betapa anda terlalu terhutang kepada mereka. Pasti semua bersetuju bahawa seharusnya setiap hari perlu menceriakan kedua ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kita.

Anda sering diingatkan agar mencari keberkatan hidup di dunia dan akhirat dengan berbakti kepada kepada kedua ibu bapa. Menabur budi dan bakti kepada mereka seumpama menambah pelaburan saham ke syurga. Sayangnya masih ramai anak zaman ini, menganggap ibu bapa sebagai beban yang menyusahkan hidup mereka. Anak-anaknya merasa terbeban menanggung ibu bapa tua ini sedangkan mereka tidak pernah bersungut membesarkan anaknya. Kalau hari ini, anda boleh lihat ramai anak-anak yang membiarkan ibu bapa mereka yang sudah tua ke hospital untuk temujanji doktor sendirian. Alasan tidak dapat cuti atau ada hal lain yang lebih penting. Sedarkan anda, ketika kecil, ibu bapa anda tidak akan membiarkan anda sendirian mendapatkan rawatan jika tidak sihat.

Ini kisah yang kembali viral beberapa hari lepas mengenai seorang anak yang sedar akan ‘tanggungjawabnya’ setelah meninggalkan ibunya bersendirian di hospital untuk temujanji ulangan. Kisah sebegini perlu dijadikan pengajaran kepada semua orang agar mereka sedar untuk menyayangi kedua ibu bapa mereka dengan sepenuh hati.

 

…………………………………………………………………………………………………………………………………….

Beberapa tahun lepas saya menurunkan Mak di depan hospital dan berjanji supaya Mak telefon bila dah semua urusan selesai. Mak menghadiri pemeriksaan biasa bulanan di Hospital Balik Pulau. Saya pulang ke rumah dan menunggu Mak telefon bila dah siap nanti.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya tiba-tiba terkenang suatu ketika dulu ketika saya demam. Mak menggengam erat tangan saya berjalan dari rumah menunggu bas untuk ke hospital, sesekali saya didukung kerana tak kuat berjalan, di atas bas saya baring di ribaa Mak sambil Mak mengusap kepala dan sesekali mengucup dahi saya.

Di hospital juga ketika menunggu rawatan saya sentiasa di dalam pelukkan Mak. Selesai rawatan, sekali lagi dalam perjalanan ke stesen bas saya didukung, sempat dibawa ke kedai. Dan Mak cakap ‘adik nak beli apa apa ke.’ Sampai di rumah saya dipujuk untuk makan ubat, dipujuk dan disuap makan kerana tak lalu makan akibat demam.

Habis saja kenangan itu berlalu di fikiran saya segera terus berpatah balik ke hospital, ‘hujan lebat di dalam kereta.‘ Sampai di hospital terus saya mendapatkan Mak yang sedang termanggu keseorangan menunggu urusan rawatan. Saya sembunyikan air mata saya yang ditahan supaya tidak mengalir di hadapan Mak.

Saya memegang tangan Mak membawa masuk bilik doktor, mendengar penjelasan doktor berkaitan tahap kesihatan Mak, mendengar nasihat doktor supaya memantau pemakanan Mak. Saya memegang tangan Mak ke farmasi dan menunggu untuk mengambil ubat. Selesai semuanya saya memegang tangan Mak menuju ke kereta,membuka pintu kereta untuk Mak dan saya tanya ‘Mak ada nak beli apa apa ke.’

“YA ALLAH, ampunilah aku yang sedikit terlalai dari menyantuni pembuka pintu syurga untuk ku ini.”

Saya sekarang di IJN Kuala Lumpur, menunggu untuk berjumpa doktor, rawatan susulan. Saya menulis rasa hati ini bila melihat di sini ramai Mak Ayah yang keseorangan terkial-kial bertanya arah sambil menunjukkan kad mereka.

Bayangkan di sini ada blok A, blok B dan sangat luas. Ada yang bertanya arah cafe untuk makan setelah semalaman berpuasa untuk mengambil darah, beratur ramai untuk mengambil dan membayar harga makanan dan sebagainya.

Saya juga melihat pasangan Mak Ayah lewat 70 an yang saling membantu berpimpin, berjalan perlahan mengatur langkah dan sesekali berhenti penat, mungkin mereka tidak mempunyai anak TETAPI sangat rugilah seandainya mereka mempunyai anak-anak dan anak-anak mereka terlepas pandang ruang kasih sayang yang sepatutnya mereka penuhi ini.

Alhamdulillah, setakat ini saya gagah kesana sini berjalan laju di hospital, namun seandainya saya berada di tahap Mak saya dan Mak-Mak, Ayah-Ayah yang saya lihat di IJN ini, saya akan rasa selesa, bangga, terharu dan harapkan ada anak bersama saya sekurang kurangnya sebagai ‘SEMANGAT’. Anak anak sekalian,saya yakin apa yang saya rasa ini dirasai oleh Mak Ayah kita semua.

Hayati lah firman ALLAH ini untuk kebaikan bersama dunia dan akhirat-

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah satu seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah menyayangi aku di waktu kecil.”

(Al Isra’ 23 & 24)

-Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad-

Sumber: Facebook Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad

 

TANGGUNGJAWAB SEORANG ANAK

Sumber Foto: malaysiaresorts.org

  • Menjaga Maruah Diri dan Keluarga

Elakkan daripada melakukan perkara yang yang boleh menyebabkan maruah anda tercalar seperti terlibat dengan seks bebas, penyalahgunaan dadah, terlibat dengan parti liar dan sebagainya.

  • Sentiasa Mengambil Berat Perihal Ibu Bapa

Tidak kira anda duduk sebumbung atau pun berjauhan beribu batu dengan ibu bapa anda, masih bujang atau yang sudah mendirikan rumah tangga, tanggungjawab anda untuk mengambil berat terhadap ibu bapa anda masih lagi seperti biasa dan tidak berubah. Di samping itu anda berpeluang memantau kesihatan mereka.

  • Mendoakan Kesejahteraan Ibu Bapa

Selain daripada menunaikan tanggungjawab secara rohani dan jasmani, anda juga hendaklah mendoakan kesejahteraan ibu bapa anda di dunia dan akhirat. Jika ibu bapa anda sudah meninggal dunia, tanggungjawab anak untuk mendoakan kesejahteraan mereka agar doa untuk mereka tidak terputus.

  • Menjaga Ibu Bapa Ketika Uzur

Jika ibu bapa dalam keadaan nazak dan tenat, ambil alih tugas menjaga mereka samada di rumah atau hospital supaya apabila berlaku hal kecemasan boleh terus dimaklumkan kepada adik beradik yang lain dan inilah masa terbaik untuk membalas segala permohonan mereka.

  • Beri Ganjaran Kepada Ibu Bapa

Beri ganjaran dan menggembirakan kedua ibu bapa anda bukan bermaksud menaburkan wang ringgit dan membuatkan mereka ketawa sahaja. Anda juga boleh membuatkan mereka gembira dengan sering melawat mereka atau berkongsi kejayaan anda, tidak kira mendapat gred cemerlang untuk peperiksaan,mendapat segulung diploma dan ijazah atau mendapat kenaikan pangkat.

 

 

 

Tags: , , , , ,
Previous Post Next Post

Comments

    • Noor Sharmila Ahmad Halmi
    • 5 March 2019
    Reply

    Bercerita tentang menemani ibu/bapa ke hospital saya teringat tentang arwah ayah saya….setiap kali pemeriksaan ulangan saya pasti akan menemaninya,bukan hendak mendabik dada tapi inilah kenyataan….pernah satu hari ketika dalam bilik pemeriksaan saya dan adik menemani ayah bertemu doktor, riak wajah ayah sentiasa senyum dan sehingga doktor bertanya ‘nanti kita jumpa lagi ya pakcik….lantas ayah berkata ‘doktor boleh tak pakcik nak minta, kalau pakcik kena datang lagi ke hospital, doktor bagi tarikh yang jatuh pada hari isnin ya’…saya dan adik berpandangan sesama sendiri…doktor bertanya ‘kenapa pakcik nak hari Isnin? ayah menjawab dengan senyuman ‘ anak pakcik cuti hari Isnin, boleh la dia temankan pakcik bila pakcik ada temujanji dengan doktor,jawab ayah’ saya yang mendengar terkejut ‘Allahuakbar ayah,anak ayah ni tak boleh pun memandu,sekadar dapat menemani ayah saja,berlinangan airmata mendengarnya..sekadar berkata dalam hati’…doktor tergamam lantas berkata ‘satu-satunya anak perempuan pakcik akan sentiasa menemani pakcik,pakcik jangan risau saya akan beri tarikh yang jatuh pada hari Isnin’…

    Begitu juga dengan ibu, tak betah saya kalau saya tidak menemani mereka melainkan saya mempunyai hal kerja yang tak dapat dielakkan…kini bila ayah sudah tiada sebulan yang lepas,setiap kali terpandang hospital,pasti teringat dekat arwah ayah….kini tumpuan perlu diberikan kepada ibu pula yang tidak berapa sihat juga…Moga Allah terus mengurniakan kesihatan yang baik untukku agar dapat aku terus menjaga ibu sebaik mungkin sebagaimana ibu menjagaku selama ini….Al Fatihah untuk arwah ayah…..

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna