Jannah Diserang Sawan Tanpa Henti Selama 24 Jam. Ya Allah, Kau Kuatkan Anak Ini!

Naluri keibubapaan sesiapa sahaja pasti akan tersentuh setiap kali melihat seorang anak kecil menahan kesakitan ketika sawan menyerang tanpa sebarang amaran selang beberapa minit sekali.”

Si kecil ini akan menangis dengan sekuat hati seperti menahan kesakitan yang amat sehingga mukanya berubah warna biru kehitaman setiap kali sawan.

Nur Jannah mencipta keajaiban apabila masih bertahan sehingga hari ini selama hampir dua tahun setengah, walaupun menghidap sindrom Patau. Sindrom ini kebiasaannya akan menyebabkan pesakit yang menghidapnya meninggal dunia dalam tempoh beberapa hari selepas dilahirkan.

Redha Ujian Tuhan

Menurut Aslina Abd Sani, ibu kepada kanak-kanak perempuan istimewa ini, Jannah menghidap tiga penyakit selepas dilahirkan. Selain Sindrom Patau, Jannah juga dikesan mempunyai mulut sumbing ketika dalam kandungan dan penyakit Hydrocephalus iaitu mempunyai lebihan cecair di kepala ketika usianya sebulan. Disebabkan semua masalah ini, Jannah hanya dapat sumber makanan daripada susu melalui tiub khas yang dipasangkan pada mulutnya. Dia hanya mempunyai satu saluran yang boleh digunakan serentak untuk bernafas dan minum susu.

“Pada usia 7 bulan Jannah dalam kandungan, doktor mengesan kromosomnya tidak normal. Apa yang lebih menyedihkan apabila diberitahu kemungkinan bayi yang dikandung saya tidak akan hidup lama selepas dilahirkan. Namun semuanya perancangan tuhan, siapa sangka umur Jannah masih panjang. Saya redha dengan apa yang berlaku walaupun pada awalnya sukar untuk saya terima ujian ini.” ujar Aslina.

Pengsan 20 Kali Sehari

Bapa Jannah, Ahmad Razis Abd Rahman berkata sindrom patau ialah penyakit berkaitan dengan masalah kromosom yang mampu memendekkan hayat pesakit. Setiap kali menyerang, pesakit akan mengalami sawan. Itu yang berlaku kepada anak kesayangannnya. Penyakit sawan itu terlalu kerap menyerang Jannah iaitu setiap tiga minit, termasuk ketika anaknya sedang tidur. Bantuan perlu diberikan segera kerana penyakit ganjil itu membuatkan anak mereka lupa cara untuk bernafas sekaligus boleh meragut nyawa.

“Ada kala selang seminit sawan akan menyerang Jannah dan setiap kali sawan menyerang, saya dan isteri perlu segera memberikan bantuan seperti mengejutnya bangun dan menggerak-gerakkan tubuh badannya. Ia perlu dilakukan dengan pantas kerana jika lambat bertindak nyawa Jannah akan melayang. Bukan itu sahaja, Jannah juga kerap pengsan setiap kali terkena sawan. Dalam sehari, sebanyak 10 hingga 20 kali juga anak saya ini pengsan. Kalau dia tidak menunjukkan sebarang perubahan, kami perlu bergegas menghantarnya ke hospital untuk bantuan kecemasan,” beritahu Razis ketika ditemui Donna baru-baru ini.

Berhenti Kerja Demi Jannah

Malah, ibu dan bapa Jannah terpaksa membuat keputusan untuk berhenti kerja demi untuk memberi lebih tumpuan sepenuhnya kepada anak mereka tanpa gagal. Jannah memang memerlukan penjagaan yang betul-betul rapi dan dipantau 24 jam tanpa ditinggalkan. Bayangkan seringkali berlaku hampir tiga hingga ke empat hari pasangan suami isteri ini bergilir-gilir tidak tidur disebabkan Jannah dikatakan langsung tidak mahu tidur. Menurut doktor, Jannah tidak mempunyai fungsi tidur yang normal seperti orang lain kerana hormon tidur (melatonin) sudah tiada. Oleh itu jadual tidurnya tidak menentu.

“Keputusan untuk berhenti kerja memang satu keputusan yang berat untuk saya lakukan kerana itu sumber pendapatan tetap untuk menyara keluarga. Namun memikirkan beban dan keletihan yang ditanggung isteri seorang diri ketika saya keluar bekerja, saya nekad untuk cuba mencari pendapatan lain yang boleh dilakukan di rumah sahaja. Itu juga merupakan cara paling baik untuk memantau Jannah dengan rapi,” tambah Razis lagi.

Disebabkan tiada sumber pendapatan tetap, pasangan ini meneruskan kehidupan dengan berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan untuk menampung kos perubatan serta susu Jannah sekitar RM800 sebulan. Mereka juga mempunyai seorang lagi anak iaitu abang sulung kepada Jannah dan bakal menimang cahaya mata yang ketiga tidak lama lagi.

Kesusahan dan kesukaran yang dilalui keluarga ini mendapat perhatian daripada pihak Zakat Selangor. Mereka telah mendapat bantuan untuk meringankan beban membeli susu Jannah setiap bulan dan turut membantu keluarga ini dengan memberi modal kewangan membeli kelengkapan dan mesin untuk mereka memulakan perniagaan menjual Pes Masakan.  Perniagaan Pes Masakan pasangan Razis dan Aslina telah beroperasi selama hampir 2 tahun.

LAKSANAKAN ZAKAT TANPA WAS-WAS

Keperluan zakat semakin meningkat saban tahun di Selangor berikutan pertambahan keluarga asnaf. Justeru, Zakat Selangor telah memastikan setiap sen duit zakat itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk golongan asnaf keutamaannya. Demi memastikan kelangsungan hidup asnaf terutama asnaf fakir dan miskin, maka pelbagai mekanisme dilakukan agar kutipan sedia ada dimanfaatkan sebaik mungkin. Sebagai umat Islam terutama anda yang menetap di Selangor marilah mengeluarkan zakat bersama-sama Zakat Selangor untuk membantu asnaf tanpa was-was.

Tags: , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna