Ibu Tunggal Sering Dipandang Serong. Apa Salah Mereka?

Tidak dinafikan ketika hidup keseorangan sebagai wanita berstatus ibu tunggal ramai yang rasa tidak senang hati. Jika wanita mereka bimbang untuk mendekati si ibu tunggal, takut suami mereka dilarikan, sementara lelaki pula ambil kesempatan untuk menggatal dengan insan seperti ibu tunggal ini. Adilkah ibu tunggal dilayan sebegitu? Kenapa tidak dilayan dengan baik seperti mana seorang lelaki bergelar duda. Kerana itu, ada setengah ibu tunggal yang takut untuk mendedahkan status mereka kepada umum. Sedangkan sepatutnya golongan ini diberi bantuan daripada segala aspek terutamanya psikologi.

Kehidupan ibu tunggal adalah sangat mencabar, tiada wanita yang inginkan gelaran tersebut. Oleh itu status ibu tunggal sebenarnya secara tidak langsung memberi tamparan yang begitu hebat kepada perubahan kehidupannya secara keseluruhan. Kenapa perlu menambah lagi beban mereka dengan pandangan serong yang negatif setelah mereka hilang orang tersayang atau tempat bergantung. Sepatutnya masyarakat menerima mereka dengan baik dan positif. Penceraian bersama pasangan atau kematian suami bukan sesuatu yang mudah. Lagi-lagi jika ibu tunggal itu mempunya tanggunggan anak dan hutang piutang bersama pasangan sebelum ini yang perlu dipikul seorang diri.

Sumber Foto: 123rf.com

Menurut portal rasmi Kementerian Wanita Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, seseorang wanita ditakrifkan sebagai Ibu Tunggal sekiranya :

  • Wanita yang kematian suami dan sedia meneruskan tugas membesarkan anak-anak.
  • Wanita yang telah bercerai dengan suami dan diberi hak penjagaan ke atas anak-anaknya.
  • Wanita yang tidak diberi nafkah oleh suami untuk menyara hidupnya dan anak-anaknya.
  • Wanita yang berada di dalam proses penceraian (yang mungkin akan mengambil masa yang panjang).
  • Suami uzur dan tidak mampu menyediakan nafkah dan memerlukan penjagaan rapi.
  • Wanita yang membesarkan anak orang lain tanpa pertolongan suami.

 

MASALAH IBU TUNGGAL YANG RAMAI TAK TAHU

Stigma yang dikenakan terhadap mereka oleh masyarakat memburukkan lagi keadaan. Tanggapan negatif seiring dengan gelaran ibu tunggal boleh menimbulkan tekanan psikologi. Antara dilema yang dihadapi ibu tunggal yang ramai masyarakat tidak tahu dan sedar seperti:

Sumber Foto: 123rf.com

  • Ada ibu tunggal yang menghadapi masalah dengan bekas suami yang enggan bekerjasama terutamanya dalam hal memberi nafkah untuk anak-anak yang sebenarnya merupakan tanggungjawab mereka. Maka si ibu terpaksa menanggung anak-anak sendirian menggunakan kudrat mereka tanpa bantuan sesiapa.
  • Bagi ibu tunggal yang bergelar suri rumah, bukanlah perkara yang mudah untuk golongan ini untuk mencari peluang pekerjaan di luar. Ada juga yang memilih untuk bekerja atau berniaga sendiri. Namun, ini hanya mendatangkan pendapatan yang kecil. Sumber pendapatan yang tidak seberapa menghadkan pilihan mereka justeru hanya mampu menikmati kualiti hidup yang rendah bagi meneruskan kelangsungan hidup.
  • Oleh kerana kekangan kewangan dan tiada sumber pendapatan tetap ada ibu tunggal terjerumus dengan gejala sosial. Ramai melibatkan diri dengan jenayah sosial seperti pelacuran, penagihan dadah dan jenayah kecurian demi untuk menyara hidup anak-anak.
  • Anak yang mempunyai ibu berstatus ibu tunggal sering terlibat dalam salah laku sosial. Mungkin kerana tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya atau memberontak. Mereka sering terlibat dengan masalah ponteng sekolah atau ketagihan dadah.

Namun begitu, terdapat juga segelintir ibu tunggal yang dapat memajukan diri bangkit dari kejatuhan dan berjaya untuk memajukan diri sendiri dan keluarga. Mereka sangat kuat dan boleh dijadikan contoh kepada ibu tunggal yang lain. Jangan takut jadi ibu tunggal, tetapi berbanggalah wanita boleh besarkan anak-anak sendiri.  Ayuh ubah pandangan anda terhadap golongan ibu tunggal. Berhenti memberi stigma buruk kepada mereka. Nasib anda semua akan datang belum tahu lagi bagaimana!

 

 

Sumber: myhealth.gov.my

Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna