Emosi Anak Perlu Dijaga Elak Bercerai Susu Secara Mendadak

Pada satu peringkat ibu yang menyusukan anak kadang-kala terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan penyusuan badan terutama apabila si kecil semakin meningkat usia.”

Namun kadangkala proses bercerai susu ini dikatakan agak beremosi kerana mungkin si ibu yang berat hati atau si anak yang tertekan kerana perlu berhenti menyusu badan. Menurut Pakar Laktasi Puan Salmiah Dato’ Haji Talib kepada Donna, berpisah susu perlu dilakukan secara perlahan-lahan berbanding berhenti secara mendadak. Jika susu diputuskan oleh ibu kepada anak secara mendadak boleh menyebabkan keadaan tidak selesa selain menyebabkan masalah penyusuan seperti mastitis berikutan susu yang tidak dikeluarkan dengan habis. Dalam masa yang sama, anda perlu mengambil berat mengenai payu dara sendiri kerana susu badan akan terus keluar dengan banyak walaupun anda menghentikan penyusuan badan pada waktu yang tertentu.

Sumber Foto: romper.com

“Ada beberapa cara yang boleh ibu lakukan untuk menamatkan aktiviti penyususan. Buat permulaan perlahankan rutin penyusuan. Berikan susu apabila anak minta dan jangan menolak sekiranya anak mahu menyusu. Sekiranya anak suka minum susu semasa ibu sedang menonton televisyen. Ibu boleh mengelakkan untuk menonton televisyen buat sementara waktu.”

“Kurangkan jumlah penyusuan badan setiap hari secara perlahan-lahan dan konsisten. Adakala memang sukar untuk anda menghentikan penyusuan badan secara serta merta kerana bayi tidak akan memahaminya dan sukar menyesuaikan diri. Peranan suami sangat penting dalam proses bercerai susu ini,” ujar Puan Salmiah.

Sebagai permulaan anda juga boleh mengurangkan satu waktu penyusuan harian tidak kiralah sama ada pada waktu siang dan malam. Jika si kecil kelihatan lapar kerana jumlah penyusuan hariannya dikurangkan, berikannya minum susu segar atau susu formula dan disusukan menggunakan botol.

Anda juga boleh alihkan perhatian anak dengan permainan atau aktiviti yang membuatkannya sentiasa sibuk. Apabila anak anda leka bermain atau melakukan aktiviti yang menarik, selalunya dia akan terlupa untuk meminta susu badan. Sambil itu cuba sediakan pelbagai makanan atau snek berkhasiat seperti buah-buahan atau roti puding. Ketika tempoh sepatutnya untuk berhenti menyusu badan, anak akan mula menunjukkan minat kepada makanan pejal.

Antara tip lain yang boleh anda praktikan untuk si anak bercerai susu agar emosinya tidak terganggu seperti beritahu atau terangkan kepada anak secara berhemah. Anak berusia dua tahun ke atas sudah boleh memahami arahan yang diberikan. Tunjukkan contoh seperti kanak-kanak seusianya sepatutnya sudah minum susu melalui cawan sahaja. Hadiahkan atau beri anak anda pilihan untuk membeli cawan menyusu yang menarik dan pelbagai corak. Anak pasti teruja! Paling penting, jika anak anda belum bersedia, jangan paksa ya!

Tags: , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna