Di Sebalik 15 Pantang Larang Orang Melayu

Ha! Mandi la malam-malam tu, nanti dapat penyakit paru-paru berair baru tahu,”

Barisan ayat pantang larang di atas pasti anda semua pernah dengar dari mulut orang tua kita kan? Tak orang tua kita, makcik-makcik saudara yang sering mengambil berat tentang kita. Namun,  pernah tak anda terfikir sama ada betul atau tidak pantang larang mereka ini?

Sumber: perdagangan antarabangsa

Jadi, artikel kali ini akan merungkai sejauh manakah kebenaran pantang larang melayu ini.

1. Jangan memukul, mendera atau mencederakan mana-mana binatang kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalami kecacatan

Walhal, secara logiknya langsung tidak ada kena mengena dengan membunuh haiwan, bayi akan mengalami kecacatan. Kalau macam tu, pasti ramai anak yang cacat sebab bunuh nyamuk, lipas, semut. Namun, perlu anda tahu, pantang larang ini mungkin kerana orang tua ingin mengelakkan penganiayaan terhadap binatang.

2. Jangan mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat.

Secara logiknya, keadaan fizikal bayi dalam kandungan ibu ditentukan oleh Yang Maha Pencipta. Jadi, tiada siapa dapat menghalang jika bayi tersebut cacat walaupun ibu bapanya tidak mengejek kecacatan atau kelemahan orang lain. Tetapi, disebaliknya orang tua dulu-dulu ingin menjaga pertuturan ketika berbicara dengan orang.

3. Jangan bergaduh dengan ibu atau ibu mentua, dikhuatiri mengalami kesulitan ketika melahirkan anak.

Siapa saja tidak merasakan kesakitan ketika melahirkan zuriat? Semua orang akan rasa sakit. Jadi, wujudnya pantang larang ini kerana ingin menjaga ketenteraman keluarga antara anak dan ibu. Terutamanya apabila tinggal bersama mertua selepas berkahwin.

4. Jangan duduk di atas bantal kerana dipercayai boleh naik bisul

Sumber: maukerja

Menurut Perubatan Pakar Perunding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain, bisul terjadi apabila individu kerap berpeluh serta kulit mengalami geseran. Jadi, tiada kena mengena duduk atas bantal, punggung akan bisul.

Namun, ini mungkin orang tua ingin menjaga bantal daripada dipecah atau dikoyak, dan tidak sopan kalau barang yang digunakan untuk melapik kepala diletakkan di bawah punggung.

5. Kalau makan nasi kena habiskan, kalau tidak nasi akan menangis

Sebenarnya, orang tua ingin mengelakkan berlakunya pembaziran dan sentiasa tidak bersikap tamak ketika mengambil makanan. Lagipun mana ada nasi menangis! Haha.

6. Anak dara jangan menyanyi di dapur, nanti kahwin dengan orang tua.

Jika difikir secara logik akal, mana ada nyanyian menyebabkan makanan jadi hangit, yang buat makanan jadi hangit adalah api itu sendiri. Tetapi, orang tua berkata begini kerana tak mahu ada air liur terpercik di dalam makanan, makanan menjadi hangus dan masakan tak sedap kerana salah letak bahan kerana terlalu leka bernyanyi.

7. Selepas makan letak air di pinggan, mudahkan rezeki datang.

Sumber: blogspot

Rezeki setiap individu sudah ditentukan oleh Yang Maha Pemberi, jadi siapalah kita untuk menentukan rezeki mudah masuk atau tidak. Namun, pantang larang ini wujud kerana mudah untuk basuh pingan. Iyalah, lepas makan mesti sembang dulu kan? Sampai sisa kuah di pinggan pun kekeringan, jadi letak air dipinggan adalah jalan yang terbaik.

8. Tak baik duduk di pintu, nanti tak ada orang nak masuk minang.

Ingatlah, jodoh dan maut di tangan Tuhan, terang-terang tak ada kena mengena dengan duduk depan pintu tak ada orang masuk minang. Tetapi, orang tua kata begitu kerana tak mahu ganggu orang lain nak keluar masuk di pintu. Pintu rumahkan ruang utama untuk tetamu keluar masuk rumah.

9. Tak boleh meniarap sambil lipatkan kaki ke atas, takut ayah atau ibu meninggal.

Kalau macam tu, ramailah yang anak yatim piatu. Iyalah, kadang posisi itu kita selesa ketika membuat kerja atau membaca buku di atas katil tapi sebenarnya, jika terlalu lama dengan posisi tersebut, ia akan menyebabkan sakit dada dan kaki menjadi kebas

10. Jangan lalu bawah kain jemuran, nanti sakit kepala

Secara logik sains, sakit kepala berpunca dari gigi atau keadaan cuaca. Langsung tak ada kena mengena dengan lalu di bawah kain jemuran. Pantang larang ini wujud kerana orang tua takut kain jemuran jatuh, satu kerja pula nak cuci semula kain jemuran tersebut.

11. Tak boleh makan berpindah tempat nanti kahwin banyak.

Sebenarnya, tak nak la ada dua tiga kerja. Dah makan bersepah satu tempat lepas itu pindah tempat lain, dah bersepah tempat lain. Kan dah susah tu. Jadi tak ada kena mengena pun dengan kahwin banyak ni tapi kalau ada lelaki gatal yang dengar pantang larang ni, mesti hari-hari buat! Haha.

12. Bakal pengantin tak boleh berjumpa dalam sebulan sebelum berkahwin

Pantang larang ini paling popular dan masih lagi di amalkan sehingga kini tapi kalau ikutkan sebelum kahwin lagi tak boleh berjumpa langsung tapi sebabkan orang tua ingin mengelakkan perkara lain yang berlaku dan ingin menimbulkan rasa kerinduan antara pengantin.

13. Ibu mengandung tak boleh lalu bawah ampaian yang penuh dengan kain jemuran nanti anak gagap.

Macam point nombor dua tadi, semuanya ketentuan Yang Maha Esa. Tapi, orang tua risau kepada ibu mengandung kot-kot tersandung dengan kain jemuran, keguguran pula.

14. Tumbuk lada di waktu malam, memanggil sesuatu makhluk yang tidak diundang datang umah.

Sumber: siraplimau

Tumbuk lada boleh je bila-bila masa asalkan tiada sebarang sebutan pemujaan ataupun sebarang niat untuk memuja makhluk halus. Biasalah, orang tua nak berkias tak nak rumah bising bunyi tumbuk-tumbuk pada waktu malam menganggu ketenteraman orang tidur.

15. Jangan menjahit pada waktu senja, nanti mata buta.

Jika anda membuat penilitian tentang mata, punca mata buta disebabkan katarak, glaukoma dan lain-lain lagi. Tidak ada kena mengena langsung dengan menjahit pada waktu senja. Tetapi, disebabkan orang tua dahulu risau jarum yang dicucuk terkena tangan kerana waktu senja sudah gelap dan ingin menjaga kesihatan mata supaya tidak menjadi kabur dan rosak.

Itulah kebenaran 15 pantang larang orang melayu yang masih lagi diguna pakai pada zaman sekarang. Metafora terlalu tinggi! Tapi, bukan bermakna selepas ini semua kata-kata orang tua anda tidak boleh dipercayai tetapi pasti ada sebab setiap larangan.

 

Promosi menarik dengan klik link ini.

 

 

 

 

 

Sumber: Kesihatan , Billy Info

Tags: , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna