Disebabkan Sihir Pemisah, Wanita Ini Terseksa Sehingga Terpaksa Bercerai

Menonton siaran ulangan drama rantaian “Utusan Cinta Buat Adam” lewat malam minggu lalu benar-benar meninggalkan kesan. Mana tidaknya penderitaan yang dilalui Aireen watak utama drama itu saling tidak tumpah dengan penderitaan yang dihadapi Melissa (bukan nama sebenar) sejak mula mengikat tali pertunangan dengan Syukri(bukan nama sebenar) tahun 2012 yang lalu.

Bagi sesetengah orang mungkin penderitaannya disihir hanyalah perkara tahyul semata-mata. Melissa juga pernah beranggapan begitu satu ketika dahulu. Namun selepas segala perkara luar biasa menimpa dirinya tujuh tahun lalu Melissa yakin setiap perkara boleh berlaku dengan izin dan kehendak Allah.

Perkenalannya bersama Syukri seorang duda anak dua benar-benar mengubah hidupnya. Anggapan Melissa bahawa pasangan yang telah bercerai pasti sudah “move on” dan punya hidup masing-masing nyata satu kesilapan maha besar dalam hidupnya. Tanpa beliau sedar hubungan Syukri dengan bekas isterinya masih berterusan meskipun sudah tiga tahun bercerai. Hubungan Melissa dan Syukri menjadi keruh apabila bekas isteri Syukri terlalu kerap menghubunginya dan mereka juga sering berjumpa secara senyap-senyap. Apabila kantoi alasan Syukri adalah demi menguruskan hal anak-anak mereka.

Keadaan hidup Melissa mula berubah selepas percutiannya bersama Syukri ke Sabah. Ketika percutian itu, Syukri memutuskan untuk melamar Melissa menjadi isterinya yang sah. Dalam kegembiraan itu Melissa memuatnaik gambar mereka ke laman social facebook. Tanpa sedar perbuatan yang dianggap biasa itu benar-benar mengubah kehidupan Melissa daripada seorang yang periang menjadi seorang yang panas baran. Apatah lagi ketika bersama Syukri. Pantang ada silap pasti maki hamun akan menggantikan segala kata-kata manis antara mereka. 

Bukan itu sahaja keadaan kesihatan Melissa juga berubah tiba-tiba, setiap sendi tubuhnya akan mula sakit bermula waktu asar setiap hari, keadaan badan terasa amat sakit ekoran terlalu banyak angin. Ajaibnya apabila kesakitan itu hilang sebaik sahaja subuh esok hari. Keadaan semakin hari semakin buruk, Melissa mula terasa mual dan muntah secara tiba-tiba tanpa sebab. Sehingga tanpa sedar tubuhnya semakin susut dan bibirnya menjadi semakin biru menjelang hari pertunangan mereka.

Meskipun begitu, dengan izin Allah majlis pertunangan berjalan dengan lancar dan cukup sempurna. Penderitaan Melissa tidak berakhir di situ, keadaan Melissa semakin buruk tubuh badanya semakin sakit menyebabkan keluarganya berikhtiar membawa Melissa berubat dengan ramai pengamal perubatan Islam. Meskipun begitu Melissa tidak juga sembuh. Keadaan berterusan sehingga majlis perkahwinan mereka berlangsung.

Perkahwinan yang menjadi impian bahagia semua orang menjadi suatu perjalanan hidup yang amat menyakitkan buat Melissa dan Syukri. Rumah tangga mereka menjadi kucar-kacir setiap hari ada sahaja punca menyebabkan mereka bergaduh sehingga adakalanya Syukri memukul Melissa. Keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila Melissa kerap meracau, meraung malah adakalanya mengilai. Pebagai ustaz ditemui untuk berubat namun tidak juga sembuh. Keadaan berlarutan sehingga empat tahun usia perkahwinan mereka.

Lazimnya, suasana akan bertambah teruk apabila Melissa dan Syukri sering bersama, dan mereka akan saling merindui serta mengingati antara satu sama lain sekiranya mereka berada berjauhan. Pernah sekali Syukri malafaz cerai kerana pergaduhan antara mereka. Kemuncak pergolakkan apabila Melissa membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman dan berubat. Hatinya juga telah tawar dan tidak mahu lagi meneruskan perkahwinan itu. 

Perkongsian Melissa ini hanyalah satu daripada ribuan pasangan yang menderita akibat perbuatan sihir individu yang penuh dengan hasad dengki dan bertuhankan nafsu semata.

Bahana Sihir Pemisah Menurut Islam

Menurut pendakwah bebas, Muhammad Khairul Azhar Ghazali atau lebih dikenali Imam Muda Azhar, sihir itu hanya akan terlerai apabila pasangan tersebut berpisah meskipun saling menyayangi. “Sihir pemisah dan pembenci ini akan membuatkan pasangan suami isteri tidak lagi dapat bersama dan tiada jalan penyelesaian melainkan perpisahan.

“Kadangkala perasaan hasad terhadap kebahagiaan orang lain mendorong perbuatan ini dilakukan demi mencapai kepuasan hati untuk melihat orang lain menderita,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar memberitahu bahawa amalan sihir ini adalah haram kerana menggunakan unsur syirik iaitu amalan atau ritual menerusi perantara seperti jin atau syaitan dan selain daripada Allah.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.” – Riwayat Bukhari (2766)

“Malah, bagi mereka yang melakukan sihir, dikatakan sudah terkeluar daripada agama Islam iaitu riddah (murtad) kerana amalan itu adalah bertentangan dengan syariat Islam.

“Manakala, bagi mereka yang mendapat khidmat sihir pula dikira kufur dan tidak diterima amalan oleh Allah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam.” – Riwayat Muslim (5957),” jelasnya.

Azhar berkata, amalan sihir yang digunakan oleh pihak ketiga itu terhadap rumah tangga adalah seperti sihir pemisah, sihir pembenci, dan sihir pemati untuk membuatkan pasangan berpisah.

“Bagi mengetahui sama ada pasangan ini terkena sihir atau tidak adalah dengan cara berjumpa ustaz atau pakar perubatan Islam yang dipercayai untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

Elak Tonjol Kebahagiaan

Kemajuan dalam bidang teknologi ketika ini menyebabkan semua orang teruja untuk berkongi apa sahaja keindahan dan kebahagiaan hidup masing-masing di media sosial tanpa memikirkan bahaya di sebaliknya.

Kebahagiaan kita bersama yang tersayang ada kalanya mencetuskan rasa cemburu di hati orang lain. Lebih memburukkan keadaan apabila gambar-gambar yang dimuatnaik di media sosial menjadi senjata kepada si pembenci untuk melakukan sihir ke atas diri kita.

Justeru itu, lebih baik berhati-hati dalam memuatnaik gambar ke laman sosial dan pastikan niat anda hanyalah untuk berkongsi, tidak lebih daripada itu.

Jaga Diri Elak Disihir

1.Sentiasa pelihara diri dengan menjaga ibadah-ibadah wajib seperti solat dan puasa. Serahkan diri dengan tawadduk kepada Allah SWT agar sentiasa berada dalam lindunganNya.

2.Amalkan zikir dan selawat mengingati Allah dan rasul setiap waktu.

3.Berhati-hati ketika makan dan minum sentiasa dahulukan dengan doa makan dan mohon perlindungan Allah.

4.Amalkan ayat-ayat Al-quran seperti tiga Qul dan ayat Qursi sebagai pendinding daripada amalan sihir.

 

 

Penulis: Norsila Mustapa Kamal

 

 

 

 

Sumber:Utusan Malaysia 12 Mac 2019/MUSNAH RUMAHTANGGA ANGKARA SIHIR

Tags: , , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna