“Disangkakan Gempa Bumi”-Detik Cemas Rakyat Malaysia Di Lubnan

Ibarat gempa bumi, detik cemas itu dikongsikan oleh seorang penuntut Malaysia di Lubnan dan ia berlaku ketika mereka sedang menikmati minum petang.

Penuntut tahun akhir di Universiti Islam Beirut, Ismail Zulkifli berkata, sebelum kejadian dia berada di pejabat Kedutaan Malaysia atas urusan rasmi sebelum dijemput ke rumah seorang pegawai kedutaan di Al Manurah, sekitar enam kilometer dari Pelabuhan Beirut.

“Sekitar jam 5.45 petang, kediaman berkenaan bergegar..saya mendiamkan diri untuk seketika sebelum satu letupan yang sangat kuat bersama gegaran lebih dahsyat dari yang pertama.

“Saya kemudian keluar ke balkoni rumah apartment berkenaan sebelum melihat penduduk di kawasan berhampiran keluar ke jalan raya sambil menjerit-jerit,” katanya ketika dihubungi Hmetro sebentar tadi.

Foto: Hmetro

Cermin pecah, siling jatuh

Ismail yang hampir lima tahun menuntut di Beirut berkata, dia kemudian melihat kepulan asap besar berwarna jingga di ruang udara kawasan Pelabuhan Beirut.

“Pada masa sama saya mendapati kawasan kediaman pegawai kedutaan mengalami kerosakan akibat gegaran itu di mana pintu rumah terkopak dan pintu tutup balkoni terkeluar dari relnya. Kami yang masih bingung dengan kejadian letupan itu kemudian mengambil keputusan untuk menuju ke kediaman Kedutaan Malaysia bagi mendapatkan perlindungan.

“Sekitar jam 10 malam waktu (4 pagi Malaysia) saya kemudian dibenarkan pulang ke kediaman saya di kawasan Aishah Bakkar yang terletak 10 minit perjalanan dengan kereta dari lokasi kejadian letupan,” katanya.

Katanya, apabila kembali ke kediamannya dia mendapati ada sedikit kesan retakan namun keadaan lebih parah berlaku di dewan kuliahnya.

“Kesan gegaran dan letupan itu mengakibatkan hampir sebahagian besar kawasan kampus terjejas teruk dengan keadaan cermin pecah, siling jatuh dan retakan yang besar,” katanya.

Ismail berkata, akibat kejadian itu keluarganya menasihatkannya untuk pulang ke tanah air dalam masa terdekat namun dia merancang untuk menyiapkan tesis akhir sebelum pulang pada Oktober depan.

 

Baca juga:

Seorang Kanak-Kanak Terkorban Ketika Gempa Bumi Di Filipina

Pengecas Telefon Bimbit Penyebab Renjatan Yang Membawa Maut!

 

 

 

 

Sumber: Hmetro

Tags: , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna