“Bukan Mudah,” Luahan Bapa Besarkan Anak Perempuan Seorang Diri Lepas 19 Tahun Kehilangan Isteri

Tidak ada sesiapa  yang tahu apa yang bakal terjadi di masa hadapan. Begitulah juga dengan Encik Mohd Latif bin Mukhtar yang kehilangan isteri kesayangan setelah beberapa tahun berkahwin. Menjaga dan membesarkan dua orang anak perempuan iaitu Nona Ili Ilanie dan Nona Farzana sendirian ternyata bukan perkara mudah. Tapi itulah kasih seorang ayah, segala kesusahan diharunginya juga.

Mujurlah semasa isteri masih ada, Latif seorang suami yang sangat ringan tulang melakukan kerja dapur walaupun pada zaman itu masyarakat mempunyai stereotaip kerja menguruskan rumah hanyalah untuk orang perempuan. Setelah isterinya dijemput Illahi, dia tidak kekok untuk memasak dan membersihkan rumah.

BACA: Yuran Taska Meningkat? Harap Ibu Bapa dan Juga Pengusaha Bawa Berbincang

“Selalunya, ibu yang akan lebih rapat dengan anak-anak. Bila isteri dah tiada, kitalah kena jadi pendengar yang mereka boleh percaya. Menjaga anak perempuan ini, saya pun kena tahu serba sedikit tentang hal-hal perempuan macam period,”

Pernah suatu hari anak pertamanya memberitahu ada sesuatu pada seluar dalam dan dia tak tahu bahawa itu adalah darah period. Maka Latif dengan sabar menerangkan makna datang bulan dan membelikan pad untuk anaknya.

“Untuk tahu tentang perempuan, saya rajinkan diri bertanya dengan kawan-kawan sepejabat yang sudah lama menjadi ibu atau mak orang. Mereka inilah yang menerangkan kepada saya serba sedikit tentang hal melibatkan perempuan,”

Bercakap tentang tip membesarkan anak perempuan, Latif mengakui bahawa tiada bezanya membesarkan anak lelaki dan perempuan. Menjadi ibu atau bapa ialah pekerjaan yang mencabar.

Komunikasi

Sejak kecil, ibu bapa kena selalu rapat dengan anak dan latih mereka untuk bercerita perasaan mereka. Kita bina kepercayaan.

“Ada juga bapa tunggal yang tinggalkan anak mereka di kampung suruh nenek mereka jaga. Tapi, tidak ada komunikasi di situ. Saya tak nak anak saya yang sudah kelihangan ibu tiba-tiba rasa kehilangan ayah pula kerana ditinggalkan di kampung,”

Tahu dengan siapa anak berkawan, jangan kongkong

Latif tak menghalang anak-anak berkawan dengan sesiapa. Namun wajar untuk ibu bapa ambil tahu dengan siapa anak berkawan. Sebagai bapa, Latif sangat mementingkan pelajaran, jadi dia akan mendisiplinkan anak untuk melunaskan kerja sekolah.

“Jangan terlalu kongkong anak-anak. Nanti mereka rasa tak bebas dan mulalah tipu kita. Konon nak pergi kelas tambahan tapi sebenarnya menyimpang ke tempat lain. Bila dah tipu sekali, dia akan tipu lagi. Perkara macam itu yang kita tak nak berlaku,” tambahnya.

BACA: Bagi Gajet Supaya Anak Leka? Ibu Bapa Dedah Risiko Rabun Kepada Anak-Anak

Ingat tanggungjawab

Kitalah ibu di rumah dan kita jugalah ayah yang mencari nafkah supaya anak-anak dapat hidup selesa. Jadi, memang kita akan rasa letih dan penat.

“Tapi yang buat saya kuat  ialah apabila mengingatkan diri sendiri bahawa anak ialah  tanggungjawab. Amanah Allah  yang saya kena  jaga.  Jadi bapa tunggal memang mencabar sebab banyak bantuan diberikan kepada ibu tunggal. Jadi bapa tunggal kena usaha berkali ganda berbanding ibu tunggal untuk dapatkan mata pencarian yang lebih,”

Redha dengan pemergian isteri

Tidak ada manusia mana nak hidup sendirian. Namu kita kena terima segala ketentuan. Sebagai orang beriman  kita kena redha dan terima. Kena hadap apa yang akan kena lalui hari ini dan  akan datang.

“Ada yang memilih untuk kahwin baru. Terpulanglah kepada pilihan masing-masing. Tapi saya sudah selesa hidup dan membesarkan anak-anak sendirian. Mungkin kalau saya kahwin, hubungan saya dan anak-anak akan renggang. Jadi saya tak nak ambil risiko itu,”

Pasti ada alasan dan hikmah mengapa sesuatu perkara itu terjadi. Buat Latif, ini adalah caranya untuk Tuhan mengeratkan hubungan dirinya dan anak-anak. Bukan senang menjadi bapa tunggal apa lagi membesarkan dua orang anak perempuan di tengah Kuala Lumpur.

Sebelum mengakhiri perbualan, Latif mengingatkan kepada semua bakal ayah agar rajinkan diri melakukan kerja rumah kerana kita tak akan tahu apa yang akan terjadi di masa mendatan. Apalagi kalau suami mempunyai isteri yang bekerja. Perlu ada sikap toleransi dan bekerjasama untuk menguruskan rumah dan anak-anak.

“Isteri bukan hamba abdi kita.” katanya mengakhiri temu ramah.

Memang benar kasih ibu membawa ke syurga, namun kasihnya ayah sepanjang masa. Sempena hari istimewa ini, Donna ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa buat Encik Latif yang sangat memberi inspirasi kepada semua bapa di Malaysia ini! Syabas!

 

 

 

 

 

 

Tags: , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna