Belum Memiliki Anak Punca Ramai Pasangan Dibuli Keluarga Sendiri

Kalau anda prihatin, pasti seringkali mendengar luahan hati pasangan suami isteri yang berdukacita kerana masih belum dikurniakan zuriat lagi.”

Lagi menyedihkan mereka bukan sahaja menahan perasaan akibat sering ditanya perihal anak oleh orang sekeliling, malah dalam keluarga sendiri. Mereka seolah-olah dibuli dari segi mental dan emosi oleh kaum kerabat dan darah daging sendiri.

“Mak ni dah tua, nak tunggu sampai mak mati ke baru nak beranak”

“Isteri kau mandul kot. Cari sajalah bini lain”

“Tak ada pergi berubat mana-mana ke? Rajin-rajinlah ikhtiar”

“Adik dengan abang kau tu elok je ada anak berderet. Kenapa kau susah dapat anak pulak?”

“Kau tak pandai cara kot bro, tu lambat nak lekat”

“Mandul ke? Dah lama kahwin, tapi tak ada anak lagi?”

Ada adik-beradik tanpa segan silu yang menyoal tentang kehidupan seksual mereka tidak kurang juga diperli mertua atau ipar duai sendiri.  Ada wanita yang tidak bernasib baik dipaksa menerima madu tanpa kerelaan hati akibat suaminya dipaksa oleh ibu bapa untuk berkahwin lain semata-mata kerana tidak melahirkan cucu untuk mereka. Siapa tidak hidup dalam dilema dan kesedihan apabila sering dicemuh atau disindir dek kerana masih belum boleh mengandung. Campur tangan ahli keluarga sebenarnya menyulitkan lagi masalah yang dihadapi. Sudahlah tidak berpeluang mendapat zuriat, malah mental dan emosi juga dihukum tanpa belas kasihan. Apa mereka fikir kalau tak dapat anak salah isteri seorang sahajakah? Isteri sahajakah yang mandul?

Orang keliling hanya tahu bertanya, berkata-kata dan bertindak tanpa memikirkan perasaan orang lain. Sampaikan ada pasangan suami isteri yang masih belum menimang cahaya mata mengelak untuk pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan atau kenduri kendara atas alasan jauh hati dengan soalan ‘panas’ atau tindak tanduk ahli keluarga setiap kali bertemu. Mereka lebih rela menghabiskan wang membawa diri pergi melancong ke destinasi indah daripada berjumpa keluarga sendiri.

Sumber Foto: lukihermanto.com

Buat anda yang mempunyai ahli keluarga, adik beradik atau ipar duai yang masih belum ada rezeki menimang cahaya mata tolong mengerti dan fahami pasangan ini. Tiada satu pun pasangan suami isteri yang tidak mahukan zuriat. Rezeki manusia itu berbeza-beza. Ada yang sudah mendirikan rumah tangga bertahun-tahun lamanya tapi masih belum ada rezeki anak. Jika anda menyoal sesuatu yang di luar kawalan individu, ia seperti anda mempersoalkan kerja Tuhan. Sedangkan Nabi Zakaria a.s. juga pernah diuji dengan ketiadaan zuriat walaupun sudah berdoa tanpa putus sehinggalah baginda dan isteri tua baru dikurniakan rezeki anak iaitu Nabi Yahya a.s.

Sumber Foto: pexels.com

Kadang-kadang kita lupa bahawa jodoh pertemuan, rezeki, dan hidup mati kita adalah ketentuan tuhan Walau bagaimanapun sebagai seorang manusia kita seharusnya berusaha dan tidak berputus asa. Habis usaha barulah kita bertawakal. Bagi pasangan yang belum diberikan rezeki zuriat, kuatkan hati anda. Pekakkan telinga dengan cakap-cakap orang yang tidak mengerti dan berada dalam situasi anda dan pasangan.

Ketika ini pastikan setiap momen yang dilalui anda dan pasangan saban hari dihargai dengan baik biarpun tanpa kehadiran cahaya mata sekaligus melengkapkan ikatan cinta suci anda berdua. Walaupun jauh di sudut hati, timbul rasa terkilan dek ketiadaan benih cinta yang satu itu tapi percayalah ‘kesunyian’ itu tidak berpanjangan. Pasti akan ada rezeki menanti kalian pada masa akan datang.

 

 

Tags: , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna