Awas! Si Pelaku Pedofilia Melibatkan Orang Yang Paling Dipercayai

Pelaku biasanya mengambil peluang untuk berada dalam persekitaran kanak-kanak dengan cara mendekati mereka untuk memperoleh kepercayaan, seterusnya mempengaruhi atau memaksa mangsa melakukan aksi-aksi seksual.”

Sakit hati, geram dan marah dengan kes kejam terbaru yang menggemparkan negara apabila bayi perempuan berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Muhammad Zainal atau mesra dipanggil Zara, meninggal dunia Jumaat lalu pada 9 November selepas dua hari dilaporkan tenat dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.

Sumber Foto: bharian.com.my

Sumber Foto: hmetro.com.my

Begitu juga dengan kes yang melibatkan tiga orang adik beradik berusia 5 tahun, 3 tahun dan 1 tahun yang dirogol bapa sendiri. Kedua-dua si pelaku ini boleh dikategorikan sebagai pedofilia apabila menjurus aktiviti seksualnya terhadap seorang bayi sebagai mangsanya.

Kes-kes pedofilia yang dilaporkan berlaku sering kali melibatkan mereka yang berada atau bekerja dalam persekitaran kanak-kanak. Pelaku biasanya mengambil peluang untuk berada dalam persekitaran kanak-kanak dengan cara mendekati mereka. Kepercayaan yang diperolehi menyebabkan mereka dengan mudah menggunakan kanak-kanak sebagai mangsa untuk melakukan aksi-aksi seksual. Kesan terhadap kanak-kanak yang mengalami gangguan seksual oleh pelaku pedofilia ini sangat membimbangkan kerana meninggalkan kesan trauma yang boleh menyebabkan kemurungan sehingga mengambil jalan pintas menamatkan riwayat.

Pedofilia merupakan salah satu penyakit psikologi yang sukar dikesan kerana si pelaku kelihatan normal dan sangat mesra dengan kanak-kanak. Ia punca kanak-kanak mudah menjadi mangsa kerana terpengaruh dengan kelakukan mereka yang begitu menyenangkan. Istilah pedofilia digunakan buat pertama kalinya pada 1856 oleh seorang pakar psikiatri dari Vienna dan pada 1950-an. Gejala ini dianggap sebagai salah satu daripada masalah kesihatan mental yang serius.

Kriteria Utama

Kriteria utama penghidapnya adalah suka kepada kanak-kanak dan mempunyai kecenderungan untuk melakukan seks dengan mereka. Tidak sekadar meragut kehormatan mereka, malah ada yang sanggup bertindak kejam seperti membunuh mangsa untuk menghapuskan bukti kesalahan yang dilakukan. Si pelaku pedofilia juga adalah individu yang tertarik kepada kanak-kanak tanpa melakukan gangguan seksual. Mereka menjadikan modal sekeping gambar bayi comel merangkak atau bayangan tubuh kanak-kanak sebagai khayalan untuk seksual. Pelaku bukan sahaja dalam kalangan berjantina lelaki tau, tetapi juga wanita. Menakutkan..sakit otak sungguh! Tidak boleh bayangkan orang dewasa boleh bernafsu hanya dengan melihat kanak-kanak.

Sumber Foto: 123rf.com

Penggunaan teknologi tanpa pengawasan juga merupakan penyebab kes pedofilia boleh berlaku tanpa sebarang sentuhan. Media sosial seringkali digunakan pelaku pedofilia untuk mencari mangsa dengan mudah. Caranya hanya  dengan memujuk atau meminta kanak-kanak yang naif menghantar gambar bogel atau gambar alat kemaluan mereka kononnya secara suka-suka. Atau paling senang, si pelaku dengan mudah memperolehi foto kanak-kanak yang banyak terdapat di laman sosial yang di kongsi ibu bapa sendiri. Contohnya gambar bayi yang berbogel dalam kolam renang, kononnya kelihatan comel tetapi sebenarnya boleh mengundang dan meransang kehidupan seksual si bangsat pedofilia.

 

Beri Kepercayaan Kepada Si Kecil

Zaman sekarang, ‘kepercayaan’ adalah sesuatu yang mahal. Walaupun mereka adalah individu terhormat, ahli keluarga atau darah daging sendiri jangan terlampau mempercayai mereka seratus peratus. Kes haruan makan anak, atau orang terdekat memperkosa atau mencabul kanak-kanak bukan lagi perkara baharu di negara kita. Ada juga kes melibatkan individu berkerjaya dan terhormat seperti guru, doktor atau ustaz yang menggunakan ‘gelaran’ tersebut sebagai modal untuk mendekati kanak-kanak dengan mudah untuk memuaskan nafsu. Mereka mengambil kesempatan dengan menggunakan kepercayaan dan tanggungjawab yang diberi kononnya susah untuk sesiapa pun mengesyaki. Maka segala kerja jahat mereka terlepas begitu sahaja.

Sumber Foto: pinterpolitik.com

Mulai hari ini, bagi anda yang mempunyai anak kecil tolonglah pantau dengan lebih teliti. Nak disesalkan kemudian hari mungkin sudah tidak berguna. Ada segelintir ibu bapa tidak ambil berat dan mempercayai aduan daripada anak kecil. Mereka beranggapan anak-anak menipu untuk meraih perhatian atau masih tidak matang dalam berkata-kata menyebabkan banyak masalah pedofilia menjadi kes terpencil. Wahai orang dewasa!! Tolong ya sentiasa peka dan menyedari perubahan yang berlaku pada tingkah laku anak-anak anda. Siasat dengan segera segala aduan si kecil jika ada kaitan dengan ransangan atau perkara yang mungkin anda nampak remeh, bukan melabel melulu anak-anak menipu. Jika salah sangka sekali pun yang penting anda telah menyiasat sehabis baik terlebih dahulu. Si kecil yang menjadi mangsa si pelaku pedofilia biasanya emosi mereka mudah terganggu. Maka mereka cenderung untuk berkepit atau ‘duduk bawah ketiak’ dengan anda secara tiba-tiba dengan harapan untuk berlindung. Manakala anak yang lebih besar kelakuannya berubah menjadi seorang yang pemarah atau suka mengamuk. Ada juga mangsa sampai terbawa-bawa perasaan takut serta trauma ke dalam tidur seperti kerap terjaga ketika tidur sehingga menangis.

Oleh itu, peranan ibu bapa sendiri sangat penting menangani isu ini agar anak atau orang sekeling yang anda sayangi tidak terlibat dan menjadi mangsa salah laku seksual. Setiap hari pastikan anak-anak bercerita kepada anda tentang apa yang berlaku kepada mereka sepanjang hari sama ada di rumah, taska, sekolah dan sebagainya. Anda juga boleh didik anak menghormati tubuh badan sendiri. Jangan malu untuk memberi pendedahan pendidikan seks kepada anak kecil. Ajar mereka fungsi bahagian tubuh badan yang mana tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun termasuk ibu bapa, keluarga, rakan dan sesiapa sahaja. Sentiasa awasi dengan siapa anak anda berkawan dan dimana mereka berada. Jika anak gemar melayari laman sosial, pantau dan siasat siapa kawan-kawannya di laman sosial. Semoga anak-anak kita semua dipelihara keselamatan dan terhindar daripada perkara negatif.

Tags: , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna