Awas, Ada Undang-Undang Buat ‘Si Perosak’ Perkahwinan!

Orang ketiga juga bukan sahaja daripada kalangan pihak lelaki atau perempuan yang mengganggu kebahagiaan rumah tangga tetapi juga ahli keluarga yang kadang-kadang bermaksud untuk meruntuhkan masjid dibina.”

Melayari bahtera perkahwinan bukanlah suatu perkara mudah. Ada sahaja badai dan gelora perlu ditempoh. Malangnya tidak ramai pasangan berkahwin yang bersedia untuk menempuh gelombang dugaan dalam melayari bahtera cinta abadi ini. Satu perkara yang paling ditakuti tetapi juga senjata paling ampuh untuk memusnahkan kebahagiaan ini adalah perceraian. Punca perceraian antara yang paling tinggi direkodkan adalah disebabkan penangan orang ketiga.  Sering kali kita membaca kisah gangguan orang ketiga dalam hubungan suami isteri sehingga menyebabkan perceraian. Hal ini amatlah menyedihkan kerana pasangan hanya mementingkan hawa nafsu dan bukan tanggungjawab dalam perkahwinan mereka. Sekiranya pasangan itu faham akan tanggungjawab dalam perkahwinan, sudah pasti kejadian bermain kayu tiga ini tidak berlaku.

Dalam keadaan yang lebih dahsyat, orang ketiga ini menjadi faktor memecah belahkan sebuah perkahwinan dengan menghasut pasangan tersebut tidak menjalankan tanggungjawab rumah tangga ataupun bercerai. Orang ketiga juga bukan sahaja daripada kalangan pihak lelaki atau perempuan yang mengganggu kebahagiaan rumah tangga tetapi juga ahli keluarga yang kadang-kadang bermaksud untuk meruntuhkan masjid dibina. Orang ketiga ini boleh juga terjadi dalam kalangan ibu bapa, adik-beradik ataupun teman-teman rapat yang mempunyai agenda mereka tersendiri.

 

PUNCA ‘GANGGUAN ORANG KETIGA’

Sumber Foto: 123rf.com

Antara punca gangguan orang ketiga adalah daripada sikap masing-masing yang sering mengabaikan tanggung jawab sebagai suami atau isteri. Ada yang masih berhubungan dengan bekas kekasih dan ada yang sering berkongsi masalah rumah tangga dengan rakan berlawanan jantina. Sebenarnya terdapat beberapa situasi perlu diambil kira dan ditangani secara berkesan dalam membicarakan isu kehadiran orang ketiga dalam sesebuah rumah tangga.

  • Tidak Sefahaman

Kadangkala perkara yang remeh-temeh seperti kebersihan diri tidak terjaga atau aktiviti dan hobi yang mengganggu waktu bersama menjadi punca ketidaksefahaman dan pergaduhan. Biarpun pada mulanya kelihatan seperti satu perkara yang tidak perlu diperbesarkan, lama-kelamaan akan membara sehingga pasangan bergaduh. Mulalah pasangan kata anda tidak memahaminya, lalu mencari ‘kawan’ serasi dalam diam.

  • Campur Tangan Keluarga

Punca-punca lain antaranya, pengabaian nafkah zahir dan batin, kesibukan bekerja sehingga berlaku pengabaian, isteri yang nusyuz dan tidak mahu mendengar kata suami dan stres dengan anak-anak. Selain campur tangan mentua yang tidak menyukai menantu dan perkahwinan berdasarkan pilihan orang tua walhal di hati mereka tiada cinta, juga antara punca gangguan orang ketiga.

UNDANG-UNDANG UNTUK SI PEROSAK RUMAHTANGGA

Tahukah anda terdapat akta diperuntukkan untuk orang ketiga atau ‘si penyondol’ rumahtangga. Orang ketiga yang mengganggu kebahagiaan rumah tangga pasanagan suami isteri sehingga membawa perceraian boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana ia satu kesalahan jenayah. Sehingga kini, semua jabatan negeri sudah mempunyai undang-undang ini dan semua pihak boleh mengambil tindakan dengan membuat aduan bersama bukti kukuh. Suami atau isteri yang menjadi mangsa perceraian disebabkan wujud campur tanggan atau gangguan pihak ketiga dinasihatkan supaya membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam negeri. Pihak yang menjadi mangsa perlu menyimpan dan menyerahkan apa saja bukti seperti SMS, sebarang kiriman pesanan sama ada melalui telefon, laman sosial, bukti bergambar kepada pihak penguatkuasa agama untuk siasatan.

Sumber Foto: 123rf.com

Antara Akta yang diperkenalkan adalah:

  • Seksyen 37 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 orang ketiga adalah merujuk  kepada mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.
  • Seksyen 38 akta sama pula menyatakan mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah suatu kesalahan.
  • Seksyen 32, 33 dan 34 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995. Mana-mana pihak yang memujuk lari suami atau isteri, mana-mana pihak menghalang suami isteri menjalankan tanggungjawab dan mana-mana pihak menghasut memujuk suami isteri supaya bercerai atau mengabaikan tanggungjawab dalam rumah tangga boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

TIP ELAK PENCERAIAN

Sebelum saling menunding jari, suami dan isteri perlu memainkan peranan paling penting dalam hubungan agar elak perpisahan terjadi. Sentiasa semai cinta antara suami dengan isteri dengan amalkan tip mudah ini.

  • Setiap pasangan perlu saling memuji dan menghargai antara satu sama lain, terutamanya dalam semua aspek kehidupan, seperti bantu-membantu dalam menguruskan rumah tangga.
  • Setiap pasangan suami isteri hendaklah menzahirkan kecintaan melalui pelukan yang mesra antara satu sama lain sekerap mungkin, kerana pelukan menghasilkan kasih sayang yang berterusan.
  • Sentiasa menghargai pasangan dengan ucapan sayang dan cinta, senyuman dan juga pemberian hadiah.
  • Sentiasa memberikan perhatian yang khusus terhadap pasangan, agar pasangan tidak berasa dirinya terpinggir dan diabaikan.
  • Wujudkan suasana yang ceria melalui sikap toleransi terhadap pasangan.
  • Menjaga batas-batas pergaulan dengan orang lain bagi mengelakkan daripada berlakunya salah faham, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada keretakan rumah tangga.
  • Sentiasa memohon rahmat dan keampunan kepada Allah supaya hubungan yang terjalin kekal terpelihara sehingga ke akhir hayat.

Sumber: esyariah

Tags: , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna