9 Punca Anda Hilang Kebahagiaan

Boleh dikatakan hampir semua manusia di dunia ini tidak kira lelaki atau wanita, muda mahupun tua pasti menyimpan segunung harapan untuk rasa bahagia di dunia ini. Bagaimanapun tidak semua dirahmati dengan bahagia dan kegembiraan. Segelintir daripada kita terpaksa berdepan pelbagai cabaran, kesakitan dan penderitaan.

Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa anda sukar mendapatkan kebahagiaan ? Atau mungkin anda bertanya mengapa kebahagiaan yang pernah anda miliki sebelum ini telah pun hilang. Ingin tahu punca-punca anda hilang bahagia.. jom baca lanjut!

[1] PUTUS HARAPAN

Adakalanya kita melalui kehidupan ini sekadar hidup mengikut hukum alam semata-mata atau “just go with the flow”. Turun naik kehidupan kita lalui tanpa banyak persoalan. Sehingga apabila anda berdepan dilema kehidupan yang menggoncang kebahagiaan anda sehingga menyebabkan anda tidak lagi mampu bertahan. Rasa dunia dah nak kiamat dan segala harapan bangkit kembali punah sama sekali.

Anda pernah rasa putus harapan dalam hidup? Putus harapan nak meneruskan kehidupan sebab anda rasa diri sudah gagal dan tidak berguna. Anda sudah ‘serik’ nak menaruh harapan dan kepercayaan terhadap impian ataupun orang yang disayangi. Saat itu anda rasakan bahagia tidak mungkin lagi milik anda.

[2] KETAKUTAN

Jatuh bangun kehidupan ini sememangnya akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidup seseorang. Ada sesetengah individu yang tewas dan gagal ntuk bangun semula. Kehidupan saban hari dirundung pilu dan kekecewaan sehingga mencetuskan ketakutan dalam diri. Anda sering dilanda ketakutan, rasa takut gagal, takut berjaya dan takut nak berdepan dengan masa depan. Ada juga segelintir yang takut nak mempunyai impian kerana risau gagal dan dipersendakan oleh orang sekeliling. Anda macam mana? Adakah mempunyai ketakutan dalam diri anda sehingga menyebabkan anda hilang bahagia dalam diri?.

[3] DENDAM

Dendam ini satu perasaan yang cukup beracun untuk  disimpan. Selagi hati kita gagal memaafkan dan masih berhasrat untuk membalas perbuatan buruk orang terhadap diri kita selagi itu hati kita tidak akan tenang.  Cuba anda periksa hati anda, adakah anda menyimpan dendam yang menghantui kehidupan anda selama ini. Anda mungkin sakit hati dan tak dapat melupakan kenangan dianayai oleh orang sekeliling, ditinggakan pasangan demi wanita lain,atau pelbagai kesakitan lain lagi. Ketahuilah anda sebenarnya yang menyebabkan kehidupan anda tak tentu arah. Bukan itu sahaja bahagia yang ada dah tentu hilang derita pula yang kekal berpanjangan.

[4] TRAUMA

Trauma ini adalah satu perkara yang amat berkuasa terhadap perasaan dan tindakan seseorang. Namun jarang-jarang antara kita yang menyedari diri kita sebenarnya memiliki trauma. Kerana ramai yang beranggapan bahawa trauma ini berlaku kepada orang yang berdepan peristiwa yang terlalu ekstrem dalam kehidupan mereka seperti berdepan kemalangan yang hampir meragut nyawa, pernah melalui pengalaman hitam dirogol dan sebagainya. Pemahaman terhadap trauma itu ada benarnya, namun tahukah anda trauma juga boleh terjadi akibat perkara-perkara lain yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidup anda ibarat luka yang tersembunyi tetapi tidak pernah sembuh.

Pengalaman-pengalaman pahit yang meninggalkan luka mendalam ini menyebabkan sukar untuk  buang fobia yang dah lama ada dalam diri anda. Mungkin trauma untuk menjalinkan hubungan setelah dikhianati pasangan terdahulu, takut untuk membina empayar business kerana trauma akibat kegagalan dulu yang masih tidak mampu dibuang. Trauma ini banyak kategori yang menyebabkan seseorang susah nak ‘move on’.

[5] RASA TIDAK DISAYANGI

Rasa tidak disayangi ini lazimnya hadir dalam diri individu-individu yang sentiasa rasa “Insecure” Boleh jadi disebabkan anda gagal mendapatkan perhatian daripada orang tersayang. Sudah puas berusaha menarik perhatian suami namun si suami tetap buat acuh tak acuh sahaja. Keadaan ini membuatkan anda rasa gundah gulana memikirkan mengapa orang tidak menyayangi anda sedangkan dah macam-macam anda buat baik selama ini. Akhirnya anda pilih untuk buat tak tahu untuk ‘protect’ diri anda dari dilukai lagi. Memilih untuk tidak lagi mengejar dan menyayangi sehingga tanpa sedar tiada lagi bahagia bertamu di hati anda. Jaga-jaga ya, hati penuh cinta dan kasih sayang itu adalah ramuan paling mujarab untuk bahagia. Jadi teruskan menyayangi.

[6] SELF SABOTAGE

Ini point paling penting untuk anda perhalusi dan fikirkan dalam-dalam.Ramai antara kita yang sering meletakkan kesalahan akibat kegagalan diri di bahu orang lain. Kita sering merasa diri sebagai mangsa kepada perkara-perkara buruk yang berlaku dalam hidup kita. Pernahkah anda terfikir bahawa anda sebenarnya adalah PENGHALANG UTAMA bagi kejayaan diri?  Anda sering dikuasai perasaan tak yakin diri, meragui kebolehan diri dan sering memperkecil-kecilkan kemampuan diri anda sendiri. Jadi salah siapa ini? Adakah anda masih rasa diri anda mangsa pada orang lain atau sebenarnya mangsa kepada diri anda sendiri.

Perasaan-perasaan negatif ini adalah perasaan yang hanya akan membawa anda ke belakang. Tenggelam dalam diri sendiri dan tidak lagi berdaya saing. Apa sahaja perkara baik dan menarik yang anda lakukan dan kejayaan yang sepatutnya anda nikmati tidak berjaya anda capai kerana anda sering sabotage diri anda. Jadi untuk bahagia dan gembira BERHENTI sabotage diri anda!

[7] PANAS BARAN 

Jom cek diri sendiri, adakah anda jenis individu yang tenang-tenang saja atau panas baran?. Panas baran ini adalah sikap yang memang perlu dielakkan kerana bakal mengundang masalah pada diri dan orang sekeliling. Sukar mengawal kemarahan. Rasa marah pada diri sendiri, marah pada ibu bapa, suami, anak, kawan terdekat mahupun orang sekeliling anda. Kemarahan yang membara ini akan menyebabkan hati anda tidak tenang dan orang lain juga tidak suka mendekati dan berdamping dengan anda. Iyelah silap haribulan dia pun kena sembur dengan naga berapi anda tu. Muhasabah diri secara perlahan-lahan dan cuba didik diri anda untuk lebih terbuka dan memaafkan, kerana vibration kemarahan ini adalah kategori low vibration yang buat anda terperangkap dalam vibration negatif yang sangat tidak baik untuk anda.

[8] KEGAGALAN

Lumrah hidup pasti ada episod kejayaan dan kegagalan masing-masing. Sebagai manusia kegagalan itu perlu diletakkan sebagai suatu perkara untuk kita belajar daripadanya dan bukannya suatu perkara yang melunturkan semangat dan menjadi penghalang kita untuk terus maju. Adakah anda sukar melupakan kegagalan atau rasa susah sangat nak berjaya. Rasa takut gagal kerana anda pernah melalui masa buruk suatu masa dulu. Teruskan menimba ilmu berkaitan kehidupan supaya anda mampu mentransformasikan kegagalan anda itu satu suntikan semangat untuk anda sentiasa berusaha menjadi lebih baik dan berjaya di kemudian hari.

[9] PERPISAHAN

Prpisahan sama ada berpisah hidup atau mati pasti menyakitkan. Adakah anda pernah mengalami perpisahan atau kehilangan orang tersayang. Mungkin keluarga, kawan-kawan, kerjaya mahupun barang kesayangan anda. Rasa kehilangan ini memang boleh menganggu emosi anda untuk hidup lebih baik. Belajar menerima perpisahan dengan redha supaya anda dapat menikmati bahagia dan keindahan lain yang Allah sediakan di dunia ini.

Mari kita muhasabah diri dan teliti faktor yang menjadi punca anda tidak bahagia selama ini. Penting untuk anda mengenalpasti agar punca masalah itu dapat anda atasi. Sentiasa menimba ilmu dalam kehidupan agar setiap perkara yang berlaku dapat dilihat dari sudut berilmu supaya kebahagiaan dapat anda kecapi bersama insan tersayang.

 

Penulis: Norshila Mustapa Kamal

Kredit: Temubual bersama Diyana Tahir

 

 

 

 

Tags: , , , , , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna