5 Tempat Makan ‘Muslim-Friendly’ Wajib Serbu Bila Travel Ke Jeju!

Teruja sungguh pada awalnya di saat penulis mendapat jemputan untuk merasai pengalaman berada di bumi indah Pulau Jeju dan merasai sendiri keenakkan makanan tempatannya. Sudah terbayang laut membiru yang terbentang dengan luas ditemani deruan ombak yang menyegarkan seakan menyambut manja pengunjung yang datang dari seantero dunia.

Berkunjung pada musim sejuk juga sungguh mengasyikkan kerana anda dapat merasai sendiri hembusan angin dingin lembut yang sememangnya sejuk…namun ternyata menyegarkan! Pengalaman berada selama 5 hari 4 malam di bumi Jeju sungguh menyeronokkan dan untuk perkongsian ini, jom kita lihat lokasi makanan menarik yang boleh dicuba terutama untuk golongan muslim.

Perkara yang menggusarkan ramai pihak setiap kali ingin melancong adalah apabila ingin mencari makanan halal buat anda yang beragama islam. Jika nak senang, boleh je bawa makanan segera daripada Malaysia sebagai bekal. Namun, tidakkah anda teringin untuk merasai makanan tempatan yang terkenal dengan keunikkannya tersendiri?

Dasoni

Pelbagai menu berunsurkan vegetarian disediakan di sini dan anda tidak perlu bimbang kerana menu tersebut berasaskan sayuran semata. Eh, yang kurang minat sayur-sayuran pun jangan risau sebab menu masakan yang disediakan sungguh menyelerakan dan sedap!

Mana tahu lepas rasa masakan di sini terus jatuh cinta dengan sayur kan? Hiks. Jarak restoran ini hanyalah 10 minit daripada airport Jeju dan sesuai untuk menjadi singgahan pertama untuk berehat dan makan. Dekorasi restoran berkonsepkan tradisional Hanok membangkitkan lagi selera menjamu makanan dengan aura yang unik.

Dasoni beroperasi daripada 11 pagi hingga ke 10 malam dan harga set makanan tengah harinya bermula daripada KRW 11,000.

Alamat: 24 Onam-ro-gil, contact: 064-753 5533

Indian kitchen

Ini adalah sebuah restoran yang menyediakan pelbagai masakan India dan Nepal seperti Nasi Briyani, Ayam Tandoori, Roti Nan dan jangan terkejut, kambing pun ada tau.

Indian Kitchen adalah restoran mesra-muslim di mana daging mentah serta ayam yang digunakan adalah daripada sumber yang halal.

Sesuai untuk anda yang dah berhari-hari di Jeju dan rindukan makanan seperti nasi dan masakan berempah seperti di Malaysia, bolehlah singgah ke sini. Antara minuman yang patut anda cuba adalah Mango Lassi, yang sememangnya terbaik! Oh ya, bilik untuk solat juga ada disediakan di sini.

Alamat: Jeju-shi, Aewol-eup Sangga-ri 2059-1, Tel: 064-7995858

Toto Atelier Cooking school

Uniknya di sini, anda diajar cara memasak dengan tenaga pengajar yang ada dan usai memasak, anda boleh menikmati masakan tersebut. Orang kata air tangan sendiri mesti sedap kan? Ada banyak jenis masakan yang boleh anda pilih dan untuk trip kali ini, penulis sempat mengikuti kelas memasak Pai Tangerine Marinque.

Ha, dah macam chef pula rasanya bila setiap orang mempunyai meja tersendiri lengkap dengan peralatan memasak. Di meja tersebut juga terdapat video tutorial untuk memasak dan juga ada pembantu yang akan membantu anda memasak di sepanjang proses.

Harga untuk seorang bagi kelas yang kami masuk ni adalah lebih kurang KRW 20,000.

The Jungle Café

Kalau suatu ketika dahulu café berkonsepkan kucing pernah viral, kini konsep menikmati makanan dan minuman sambil ditemani haiwan-haiwan reptilia pula diketengahkan. Bayangkan anda menikmati minuman dan di sekeliling anda terdapat haiwan seperti, ular, burung kakak tua, dan Tarantula.

Sesetengah haiwan yang tidak merbahaya seperti burung dilepaskan begitu sahaja. Malah, jika anda berminat untuk memegang sendiri replitia seperti ular, anda boleh melakukannya dengan bantuan pekerja café tersebut.

Menarik tak? Untuk yang takut, masa inilah nak cabar diri anda. Hiks! Makanan dan minuman di sini juga dijual dengan harga berpatutan bermula daripada KRW 6000 hingga KRW 10000.

Uribong Sikdang

Restoran mesra muslim ni memang terkenal dalam kalangan pelancong muslim. Ia terletak berhampiran dengan pelabuhan Seongsan jika anda menaiki feri ke Jeju. Jujur pengakuan daripada penulis, dalam banyak-banyak restoran di Jeju yang pernah dicuba, menu masakan di Uribong Sikdang adalah yang paling sedap dan paling kena dengan tekak melayu.

Makanan popular di sini adalah hotpot makanan laut, makarel panggang dan pankek makanan laut yang sungguh lazat!!!! Ia dibuka bermula 8 pagi hingga 10 malam pada setiap hari.

Harga makanan laut berbeza mengikut jenis makanan laut yang anda pilih. Harga bermula daripada KRW 15,000- KRW 90,000. Menariknya, bilik untuk solat juga disediakan di dalam restoran ini.

Alamat: 157-1 Seongsan-ri, Seongsan-eup, Seogwipo, Jeju.

Yang sebenarnya ada banyak lagi restoran mesra muslim di Jeju dan jika anda nak tahu, nantikan sambungan di artikel akan datang okay?

 

 

 

Untuk bacaan menarik lain:

Spot Best Di Langkawi Untuk Percutian Bersama Anak

 

 

 

 

 

 

 

Tags: , , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna