5 Kemanisan ‘Arranged Marriage’

Wanita adalah kejadian Tuhan paling kompleks di dalam dunia melebihi segala makhluk di atas muka bumi ini. Setujukah anda dengan kenyataan ini? Lebih-lebih jika ia menyentuh perihal hati.  Kali ini Donna ingin mengupas tentang Jodoh Pilihan Keluarga atau juga dikenali sebagai “Arranged Marriage”. 

Arrangd Marriage adalah sebuah perjalanan hubungan di antara seorang lelaki dan perempuan yang berakhir dengan perkahwinan. Lebih menarik, perkahwinan ini sebenarnya dibantu oleh ahli keluarga atau seseorang yang berada di kalangan individu tersebut. Terdapat pelbagai pendapat mengenai perkahwinan aturan ini sebenarnya, ada yang bersetuju dan tidak kurang pula yang berfikir sebaliknya. Ayuh kita kupas sisi positifnya.

  • Menjimatkan Masa

Sebenarnya anda boleh dikategorikan sebagai insan bertuah sekiranya anda melalui arranged marriage kerana anda tidak perlu membuang masa jatuh cinta kepada orang yang salah. Anda boleh merancang masa depan dengan lebih baik, tumpukan perhatian kepada kerjaya atau pelajaran kerana di penghujungnya, sudah ada buah hati anda menanti sedia untuk menggalas komitmen bersama.

  • Bercinta Selepas Kahwin

Bayangkan anda sudah mengenali pasangan lebih dari 7 tahun, anda juga sudah masak dengan perangai baik dan buruknya sehingga ke satu tahap tiada lagi rahsia di antara kamu berdua. Mengetahui segala-galanya juga kurang bagus sebenarnya kerana anda akan cepat berasa bosan. Lain pula halnya jika anda langsung tidak mengenali pasangan. Setiap hari anda akan belajar sesuatu yang baru. Apa yang penting adalah komunikasi secara dua hala. Tambahan bercinta selepas kahwin ini bebas dari terpalit dugaan & maksiat. 

  • Personaliti Saling Melengkapi

Perkahwinan ini ibarat penyatuan dua jiwa yang boleh dikatakan 90% penuh misteri kerana menurut kajian, kebanyakkan pasangan yang memilih perkahwinan jenis ini tidak sempat berkenalan dengan lebih lanjut. Jadi bagaimana untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga? Ya, jawapannya adalah dengan saling melengkapi dengan bertolak ansur. Terima pasangan seadanya, jika anda tidak biasa dengan sesuatu rutin atau tabiat pasangan anda, bawa berbincang hati ke hati. Jangan sibuk membebel di laman sosial. Pasangan anda tidak dapat mendengarnya. 

  • Penyatuan Dua Keluarga

Apakah perbezaan penyatuan dua keluarga ini dengan perkahwinan biasa yang dibina atas dasar cinta? Pasangan yang ‘dikenenkan’ ini biasanya melibatkan dua kelompok individu yang mempunyai pertalian secara langsung atau tidak langsung. Mungkin dari jaringan sosial dan tidak bertumpu kepada pertalian darah semata-mata. Apa yang pasti adalah kedua-dua belah pihak yang terlibat ini hanya mahukan yang terbaik bagi pasangan. Jadi kedua-dua belah pihak keluarga atau rakan-rakan yang terlibat akan berusaha sebaik mungkin untuk menyatukan kedua pasangan. Bak kata orang Kedah, “Kita kira sampai jadi”. 

  • Pasangan Yang Sekufu

Sudah fitrah manusia mahu mempunyai pasangan dengan ciri-ciri tertentu untuk kelangsungan hidup. Ada yang lebih menekankan aspek kewangan, namun tidak kurang juga yang lebih kepada faktor kematangan. Melalui arranged marriage ini, tidak kira lelaki atau perempuan, boleh menetapkan permintaan masing-masing. Contohnya anda telah menetapkan, bakal suami haruslah seorang yang mempunyai Ijazah kerana anda juga adalah seorang lepasan Ijazah. Di sini anda sebenarnya telah merapatkan jurang diantara kamu berdua dari segi status sosial. Jangan tak tahu, walaupun kita  bakal memasuki tahun 2020, masih ada yang skeptikal dan suka membandingkan taraf pendidikan seseorang. Jadi pilihlah yang sekufu. 

Perkahwinan merupakan satu proses untuk menyempurnakan agama. Tetapi terlalu ramai individu pada hari ini yang memilih untuk tidak melibatkan diri dengan sebarang komitmen kerana ‘terkesan’ dengan cakap-cakap orang walaupun mereka sendiri belum pernah melalui fasa berumah- tangga. Apa yang ditakutkan? Apa yang menjadi penghalang kepada individu ini untuk melangkah ke fasa kehidupan yang seterusnya? Tinggalkan persepi negatif ini, Perkahwinan adalah permulaan kepada sebuah kehidupan yang di dalamnya terdapat suatu perjalanan penuh rahsia yang perlu ditempuhi sepasang jiwa untuk sama-sama menjayakannya. 

Penulis: Aya Rahim

 

 

 

Tags: , , , , , , , , , , , , , ,
Previous Post Next Post

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 shares
Donna